[EKSKLUSIF] SHAH ALAM - Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengesahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan merupakan calon tunggal daripada blok kerajaan untuk dilantik sebagai Timbalan Speaker Parlimen... Klik di sini untuk terus membaca

[EKSKLUSIF] SHAH ALAM - Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengesahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan merupakan calon tunggal daripada blok kerajaan untuk dilantik sebagai Timbalan Speaker Parlimen baharu pada persidangan Parlimen minggu hadapan.

Jelas bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu, pencalonan Ahmad bagi menggantikan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan dua minggu lalu adalah satu keputusan tepat kerana kerusi itu masih perlu diisi oleh calon blok kerajaan.

Tambahnya, kerajaan juga tidak akan sesekali memberi ruang kepada calon bukan kerajaan bagi mengisi jawatan berkenaan, walaupun terdapat desakan supaya calon daripada pembangkang dipertimbangkan.

Beliau turut difahamkan bahawa bekas Timbalan Speaker Parlimen, Nga Kor Ming bakal dicadangkan oleh blok pembangkang untuk menduduki semula kerusi itu melalui proses pemilihan baharu di Parlimen kelak.

"Kerusi Timbalan Speaker Parlimen masih perlu diisi dengan calon kerajaan dengan kita tidak akan sesekali memberi jalan kepada calon pembangkang mengisinya.

"Kita akan memilih Ahli Parlimen Pontian ini sebagai calon tunggal blok kerajaan dengan pembangkang dijangka akan mencadangkan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming.

"Dalam isu ini, pembangkang tidak perlu cakap banyak kononnya kerajaan perlu lebih terbuka menerima calon mereka untuk mengisi jawatan Timbalan Speaker Parlimen. Ini kerana sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH), mereka sendiri pun langsung tidak beri ruang kepada kami sebagai pembangkang ketika itu," katanya eksklusif kepada Sinar Premium pada Rabu.

MOHAMED NAZRI


Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ketua Pembangkang Negeri Perak, Dr Abdul Aziz Bari bahawa pihak kerajaan akan mencadangkan Ahmad sebagai calon Timbalan Speaker Parlimen pada persidangan Parlimen akan datang.

Jelas Abdul Aziz lagi, cadangan itu akan meninggalkan kesan kepada kemuliaan dan ketinggian Parlimen sebagai badan perundangan negara.

Selain itu, Naib Pengerusi DAP Perak itu berpandangan keputusan melantik seseorang yang masih terpalit dengan 'kluster mahkamah' akan menjadikan Parlimen bahan jenaka di dalam dan luar negara.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri turut membidas sikap retorik pembangkang yang hanya menuntut kerajaan melakukan reformasi dan pembaharuan dalam amalan demokrasi, sedangkan mereka masih berada di takuk politik lama.

Ujarnya, keputusan PH melantik seorang hakim yang didakwa anti kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menjadi Speaker Parlimen sewaktu menjadi kerajaan sepatutnya menjadi ukuran 'keikhlasan' sebenar koalisi itu di mata rakyat.

"PH tidak pernah amal pun apa yang mereka tuntut dan cakap. Jangan sekadar lihat sesuatu perkara itu adil hanya setelah dilakukan kerajaan, sedangkan mereka sendiri pun langsung tidak membawa pembaharuan apa-apa sewaktu menjadi kerajaan," katanya.

"Dalam isu ini, pembangkang tidak perlu cakap banyak kononnya kerajaan perlu lebih terbuka menerima calon mereka untuk mengisi jawatan Timbalan Speaker Parlimen." - Mohamed Nazri

Ditanya sama ada pelantikan Ahmad akan memberi implikasi buruk kepada kerajaan susulan beliau antara pemimpin terpalit kes mahkamah, Mohamed Nazri tidak melihat perkara itu satu isu yang perlu diperbesarkan.

Tambah beliau lagi, selagi mana Ahli Parlimen Pontian itu belum disabitkan atas kes mahkamah dihadapinya dan masih berstatus wakil rakyat, maka Ahmad berhak dilantik sebarang jawatan kerajaan.

"Mengenai kes perbicaraan mahkamah membabitkan Ahmad, saya pun tidak tahu kedudukan terkini perbicaraan kes beliau.

"Bagi saya, selagi beliau belum disabitkan hukuman, tidak ada masalah. Kalau beliau masih mengekalkan status ahli Parlimen, mengapa Ahmad tidak boleh dilantik menjadi Timbalan Speaker Parlimen?," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Nazri turut mengenepikan spekulasi pihak pembangkang ada mengemukakan usul menukar Speaker Parlimen pada persidangan Parlimen minggu hadapan.

"Setakat saya tahu, tiada usul menukar Speaker Parlimen daripada pihak pembangkang pada sidang Parlimen minggu hadapan.

"Kita akan kekalkan Speaker Parlimen sedia ada, Datuk Azhar Azizan Harun seperti sediakala," katanya.

DR HAMIDIN


Sementara itu, Felo Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Hamidin Abdul Hamid memberi pandangan berbeza dengan Mohamed Nazri, sebaliknya beliau bersetuju dengan pendapat dilontarkan Abdul Aziz.

Jelas beliau, UMNO sebenarnya perlu bertindak matang dengan tidak memilih calon Timbalan Speaker Parlimen yang mempunyai 'baggage' seperti Ahmad untuk diketengahkan sebagai wakil blok kerajaan.

"Saya rasa seharusnya sesiapa sahaja yang memegang jawatan di Dewan Rakyat perlu bersih daripada sebarang pendakwaan kes mahkamah bagi membolehkan integriti Parlimen dipelihara.

"Hal ini kerana sesiapa yang dilantik sebagai Speaker dan Timbalan Speaker Parlimen tidak lagi terikat dengan jawatan dalam parti, sebaliknya perlu bersikap neutral dan telus dalam menguruskan perjalanan dan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

"Selain itu, calon Timbalan Speaker Parlimen sepatutnya mempunyai latar belakang perundangan bagi membolehkan individu berkenaan menjalankan tugas itu dengan sebaiknya," katanya.

Dalam pada itu, Hamidin turut mempersoalkan keputusan UMNO untuk tidak mencalonkan ramai lagi pemimpin parti yang bukan terdiri 'kluster mahkamah' serta berkemampuan besar menggalas tanggungjawab berkenaan berbanding Ahmad.

"Saya berpandangan mungkin pemimpin seperti bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah antara calon-calon yang layak diketengahkan UMNO selain pertimbangan mengembalikan Azalina sendiri.

"Selain itu, saya juga skeptikal dengan keperluan UMNO menganggap jawatan Timbalan Speaker Parlimen adalah kuota jawatan milik parti itu dan pandangan itu tidak betul," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca