DARI masa ke masa kita akan berjumpa kembali dengan mereka yang pernah bersama kita sama ada sebagai bekas rakan sekerja, bekas bos dan bekas jiran. Namun, kita jarang sekali menganggap kawan-kawan sekolah, sekolej, sekuliah dan kawan sekampung sebagai ‘bekas.’
Barangkali kawan-kawan sekolah, sekolej, sekuliah dan kawan sekampung sudah kita anggap setaraf sebagai saudara. Tidak ada istilah ‘bekas’ buat mereka. Perhubungannya kekal sampai akhir usia.
Baru-baru ini, Facebook memberitahu saya mengenai ulang tahun kelahiran anak sahabat saya, Ramlee Awang Murshid.
Aideen Cool saya kenali sejak dia belum sekolah, yang boleh ketawa dan menangis bila-bila masa. Aideen atau Aizuddin membesar di depan mata saya daripada seorang kanak-kanak bertubuh bulat dan nakal kepada seorang pemuda bertubuh tegap serta tinggi-tinggi daripada bapanya dan ibunya, Dayang Aminah.
Sambil saya menghantar mesej dan poster di laman Facebooknya mengucapkan selamat menyambut ulang tahun kelahiran, saya teringat Ramlee.
Beliau ialah sahabat saya sejak 24 tahun lalu. Oleh sebab kami sama-sama penulis, kami biasa berbual dan berbincang di mana-mana restoran apabila berkesempatan mahupun melalui telefon.Kerana kesibukan masing-masing, komunikasi kami terhenti. Akhirnya saya terlupa langsung menghubunginya. Hari ulang tahun kelahiran Aizuddin mengingatkan saya kembali untuk menghubungi Ramlee walaupun sekadar berbalas mesej.
Baru-baru ini, mesej ucap selamat saya kepadanya dibalas oleh isterinya dengan berita mengatakan Ramlee tidak sihat dan telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).
ICU? "Ini bukan kes sakit biasa,” kata hati saya. Saya jadi risau dan mula berasa terkilan kerana tidak menghubunginya begitu lama. Panggilan saya tidak berbalas dan akhirnya saya hanya menunggu mesej daripadanya.
Alhamdulillah, saya mendapat khabar daripada temannya mengatakan beliau semakin pulih dan akan keluar dari hospital. Saya gembira. Tidak pernah saya gembira mendapat berita apabila seseorang itu pulih daripada sakit. Biasanya saya akan sebut alhamdulillah dalam hati sahaja, tetapi kali ini saya rasa berlainan sekali.Barangkali kerana dalam sebulan dua ini saya menerima berita sedih mengenai kehilangan mereka yang dekat dengan saya, maka saya jadi prihatin apabila mendapat berita tentang kesakitan sesiapa sahaja.
Ya, dalam hidup ini kita akan mengumpul kawan dan sahabat di mana-mana sejak di bangku sekolah, di asrama, kolej, kuliah, tempat kerja, kawasan perumahan, jiran dan saudara-mara yang dekat serta jauh.
Semakin kita meningkat usia, semua kenalan akan pergi seorang demi seorang. Dan mereka bukannya pergi dengan berita keuzuran, malah ada yang pergi tanpa amaran. Covid-19 mempercepat pemergian itu hingga kita tertanya bilakah giliran kita.
Kerana itu, inilah masanya buat kita menggali nama-nama saudara-mara, sahabat dan rakan di telefon masing-masing.
Inilah waktunya kita menelusuri nama-nama kawan kita yang sudah lama tidak melintas di laman sosial kita. Hubungilah mereka, segarkan kembali persahabatan dan semasakan perhubungan. Sekarang bukan lagi masa mencari berita dan kisah mereka yang tiada kena-mengena dengan kiraan tolak, campur, bahagi dan darab kita di Padang Mahsyar esok. Apatah lagi bercerita dan bergelumang dengan gosip serta mengata mereka yang tiada berkaitan dengan kita.Sekarang adalah masa kita untuk menyampaikan berita gembira kepada mereka yang mengenali kita.
Barangkali ia memberi senyuman akhir kepada seorang kenalan. Barangkali juga ia hadiah senyuman akhir kita kepada semua orang yang mengenali kita. Inilah norma baharu yang harus menjadi prosedur operasi standard kita pada hari dan waktu yang tidak menentu ini.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca