SHAH ALAM - Pasar raya terkemuka, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) mewajibkan semua kakitangannya mengambil dua dos suntikan vaksin sebagai syarat bekerja untuk langkah menjaga keselamatan semua pihak termasuk pelanggan.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, di Selangor, semua pekerja di Mydin sudah mengambil dua dos suntikan vaksin demi menjaga keselamatan di tempat kerja kerana kebanyakan mereka terdedah kepada pelanggan terutamanya di pasar raya.
"Mydin mewajibkan pekerja mengambil dua dos vaksin kerana mereka banyak bekerja dalam keadaan yang terdedah kepada pelanggan dan bukannya di pejabat sahaja.
"Oleh itu, demi menjaga keselamatan semua pihak, mereka wajib mengambil vaksin dan tidak boleh mementingkan diri.
"Setakat ini, semua pekerja kami di Selangor sudah mengambil dua dos suntikan namun bagi negeri seperti Kelantan dan Terengganu, kadar vaksinasi di sana belum mencapai tahap yang sama, jadi kami perlu terima jika pekerja masih belum mendapat vaksin kerana itu bukan pilihan atau salah mereka,” katanya.
Tambahnya, bagi pekerja yang enggan divaksin, syarikat Mydin akan memberikan khidmat kaunseling untuk mengetahui masalah dan alasan di samping menerangkan kepentingan vaksin kepada mereka.
"Bagi mereka yang tidak mahu mengambil vaksin, kami mengadakan sesi kaunseling untuk mengetahui apa masalah mereka.
"Kebanyakan mereka menolak atas sebab agama dan perasaan takut kepada vaksin. Perasaan itu wujud kerana ramai yang mendapat informasi tidak tepat mengenai vaksin yang tersebar.
"Kami juga akan memberi mereka nasihat dan masa untuk mereka berfikir. Kami akan memanggil doktor untuk memberitahu mereka tentang kesan-kesan dan kebaikan mengambil vaksin.
"Setakat ini, belum ada yang menolak cadangan mengambil vaksin selepas sesi kaunseling diadakan,” katanya.
Ameer Ali juga berpandangan bahawa polisi ‘No Jab, No job’ adalah wajar sebagai salah satu syarat bagi pengambilan pekerja baharu.
"Syarat tersebut tidak ada masalah untuk dilaksanakan dan saya bersetuju dengan polisi ‘No jab, No job’ kerana ia sangat penting untuk menjaga keselamatan majoriti.
"Saya juga berpendapat polisi ini wajar dari segi agama mahupun moraliti,” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca