SHAH ALAM - Rakyat tempatan perlu dididik untuk meningkatkan sikap jati diri dan integriti bagi memupuk semangat cintakan khazanah negara khususnya hidupan liar yang kini jumlahnya semakin merosot akibat kegiatan pemburuan haram. Presiden... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rakyat tempatan perlu dididik untuk meningkatkan sikap jati diri dan integriti bagi memupuk semangat cintakan khazanah negara khususnya hidupan liar yang kini jumlahnya semakin merosot akibat kegiatan pemburuan haram.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Profesor Dr Ahmad Ismail berkata, terdapat beberapa aktiviti seiring dengan usaha kerajaan membanteras aktiviti pemburuan haram dan penyeludupan hidupan liar antaranya pendidikan.

Menurutnya, MNS mempunyai program bersama penduduk tempatan di kawasan tertentu seperti di Gua Musang, Kuala Lipis dan Belum Temenggor.

"Kita (MNS) memperkenalkan program Sahabat Raja Rimba Khas ini untuk Harimau Malaya di mana penduduk tempatan menjadi pelapor tentang hal-hal berkaitan harimau dan membantu memulihkan habitat.

"Selain itu kita juga ada Sahabat Beruang Madu di Kuala Lipis dan Sahabat Burung Enggang di Belum Temenggor. Semua sukarelawan MNS ini akan melaporkan kepada kita sekiranya berlaku sesuatu berkaitan hidupan liar,” katanya pada Ahad.

Dr Ahmad berkata, secara umum penduduk tempatan mengetahui tentang kesalahan memburu hidupan liar yang dilindungi undang-undang.

Bagaimanapun katanya, masih ada pihak ingin mengambil kesempatan apabila mendapat tawaran dan ia terbukti dengan pendedahan mengenai aktiviti pemburuan haram yang melibatkan penduduk tempatan.

"Maka program pendidikan perlu dipertingkatkan, penglibatan komuniti dan pemantauan serta penguatkuasaan ditambah. Penglibatan komuniti perlu mendapat pengiktirafan secara sistematik,” katanya.

Tegasnya, rakyat tempatan perlu dididik untuk tingkatkan integriti dalam perlindungan hidupan liar.

"Semua pihak terutama penduduk tempatan perlu ada pengetahuan dan kemahiran bersama melindungi hidupan liar. Apa yang MNS lakukan perlu mendapat sambutan semua pihak,” katanya.

Rasuah Busters pada Ahad mendedahkan, sindiket pemburu binatang liar yang membayar duit kopi sekurang-kurangnya RM50 untuk merasuah penduduk tempatan bagi menyalurkan maklumat.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, terdapat pemburu haram sanggup membayar duit kopi sehingga ratusan ringgit kepada orang tempatan yang tinggal berdekatan hutan kerana harga seekor harimau jantan boleh mencecah RM200,000 seekor.

Klik di sini untuk terus membaca