[MUKADIMAH] Siapa sangka, selepas tempoh lebih 40 tahun figura ini mewarnai dunia politik tanah air, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz akhirnya mengumumkan persaraan beliau. Dikenali sebagai salah seorang pahlawan... Klik di sini untuk terus membaca

[MUKADIMAH] Siapa sangka, selepas tempoh lebih 40 tahun figura ini mewarnai dunia politik tanah air, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz akhirnya mengumumkan persaraan beliau.

Dikenali sebagai salah seorang pahlawan UMNO yang lantang bersuara, tidak takut untuk mempertahankan parti dan kerajaan sewaktu menjadi anggota kabinet dan paling penting, tidak kekok untuk berbeza pendapat dengan sesiapa sahaja termasuk presiden parti sendiri.

"Saya memang warrior. Saya tidak bimbang dan takut. Saya ingat setiap manusia hidup di dunia hanya takut mati sahaja. Jadi kepada saya, apa saya buat adalah demi kepentingan parti,” katanya.

Penglibatan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) serta Menteri Pelancongan itu dalam kancah politik tanah air sememangnya sentiasa menarik perhatian para pemerhati politik dan rakyat negara ini.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Harian, Khairil Anwar Mohd Amin bersama Mohamed Nazri bagi menyelami rahsia sebenar di sebalik kejatuhan kerajaan PN, harapan terhadap Ismail Sabri serta perancangan beliau selepas bersara daripada dunia politik kelak.

SINAR HARIAN: Datuk Seri memainkan peranan penting dalam membantu Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri tetapi nama Datuk Seri tidak tersenarai dalam kabinet. Apa komen Datuk Seri?

MOHAMED NAZRI: Pertama sekali, kita kena ingat apa sahaja kita buat, kita mesti fikir apa yang terbaik untuk parti. Kita jangan ada agenda peribadi di sebalik setiap perkara dilakukan.

Kalau kita ada agenda peribadi, maka kita buat sesuatu itu dengan harapan untuk mendapat sesuatu. Jadi pada saya, mengapa saya sokong Ismail Sabri kerana ini adalah untuk kebaikan parti.

Beliau telah mendapat kesempatan untuk menjadi Perdana Menteri. Dalam keadaan di mana UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14. Pada ketika itu, kita tentu memikirkan berapa banyak PRU yang harus ditempuhi UMNO untuk kembali memimpin kerajaan.

Tetapi dengan tidak semena-mena, peluang UMNO kembali menjadi Perdana Menteri muncul. Walaupun di peringkat awal, UMNO diberi kesempatan duduk dalam kerajaan atas kesilapan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sendiri, bukan disebabkan peranan UMNO.

Peluang itu diberikan kepada UMNO untuk bersama-sama menyertai kerajaan dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berdasarkan satu persetujuan dibuat dalam kalangan ahli-ahli Parlimen parti itu, UMNO memuktamadkan keputusan menyertai kerajaan PN.

Kemudian, satu lagi peluang terbuka untuk pemimpin UMNO sendiri menjadi Perdana Menteri, hasil daripada desakan Muhyiddin meletak jawatan.

Mohamed Nazri

Jadi, saya sebagai ahli UMNO melihat kesempatan supaya pemimpin parti itu kembali memimpin negara . Tetapi perkara ini memerlukan pengorbanan dan penyatuan dalam kalangan semua ahli UMNO.

Sebab itu saya nampak peluang ini dan saya pergunakan sebetul-betulnya untuk memastikan supaya Ismail Sabri dapat menjadi Perdana Menteri.

Bagaimana Datuk Seri melihat keperibadian yang ditampilkan oleh Ismail Sabri?

Dalam keadaan sekarang, kita memerlukan satu individu yang mempunyai perwatakan sabar, tenang, boleh menerima pandangan ramai, bijak menyesuaikan diri dengan keadaan serta orang bersamanya selain bersifat lembut.

Perwatakan sebegini dimiliki Ismail Sabri dan atas sebab itu, beliau mempunyai kelebihan dilantik sebagai Perdana Menteri baharu. Selain itu, kredibiliti beliau tidak boleh dipertikaikan kerana Ismail Sabri langsung tidak terlibat dengan sebarang skandal atau kes mahkamah.

Ismail Sabri juga adalah seorang pemimpin yang menunjukkan perwatakan serta kepimpinan yang bersesuaian saat diperlukan parti bagi mendepani perkara-perkara genting.

Dari sudut pengalaman, walaupun beliau dianggap pemimpin lapisan baharu, tetapi pengalamannya menjadi menteri sejak zaman bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi seterusnya menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika pemerintahan PN membuktikan beliau sudah bersedia.

Mengapa Datuk Seri membuat keputusan berubah-ubah bermula dengan menarik sokongan terhadap Muhyiddin, kembali menyokongnya dan seterusnya menyokong Ismail Sabri?

Saya buat keputusan seperti ini, kesemuanya atas kepentingan parti. Pada bulan Januari, saya menarik sokongan terhadap Muhyiddin disebabkan keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika itu dan juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak menyokong kerajaan PN di atas dua sebab.

Pertama, kerajaan Muhyiddin tidak memenuhi permintaan UMNO supaya moratorium pinjaman bank dilaksanakan secara menyeluruh. Itu perkara pokok yang kita bangkitkan sebagai syarat ahli-ahli Parlimen UMNO bersetuju menyokong usul Belanjawan 2021.

Kedua, Muhyiddin juga tidak menerima permintaan kita supaya bantuan kebenaran pengeluaran wang akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diberikan kepada rakyat terkesan pandemik Covid-19.

Sekalipun ada bantuan KWSP diberikan, rakyat terpaksa berdepan dengan syarat kelulusan ketat. Atas sebab itu, saya bersetuju untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin. Hal ini juga menjadi faktor penyebab Muhyiddin jatuh sebagai Perdana Menteri. Kalau beliau ikut cakap UMNO, mungkin beliau masih menjadi Perdana Menteri lagi.

Apabila Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 diadakan pada bulan Mac pula, parti telah buat dua ketetapan penting iaitu ahli-ahli Parlimen UMNO akan terus menyokong kerajaan PN sehingga PRU15 dan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terputus.

Walaupun keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO selepas itu menuntut semua ahli Parlimen parti menarik sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta, saya tidak setuju kerana keputusan PAU adalah tertinggi. Selain itu, keputusan PAU turut menekankan 'No Anwar, No DAP'.

Jadi, bagi saya, kalau sebelum ini saya tarik sokongan terhadap Muhyiddin dan kemudian menyokongnya semula, itu bukan sebab saya flip-flop, sebaliknya saya menghormati keputusan PAU.

Ada pihak berpendapat perubahan kerajaan mengulangi Langkah Perak sehingga menyebabkan UMNO dituduh gila jawatan Perdana Menteri memandangkan majoriti Jemaah Menteri masih sama. Apa komen Datuk Seri?

Dua alasan cukup kuat. Pertama, saya mahu kita wujudkan sebuah kerajaan stabil untuk mendepani pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi.

Di Perak pun sebelum ini, kerajaannya tidak stabil. Kalau tidak stabil, bagaimana kerajaan hendak melawan krisis Covid-19 dan memulihkan masalah ekonomi? Begitu juga di peringkat persekutuan.

Saya mengaku bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di Perak. Bukan kerana gila kuasa, tetapi lebih mahukan kestabilan untuk membolehkan kita melawan Covid-19 dan memulihkan ekonomi dengan cepat.

Apa yang saya lakukan di Perak, berdasarkan dua faktor ini, saya turut ulanginya di peringkat pusat berdasarkan situasi yang berlaku.

Asas keduanya, kepentingan mempertahankan kerajaan Melayu dan Islam. Di Perak, kita tahu PH ketika itu memerintah. Di sana menteri besar ketika itu hanya menjadi patung sahaja kerana Bersatu cuma ada satu kerusi.

Di peringkat persekutuan, apa yang dilakukan di Perak, saya turut jadi mastermind.

Sebelum kerajaan PN jatuh, kita kena pertahankan Muhyiddin sebagaimana dikehendaki PAU 2020.

