BILAKAH kali terakhir anda membeli dan menggunakan setem? Beberapa bulan yang lalu atau beberapa tahun lalu atau beberapa belas tahun yang lalu? 40 tahun dahulu dan tahun-tahun sebelum itu, jika anda bertanya soalan sama, jawapannya... Klik di sini untuk terus membaca

BILAKAH kali terakhir anda membeli dan menggunakan setem? Beberapa bulan yang lalu atau beberapa tahun lalu atau beberapa belas tahun yang lalu?

40 tahun dahulu dan tahun-tahun sebelum itu, jika anda bertanya soalan sama, jawapannya mungkin berbunyi: "Baru minggu lepas atau baru semalam atau baru sebentar tadi.” Bukan pelik juga jika ada yang menjawab: "Baru sebentar tadi dan sekarang nak pergi beli lagi!”

Demikianlah pentingnya setem pada masa dahulu. Oleh sebab pada era itu semua orang bergantung kepada perkhidmatan pos konvensional untuk urusan surat-menyurat, maka setem menjadi sesuatu yang sangat perlu. Bukan setakat ibarat gula kepada kopi, tetapi ibarat kuah kepada kari. Tanpa kuah, apalah maknanya kari.

Atas sebab yang sama, setem menjadi sangat laris jika musim perayaan. Kad-kad ucapan yang dipos, semuanya memerlukan setem. Bagi yang berkasih sayang jarak jauh, setem ibarat nyawa. Tanpa setem, surat atau kad tidak akan bergerak ke mana-mana.

Setem juga digunakan untuk membayar cukai terhadap dokumen (duti setem) dan beberapa perkara lain. Setem bagi tujuan itu ada enam denominasi berlainan iaitu RM1, RM5, RM10, RM50 dan RM250. Tetapi ia bukan dikeluarkan Pos Malaysia, sebaliknya setem khas keluaran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Jadi jangan sekali-kali cuba pos surat dengan setem jenis ini!

Dahulu, di sekolah-sekolah ada pelan menabung untuk pelajar menggunakan setem. Beli setem selalunya 10 sen sekeping, tampal dalam buku khas, Bila semua petak dalam buku itu penuh, bawa ke pejabat pos atau van pos bergerak yang beroperasi di sesuatu tempat. Anda kemudiannya akan diberikan buku akaun yang jumlah simpanan pertamanya sama nilai dengan jumlah setem terdapat dalam buku setem anda.

Setahu saya pelan itu untuk murid sekolah rendah sahaja. Betulkan saya jika tersilap sebab tidak pernah saya melihat pelajar Tingkatan Lima atau Tingkatan Enam mengusung buku setem bagi tujuan membuka akaun.

Jika setem itu popular masa dahulu, maka ada seperkara lain berkaitan setem yang tidak kurang popularnya iaitu hobi mengumpul setem. Hobi mengumpul setem menjadi simbol status dalam kalangan budak-budak pada era itu.

Sebab itu jika ditanya tentang hobi, kebanyakan mereka akan menjawab dengan hidung sedikit kembang: "Mengumpul setem.” Walaupun setem yang ada dalam koleksinya cuma dua atau tiga keping.

Hobi itu dianggap berstatus tinggi kerana ketika itu hendak mendapatkan setem bukannya mudah, lebih-lebih lagi budak kampung macam saya. Kalau setakat terima surat tiga bulan sekali, lebih baik cari hobi lain. Hendak minta setem yang telah digunakan daripada orang kampung, mereka pun kebanyakannya jenis yang lama-lama sekali terima surat.

Sahabat pena

Hendak beli setem baharu, duitnya lagi afdal digunakan untuk beli jajan atau kongsi dengan kawan-kawan beli bulu tangkis.

Cara paling sering digunakan oleh mereka yang mempraktikkan hobi itu adalah mencari sahabat pena seramai mungkin. Kalau boleh cari juga sahabat pena dari luar negara. Apabila surat-surat kita kepada mereka berbalas, maknanya kita akan mendapat setem yang mereka gunakan pada sampul surat dialamatkan kepada kita. Lagi kerap mereka hantar surat, lagi banyak setem akan kita dapat.

Proses yang perlu dilakukan selepas itu adalah menggunting setem pada sampul surat dengan cermat. Kemudian rendam dalam air bagi tujuan memisahkan setem dengan kertas sampul. Selepas itu dikeringkan di bawah cahaya matahari sebelum disusun di dalam album setem.

Pendek kata, kerjanya agak renyah. Bagi yang tidak sabar, mereka mungkin akan mengoyak terus setem daripada sampul. Jika tersilap langkah, setem akan rosak atau cacat. Maka, jadilah nilainya sama macam kertas berstatus sampah yang lain.

Cara lain untuk mendapatkan setem adalah mencari kawan-kawan yang berkongsi hobi sama. Jadi, bolehlah ajak mereka bertukar-tukar setem. Bagi yang serius dengan hobi ini, ada persatuan yang boleh mereka sertai.

Di Malaysia, persatuan yang sesuai adalah Persatuan Filateli Malaysia. Untuk rekod, filateli bermaksud aktiviti mengumpul dan menyusun bahan-bahan pos seperti setem pos, surat, sampul surat dan bahan-bahan lain.

Koleksi setem tidak lengkap kalau tak ada setem khas yang biasanya dikeluarkan secara terhad sempena sesuatu peristiwa. Contohnya, setem khas sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong, setem khas sempena 50 tahun Rukun Negara, setem khas sempena Hari Pos dan lain-lain.

Setem juga ada kastanya. Misalnya, setem definitif dikeluarkan berasingan untuk siri kebangsaan dan untuk siri negeri. Bagi siri kebangsaan, setnya membariskan setem bernilai tinggi, sementara setem siri negeri, walaupun mengguna imej sama, namun diletakkan nama dan jata negeri pada imej setem tersebut dan nilai mukanya juga lebih rendah.

Nilai

Dulu-dulu ada setem yang nilai mukanya hanya 1 sen, 5 sen dan 10 sen. Maklumkan ketika itu kadar bayaran pos masih murah. Kata kawan senior saya, pada tahun lewat 1970-an, untuk mengepos surat dalam negara, kos setemnya cuma 30 sen.

Kadar pos kad raya atau poskad pula saya agak 15 sen. Sekarang, surat biasa antara 60 sen hingga 70 sen, kad raya pula 50 sen. Itulah agaknya salah satu sebab kenapa orang lebih suka hantar surat menggunakan e-mel dan kirimkan kad raya melalui medsos.

Apa pun setiap setem mempunyai nilainya. Ia termasuklah setem secondhand yang dikumpul oleh peminat. Nilai setem tertakluk pada pelbagai kriteria. Yang pasti makin lama usia sesuatu setem, makin elok ia dijaga dan makin sukar diperoleh, nilainya akan menjadi lebih tinggi.

Pada 9 Jun lalu misalnya, sekeping setem British Guiana One-Cent Magenta yang diterbitkan pada 1856, dilelong pada harga AS$8.3 juta atau RM34.42 juta – cukup untuk membina 688 buah rumah yang nilainya RM50,000 setiap satu. Harga itu jauh mengatasi harga setem pertama yang diterbit dan digunakan di dunia iaitu Penny Black. Setem yang dikeluarkan di London pada tahun 1840 itu hanya berjaya dijual pada harga AS$560,000 atau kira-kira RM2.4 juta sahaja.

Jadi, hobi mengumpul setem bukanlah sia-sia. Kena caranya ia boleh menjadi sumber pendapatan sampingan yang baik. Pada masa dahulu ada kedai-kedai khusus untuk pengumpul setem. Serba-serbi berkaitan hobi mengumpul setem dan kaum kerabat filateli lain dijual di situ. Sekarang ini ramai peniaga dan pengumpul setem beroperasi secara atas talian.

Bagaimanapun, sejak dua tiga dekad kebelakangan ini, hobi tersebut sudah kurang popular. Perubahan gaya hidup yang dipengaruhi oleh perkembangan teknologi komunikasi menjadikan setem kehilangan bisanya.

Sebab itu, tidaklah menghairankan jika ada dalam kalangan budak-budak sekarang termasuk muda remaja, langsung tidak pernah melihat setem. Keadaan mungkin berubah kalau pada setem itu terpapar muka selebriti-selebriti Korea. #dush!

Hobi ini dianggap berstatus tinggi kerana pada masa itu hendak mendapat setem bukannya mudah, lebih-lebih lagi bagi budak kampung macam saya. Kalau setakat terima surat tiga bulan sekali, lebih baik cari hobi lain. Hendak minta setem yang telah digunakan daripada orang kampung, mereka pun kebanyakannya jenis yang lama-lama sekali terima surat.

*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik di Kementerian Komunikasi dan Multimedia

Klik di sini untuk terus membaca