SESETENGAH pihak bimbang bahawa usul kepercayaan akan membuka peluang untuk kemelut politik yang baharu. Mereka berhujah bahawa keabsahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudahpun terbukti dengan sokongan 114 ahli... Klik di sini untuk terus membaca

SESETENGAH pihak bimbang bahawa usul kepercayaan akan membuka peluang untuk kemelut politik yang baharu. Mereka berhujah bahawa keabsahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudahpun terbukti dengan sokongan 114 ahli Parlimen.

Malah, ada yang mengutarakan hujah aneh bahawa usul kepercayaan bermakna kuasa mutlak Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan diatasi.

Kedua-dua hujah yang berasaskan pertimbangan politik dan perlembagaan perlu diteliti secara mendalam dan jujur supaya rakyat dan pimpinan tanah air tidak dikelirukan dan mengambil jalan yang bahaya.

Pertama, lain daripada Demokrasi Berpresiden yang menetapkan penggal untuk kongres dan presiden, Demokrasi Berparlimen yang asas bersifat anjal untuk menyesuaikan diri dengan perubahan semasa. Penggal kedua-dua kerajaan dan Parlimen boleh disingkatkan.

Tidak salah kalau kerana sesuatu perkembangan mendadak yang berlaku hari ini, Perdana Menteri dilantik semalam dipecat oleh Parlimen pada hari esok.

Kerana kita tidak ada pemilihan formal Perdana Menteri oleh ahli Parlimen seperti di Jepun dan Jerman, maka pemilihan Perdana Menteri diamanahkan kepada Seri Paduka Baginda dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi: "Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.”

Kuasa Parlimen untuk memecat Perdana Menteri pula termaktub dalam Perkara 43(4) yang berbunyi: "Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan Yang di-Pertuan Agong.”

Kedua-dua peruntukan ini langsung tidak bercanggah kerana Parlimen dan Seri Paduka Baginda mempunyai fungsi masing-masing dalam menyemak dan mengimbang kuasa Perdana Menteri.

Apabila Seri Paduka Baginda memilih calon pada hemat baginda, itu kuasa budi bicara dalam erti kata hemat baginda tidak boleh dipersoalkan, tetapi ia bukan kuasa mutlak seperti yang cuba diketengahkan oleh sesetengah pihak yang nakal kerana Parlimen boleh menarik balik kepercayaan kepada Perdana Menteri bila-bila masa sahaja.

Kalau pilihan Perdana Menteri oleh Seri Paduka Baginda di bawah Perkara 43(2)(a) menjadi mutlak, maka Parlimen tidak lagi berkuasa atas Perdana Menteri dan sistem kerajaan kita juga berubah daripada Raja Berperlembagaan kepada Raja Mutlak.

Ini satu perkembangan yang amat membimbangkan kerana sistem Raja Mutlak mengheret institusi raja ke dalam politik secara langsung dan ketidakpuasan rakyat terhadap Perdana Menteri akhirnya ditujukan kepada raja sendiri.

Inilah sebabnya dunia hari ini tidak banyak lagi negara Raja Mutlak kerana kebanyakannya digantikan kalau bukan Raja Berperlembagaan, maka republik.

Semua pihak harus bertanggungjawab untuk membela dan melestarikan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan kita dengan tidak memberikan tafsiran yang dicemari oleh kepentingan kepartian.

Usul percaya akan menetapkan keabsahan Perdana Menteri dengan membuktikan ketepatan hemat Seri Paduka Baginda. Kepercayaan Parlimen pada Perdana Menteri biasanya tidak berubah pada peringkat awal, maka Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harus menggenggam peluang keemasan ini untuk mengukuhkan kuasanya dan bukan memberi peluang pembangkang untuk mengemukakan usul tidak percaya bila kerajaan membuat kesilapan nanti.

Usul percaya ini bagaikan vaksin. Kesannya tidak kekal selama-lamanya. Akan tetapi, kalau kita enggan menerima vaksin kerana ketakutan yang tidak berasas hasutan golongan nakal dan memberikan dalih bahawa ‘cukuplah kita memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial᾿, akhirnya kita yang rugi kerana kedegilan.

*Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen

Klik di sini untuk terus membaca