SHAH ALAM - Tindakan majikan tidak membenarkan pekerjanya bekerja kerana enggan menerima vaksin Covid-19 adalah sesuatu yang tidak wajar.
Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, penggunaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP) bagi mengenakan tindakan terhadap pekerja dianggap tidak sesuai memandangkan situasi yang berbeza ketika akta tersebut digubal.
"Kalau kita lihat waktu akta itu digubal dalam keadaan situasi normal dan bukan ketika pandemik yang kita hadapi sekarang.
"MTUC berpendapat, ia akan menimbulkan konflik antara majikan dan pekerja memandangkan ketika ini tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan untuk tidak membenarkan pekerja bekerja sekiranya enggan menerima vaksin Covid-19.
Justeru, beliau menggesa agar satu perbincangan dilakukan antara MTUC, wakil majikan dan pihak kerajaan bagi mengatasi serta memperhalusi masalah tersebut.
"Saya rasa masalah pekerja yang tidak divaksin ini perlu ditangani dengan bijak dan secara berhemah.
"Kita tidak mahu nanti akan ada mana-mana pihak terkesan, apatah lagi ketika pandemik yang melanda kini,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Effendy berharap agar pekerja mengambil vaksin demi kebaikan dan keselesaan semua pihak.
Tambahnya, pengambilan vaksin sehingga mencapai 80 peratus imuniti kelompok akan mempercepatkan pembukaan sektor ekonomi dan sosial.
Klik di sini untuk terus membaca