GERAKAN Reformasi yang tercetus pada bulan September 1998 telah menggemparkan seluruh Malaysia khususnya pada tahun-tahun Reformasi hingga ke awal dasawarsa 2000-an. Kesan sosiosiasah Reformasi dirasakan hingga sekarang walaupun sudah tentu bahang semangatnya serta ancaman penangkapan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidaklah sepanas seperti awal era Reformasi itu.Itu mukadimah ringkas saya kepada mesej yang hendak saya kongsikan bersama-sama pembaca budiman.
Sejak September 1998 hinggalah kini zaman pandemik Covid-19, isu pengendalian kewangan keluarga ialah satu realiti sosioekonomi yang berkaitan dengan kehidupan kekeluargaan yang memerlukan sorotan pandangan yang serius. Sebenarnya isu kekeluargaan ini tidak terhad kepada zaman Reformasi atau zaman Covid-19 sahaja.
Bagi pasangan suami isteri dan juga ahli-ahli keluarga semua agama dan kepercayaan, ia relevan sepanjang masa. Cuba kita pertimbangkan tiga senario yang boleh berlaku dalam masyarakat.
Senario pertama, seorang aktivis sosial lelaki yang ditangkap dan dipenjarakan oleh kerajaan di bawah ISA ialah seorang ketua keluarga yang menjadi sumber kewangan dan nafkah keluarga.
Keadaan ini sudah tentu akan menyulitkan keluarga. Jika isterinya tidak menyimpan akaun atau tidak mempunyai nombor pin bank wang simpanan keluarga, keadaan kewangan keluarga menjadi amat sukar.
Untuk beberapa ketika hinggalah bantuan kewangan diterima, isteri yang malang ini tidak mempunyai kemudahan untuk mengambil wang; itu pun jika ada wang dalam akaun simpanan suaminya. Dalam pengalaman awal era Reformasi itu, ahli-ahli keluarga serta sahabat handai yang bersimpati menghulurkan bantuan.
Senario kedua, seorang suami yang pengasih dan bertanggungjawab meninggal dunia serta-merta. Ia juga adalah seorang ketua keluarga yang menjadi sumber kewangan dan nafkah keluarga. Keadaan ini sudah tentu akan menyulitkan keluarga.
Seperti senario pertama di atas, jika isterinya tidak menyimpan akaun atau tidak mempunyai nombor pin bank wang simpanan keluarga, keadaan kewangan keluarga menjadi amat sukar.
Kedua-dua senario di atas tadi boleh berlaku dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Ia tidak terhad kepada mana- mana bangsa atau agama.
Senario berikut pula terhad kepada suasana keluarga Islam sahaja kerana suasana keluarga Kristian, Hindu dan Buddha sudah tentu mempunyai hukum-hakamnya yang tersendiri.
Senario ketiga, seorang suami berusia 51 tahun terpaksa dirawat di hospital kerana masalah penyakit jantung.
Isterinya berada dalam keadaan bimbang akan keadaan kesihatan suaminya yang dikasihinya itu. Ia terus melaksanakan tugasnya sebagai ibu kepada tiga orang anak; dan juga sebagai pekerja pejabatnya dengan baik.
Pada keesokan hari, tiba-tiba seorang wanita muda menelefon dan meminta kebenarannya untuk menziarahi suaminya. Ada ketika, isteri kedua hanya diketahui oleh keluarga isteri pertama apabila wanita ini mahu menziarahi seorang suaminya di hospital atau di penjara.
Dalam apa keadaan pun, tidak kira pada zaman Reformasi yang telah berlalu atau kini pada zaman Covid-19 dan PKP ini, pengurusan kewangan keluarga sangat penting untuk semua warga dunia.Dalam Islam, perancangan dan prinsip penyimpanan serta pewarisan harta yang asas mestilah dipelajari, dikuasai dan dihayati oleh semua pasangan suami isteri atau pasangan suami dan isteri-isterinya. Para penganut semua agama mestilah peka akan keperluan ini.
Islam mengajar kita membayar hutang dan menentukan pewarisan harta kepada anak-kanak. Anak-anak wajib mengetahui apakah hutang yang terbeban ke atas pundak ibu bapanya.
Hakikat ini mestilah sentiasa diketahui oleh generasi pewaris yang akan terbeban juga dengan hutang ibu bapa yang tidak dapat dilunaskan oleh ibu bapa mereka.
* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Yayasan Ikram Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca