SHAH ALAM - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengisytiharkan perang secara 'total’ terhadap jenayah penyeludupan hidupan liar menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK).
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pihaknya merekodkan statistik rampasan dan tangkapan individu terdiri daripada warga tempatan dan asing dalam kegiatan haram terbabit khususnya sejak OBK dilaksanakan.
Menurutnya, JKDM memfokuskan pemeriksaan di sempadan-sempadan dan pintu masuk negara seperti di Padang Besar, Perlis dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Kami lebih memfokuskan kepada import dan eksport. Jika dikesan wujud kegiatan penyeludupan hidupan liar, kastam akan ambil tindakan,” katanya kepada kru Rasuah Busters pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: RM50 habuan rasuah jejak tapak Pak Belang
Beliau berkata, pihaknya bersama agensi penguat kuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) akan bekerjasama membendung kegiatan haram itu bagi memastikan khazanah negara tidak terancam.
Abdul Latif berkata, pihaknya juga akan bermesyuarat bersama untuk membincangkan isu terbabit.
"Kastam serius tangani isu penyeludupan hidupan liar. Kegiatan itu salah di sisi undang- undang. Mereka yang ditangkap akan dikenakan tindakan di bawah akta berkaitan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mendedahkan terdapat warga tempatan bergerak aktif dalam beberapa sindiket penyeludupan hidupan liar yang dikenal pasti.
Justeru, Acryl Sani menggesa masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa menjalankan operasi dan tindakan supaya mereka yang terlibat dalam jenayah terbabit dapat diheret ke mahkamah.