SHAH ALAM - Polisi ‘No jab, No job’ atau ‘Tiada suntikan, Tiada kerja’ yang bertujuan mewajibkan suntikan vaksin sebagai syarat untuk pengambilan pekerja baharu atau pekerja lama kembali bekerja wajar dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di tempat kerja.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, pekerja yang tidak divaksin atas pilihannya sendiri boleh dihalang daripada bekerja semula sehinggalah individu tersebut divaksinasi lengkap atau sekiranya kerajaan mengisytiharkan Malaysia bebas daripada Covid-19.
Kata Syed Hussain, syarat tersebut adalah munasabah kerana di bawah Seksyen 15 dan 17, Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994), menyatakan bahawa majikan bertanggungjawab menyediakan tempat kerja yang selamat dan memastikan orang lain tidak terdedah kepada risiko keselamatan serta kesihatan.
"Tentulah tidak adil untuk pekerja yang telah divaksin ditempatkan dengan pekerja tidak mahu divaksin kerana mereka berasa tidak selamat bekerja bersama.
"Berdasarkan peruntukan di bawah AKKP, majikan berhak tidak membenarkan pekerja yang tidak divaksin daripada memasuki premis pekerjaan untuk memastikan tiada risiko jangkitan di tempat kerja,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, adalah wajar majikan mengenakan syarat iaitu pekerja baharu hendaklah divaksin penuh sebelum diterima bekerja selari dengan peruntukan di bawah Seksyen 24 AKKP di mana pekerja bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan dirinya serta pekerja lain terjamin.
"Pada masa ini, lebih 65 peratus rakyat Malaysia telah divaksin penuh, namun ada segelintir pekerja yang tidak mahu divaksin tanpa alasan yang munasabah.
"Oleh itu, majikan terpaksa mengimbangi hak mereka yang tidak divaksin dan menjadikan pengambilan vaksin penuh sebagai syarat untuk pekerja baharu diterima bekerja.
"Juga menjadi tanggungjawab bersama pekerja untuk memastikan semua rakan sekerja mereka selamat dan sihat selaras dengan peruntukan Seksyen 24 AKKP.
"Kita semua hendaklah menyokong dan mengamalkan polisi ‘kita jaga kita’,” katanya.
Terdahulu, kerajaan memutuskan semua guru yang enggan menerima suntikan vaksin tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka di dalam kelas dan berkomunikasi dengan murid apabila sekolah dibuka pada 3 Oktober depan.
Syed Hussain turut berpandangan bahawa tiada sebarang kesan negatif jika polisi ini dilakukan segera dan pihak MEF menyokong penuh inisiatif pekerja perlu divaksin terlebih dahulu sebelum bekerja bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.
Malah katanya, baru-baru ini Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan sendiri menyatakan bahawa keengganan pekerja mengambil vaksin boleh diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa kerana gagal mematuhi peruntukan AKKP.
"Pengalaman dari luar negara juga menunjukkan bahawa penduduk yang sudah divaksin dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) adalah lebih stabil jika dibandingkan dengan negara yang mempunyai kadar vaksinasi rendah,” kata beliau.
Dalam pada itu, MEF berharap kerajaan akan mengeluarkan garis panduan yang jelas dan terperinci mengenai perkara yang perlu dilakukan supaya tidak timbul pertikaian antara majikan dan pekerja mengenai isu vaksinasi pekerja.
"Penjelasan hendaklah diberikan dalam bentuk garis panduan mengenai hak-hak majikan untuk meminta pekerja divaksin dan hak pekerja mengenai pemvaksinan.
"Garis panduan itu juga hendaklah menyatakan dengan jelas apa yang akan berlaku jika pekerja enggan divaksin tanpa alasan munasabah,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca