Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, seeloknya biarlah Istana Negara yang memutuskan perlu atau tidak usul berkenaan supaya dapat mengelakkan pertembungan antara ketua kerajaan dengan ketua negara.
"Untuk meneliti berkaitan dengan keabsahan kedudukan Perdana Menteri dan juga untuk mengelak spekulasi secara berterusan, saya rasakan Ismail Sabri wajar berjumpa dengan Istana Negara untuk memastikan sama ada perlu atau tidak usul undi percaya kerana di dalam titah Seri Paduka Baginda sebelum ini sudah dikatakan perlu membawa undi percaya ke Parlimen.
"Jadi seeloknya biarlah pihak Istana Negara yang putuskan sama ada perlu atau tidak supaya ini dapat mengelak pertembungan di antara ketua kerajaan dan ketua negara.
"Kita juga tahu dalam perlembagaan tidak ada keperluan untuk undi percaya. Tetapi disebabkan Yang di-Pertuan Agong sendiri telah menyatakan sedemikian, saya merasakan Ismail Sabri perlu kembali ke Istana dan memastikan perkara ini perlu atau tidak supaya ia tidak melahirkan krisis antara kedua-dua pihak,” katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.
Tambah Sivamurugan, keputusan terhadap pertemuan itu juga boleh menghentikan spekulasi secara berterusan.
"Ada peguam mengatakan perlu. Ada yang kata tidak. Mereka membaca perlembagaan mengikut tafsiran sendiri. Bagi saya seeloknya Ismail Sabri kembali ke istana untuk bertanyakan perlu atau tidak undi percaya,” katanya.
Keengganan Ismail Sabri mengadakan undi percaya di Parlimen mewujudkan spekulasi yang mengatakan bahawa Ahli Parlimen Bera itu melanggar titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ahli Parlimen DAP juga menegaskan bahawa Ismail Sabri takut untuk berdepan dengan realiti.
Biarpun begitu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun pada Khamis lepas berkata, tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri atau kerajaan pimpinannya kerana ia ditubuhkan mengikut lunas undang-undang.
Idrus menambah sekiranya masih memerlukan keabsahan, ini bermakna kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara itu boleh diatasi pihak lain.
Susulan kenyataan Idris itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menganggap kenyataan Idrus bahawa undi percaya tidak perlu dilakukan di Parlimen pada 13 September ini sebagai biadab dan melanggar titah Yang di-Pertuan Agong.
Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, kenyataan tersebut bertentangan dengan titah Seri Paduka Baginda ketika sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu.
Di sebalik polemik undi percaya berkenaan, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menjelaskan, terdapat dua kemungkinan yang dikenalpasti berhubung keengganan Ismail Sabri membuat undi percaya terhadap dirinya di Dewan Rakyat.
Pertama tegasnya, Ismail Sabri tidak yakin sokongan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuknya di Parlimen.
Faktor kedua dakwanya, Ismail Sabri langsung tidak mahu mempertimbangkan sebarang penambahbaikkan yang dicadangkan oleh PH.
"Perdana Menteri ketiga dan kelima sebelum ini juga telah mengadakan undi percaya di Parlimen. Ini bukan perkara yang luar biasa.
"Sebelum ini blok Pembangkang terbesar, PH telah menyatakan kesediaan memberikan komitmen tidak menyulitkan proses undi percaya untuk pentadbiran Ismail Sabri dengan syarat beliau melaksanakan agenda penambahbaikan dan dasar-dasar yang bersifat pro-rakyat.
"Namun dengan pelantikan kabinet yang mengekalkan sebahagian besar watak-watak yang gagal (termasuk pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara) sebelum ini dan keengganan melakukan undi percaya,” katanya melalui kenyataan pada Isnin.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga sebelum ini menegaskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri di Parlimen tidak lagi perlu dilakukan kerana memberi risiko berulang pergolakan politik dalam negara. Klik di sini untuk terus membaca