SHAH ALAM - Tiada Lesen Vokasional (GDL) menyebabkan seorang lelaki dari Batu Gajah, Perak menghadapi kesukaran untuk memohon jawatan yang sesuai ketika sedang mencari kerja. Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Shahril berkata, kejadian... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tiada Lesen Vokasional (GDL) menyebabkan seorang lelaki dari Batu Gajah, Perak menghadapi kesukaran untuk memohon jawatan yang sesuai ketika sedang mencari kerja.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Shahril berkata, kejadian berlaku ketika dia mahu memohon kerja sebagai pemandu lori bagi sebuah syarikat roti tempatan pada awal tahun ini.

Menurutnya, ketika ditemu bual, pegawai syarikat tersebut memaklumkan dia perlu terlebih dahulu mendapatkan GDL sekiranya mahu mengisi jawatan itu.

"Saya ketika itu baru pertama kali memohon untuk menjadi pemandu lori. Bila sudah pergi untuk ditemu bual, pegawai tersebut kata memang perlu mengambil lesen GDL dahulu kalau mahu kerja yang ditawarkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Shahril berkata, disebabkan masalah tersebut, dia telah terlepas peluang untuk mengisi jawatan berkenaan.

Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, permohonan semula untuk mengisi jawatan berkenaan di syarikat yang sama itu hanya boleh dilakukan pada Ogos lalu selepas mendapatkan lesen yang diperlukan.

Bagaimanapun, katanya, permohonan terbaharunya itu masih sedang dalam proses sehingga kini.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan lebih satu juta individu tidak dapat menjalani ujian memandu, sekali gus tidak dapat memperoleh lesen kerana institut memandu di seluruh negara tidak beroperasi disebabkan pelaksanaan PKP sejak Mac tahun lalu.

Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), Mat Aris Bakar memaklumkan bahawa penutupan sektor tersebut telah menjejaskan sebanyak 231 institut memandu seluruh negara.

Beliau berkata, ia melibatkan seramai 20,000 pekerja dengan kerugian hampir RM430 juta dalam tempoh dua tahun.

Berikutan itu, Mat Aris berkata, penutupan institut memandu bagi tempoh yang panjang akan mengakibatkan pemberhentian pekerja termasuk kemungkinan ada institut memandu terpaksa ditutup buat selamanya.

Klik di sini untuk terus membaca