SHAH ALAM - Pembangkang berpendirian bahawa pelantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu diabsahkan di Dewan Rakyat sebagai pembuktian kerajaan benar-benar memiliki majoriti.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ulya Aqamah Husamudin berkata, ia sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan yang menetapkan bahawa Perdana Menteri yang dilantik perlu mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
"Sekarang ini macam mana kita mahu buktikan Perdana Menteri benar-benar ada majoriti kalau bukan di Dewan Rakyat. Jadi, pembuktian perlu dibuat dalam sidang Parlimen.
"Pembuktian keabsahan di Dewan Rakyat ini pun telah dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ulya Aqamah berkata, titah Tuanku bahawa pembuktian perlu dilakukan di Dewan Rakyat jelas membuktikan bahawa tidak ada masalah untuk diadakan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula pada 13 September nanti.
"Kalau benar-benar Perdana Menteri ada majoriti seperti yang dikatakan dan tidak ada penipuan dalam surat akuan (SD) yang dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda, beliau boleh buktikan dalam Dewan Rakyat dengan minta undi percaya terhadapnya dibuat.
"Jadi kenyataan Peguam Negara boleh dipertikaikan kerana keabsahan ini telah dititahkan Yang di-Pertuan Agong dan saya tak faham mengapa beliau boleh menidakkan atau ingkar dengan titah Tuanku.
"Seri Paduka Baginda titahkan Perdana Menteri yang baharu perlu mendapatkan bukti majoriti di Dewan jadi ikutlah apa yang dititahkan,” katanya.
Senada dengan Ulya Aqamah, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, titah Yang di-Pertuan Agong agar keabsahan Perdana Menteri perlu dipatuhi.
"Ia akan menguji sejauh mana kepercayaan yang diberikan seramai 114 ahli Parlimen itu sama ada ia benar-benar tulen atau ada sesuatu di sebaliknya.
"Dalam perkara ini soal lain tidak timbul, yang penting ia titah Yang di-Pertuan Agong dan kemahuan Seri Paduka Baginda,” katanya.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu menegaskan, kenyataan yang dikeluarkan Peguam Negara bahawa langkah mengabsahkan pelantikan Perdana Menteri adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Seri Paduka Baginda jelas bercanggah dengan titah Tuanku.
"Dengan kenyataan itu, kredibiliti Peguam Negara juga boleh dipersoalkan kerana ia memberi gambaran seolah-olah Perlembagaan tidak mengizinkan (dibuat keabsahan kedudukan Perdana Menteri) sedangkan Perlembagaan tidak pun menyebut sama ada ia dibenarkan atau tidak.
"Malah, seperti yang dititahkan sebelum ini, Seri Paduka Baginda juga mahu Perdana Menteri baharu yang dilantik mesti berani untuk mengabsahkan kedudukannya di Parlimen,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca