SHAH ALAM - Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri jelas memperlihatkan bekas Perdana Menteri kelapan itu tidak gagal sewaktu pentadbirannya sebelum ini. Ahli Majlis Pimpinan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri jelas memperlihatkan bekas Perdana Menteri kelapan itu tidak gagal sewaktu pentadbirannya sebelum ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, ia terbukti apabila Ahli Parlimen Pagoh itu diberi kepercayaan oleh kerajaan baharu yang dipimpin Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggalas tanggungjawab besar itu.

Razali

Menurutnya, kegagalan yang didakwa segelintir pihak itu hanya bersifat persepsi politik berikutan keengganan Muhyiddin menuruti kemahuan kumpulan tertentu.

"Sebab itu, apabila Timbalan Perdana Menteri menjadi Perdana Menteri, maka beliau memberi penghormatan kepada Tan Sri (Muhyiddin) sebab beliau pun nampak yang Tan Sri ini tidak gagal.

"Jadi takkanlah Perdana Menteri (Ismail Sabri) hendak ambil orang yang gagal untuk menguruskan pemulihan negara. Itu pemulihan negara, bukan pemulihan ekonomi semata-mata. Pemulihan negara maksudnya ekonomi, kesihatan, semua terangkum dalam MPN.

"Jadi, saya fikir kita tidak perlu buang masa untuk tuding jari kepada sesiapa, kita selesaikan masalah Covid-19 ini dahulu dan apabila kes kembali reda kita serah mandat kepada rakyat dengan adakan pilihan raya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut, Razali berkata, pemilihan Muhyiddin untuk mengetuai MPN itu juga dilihat tepat bersandarkan pengalaman dan keupayaan yang dimiliki beliau.

Jelasnya, ia juga akan melancarkan struktur dan perancangan yang dibuat sebelum ini memandangkan Muhyiddin mengetahui mengenai situasi pandemik ketika ini.

"Tan Sri (Muhyiddin) adalah Perdana Menteri yang mana beliau angkat sumpah di kala pandemik sedang menggila, bukan pandemik baru hendak mula.

"Kalau MPN ambil mereka yang tidak tahu masalah itu maka lagi la teruk, akan buat struktur baharu dan akan mula jadi dengan kosong balik,” katanya.

Sementara itu, Pas juga yakin MPN akan berfungsi dan berperanan sebaiknya di bawah kepimpinan Muhyiddin memandangkan bekas Perdana Menteri itu telah terlibat secara langsung dari awal pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Jun lalu.

KAMARUZAMAN
Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, pelantikan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong ini merupakan kesinambungan pelan tersebut sewaktu pentadbiran lalu yang semakin membuahkan kejayaan.

"Selain kejayaan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kerajaan juga perlu memastikan agar sektor ekonomi, sosial dan pendidikan yang terkesan akibat pandemik ini dapat dipulihkan dengan segera."Kerjasama daripada setiap pihak adalah amat penting bagi memastikan matlamat melindungi nyawa dan menjamin kelangsungan hidup Keluarga Malaysia dapat dicapai,” katanya di Facebook pada Ahad.

Klik di sini untuk terus membaca