Apatah lagi, selepas Muhyiddin letak jawatan dan naik adalah pemimpin UMNO, ini alasan lebih kuat kepada saya untuk mempertahankan kerajaan sedia ada.

Adakah Datuk Seri didatangi mana-mana pihak untuk berunding bagi meraih sokongan Datuk Seri terhadap Perdana Menteri baharu?

Tiada siapa yang datang bertemu saya daripada pihak PH untuk 'membeli' atau menawarkan ganjaran bagi meraih sokongan saya. Begitu juga dengan pihak sebelah saya (UMNO dan PN), saya tidak didatangi sesiapa.

Ini kerana mereka tahu pendirian saya tegas dan jelas, saya akan kekal menyokong Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri baharu ketika itu.

Daripada awal lagi, saya telah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Ismail Sabri.

Adakah dengan keputusan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, hubungan UMNO-Pas berjaya diselamatkan?

Sudah tentu. Saya yakin pemilihan Ismail Sabri oleh UMNO sebagai calon Perdana Menteri sememangnya menjadi pemangkin kepada Pas untuk menyokong UMNO. Sama juga dengan Bersatu. Saya anggap Bersatu sebagai UMNO kerana dua parti ini mempunyai DNA yang sama. Saya tidak lihat UMNO dan Bersatu ini akan berasingan berpanjangan.

Akhirnya dua parti Melayu ini akan bertaut semula. Sebab itu, bagi saya memang betul, individu bernama Ismail Sabri ini mempermudahkan usaha UMNO meneruskan permuafakatan dengan Pas.

Benarkah SD yang dikumpulkan Datuk Seri dan Ismail Sabri sebelum ini bertujuan mempertahankan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri atau satu persediaan membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik dalam kalangan ahli-ahli Parlimen BN?

Ya, saya kumpul SD 25 ahli Parlimen BN pada awalnya untuk melantik Hishammuddin sebagai jurucakap kami sekiranya wakil parti dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Yang kedua, apabila Muhyiddin letak jawatan dan secara logiknya Timbalan Perdana Menteri ketika itu sepatutnya diangkat bagi mengisi jawatan Perdana Menteri baharu, maka saya secara automatik menyokong Ismail Sabri bagi jawatan itu.

Kutipan SD yang kedua sebenarnya adalah bertujuan membolehkan Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri seperti yang disokong oleh parti-parti komponen lain. Sudah tentu Timbalan Perdana Menteri kerajaan PN ditonjol sebagai Perdana Menteri baharu.

Langkah ini penting kerana saya percaya individu ini juga akan disokong parti-parti komponen lain bagi membentuk kerajaan baharu. Jadi, semua pihak sepatutnya mempermudahkan usaha ini dan tidak meletakkan halangan. Kita mahu tubuhkan kerajaan bumiputera dan Islam.

Impian orang Melayu sejak dahulu lagi mahu melihat UMNO dan Pas bergabung. Justeru, tiada keperluan mana-mana pihak untuk menjadi penghancur kepada koalisi penyatuan ummah yang sudah berlaku kini.

Saya penyokong kuat gabungan Pas dan UMNO. Saya harap langkah ini berkekalan sampai bila-bila.

Apa harapan Datuk Seri kepada Ismail Sabri selepas Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua parti dalam PH sebelum mengumumkan senarai Jemaah Menteri bagi kerajaan baharu?

Ada tiga, empat perkara yang saya harap boleh dipenuhi Ismail Sabri. Perkara pertama sekali adalah usaha berkesan bagi menangani krisis Covid-19 dan pemulihan ekonomi. Dua isu ini melangkaui politik. Dalam usaha pemulihan ekonomi, bawa masuk pembangkang.

Anwar, (Lim) Guan Eng, Parti Amanah Negara (Amanah), Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga sesiapa dalam blok pembangkang yang berperanan besar untuk membantu negara. Ajak mereka duduk semeja, lantik mereka untuk anggotai jawatankuasa khas bagi menangani Covid-19 dan iktiraf peranan mereka dalam membantu kerajaan.

Ini baru kerjasama bipartisan. Ini adalah soal rakyat dan bukan soal kerajaan sahaja. Kita ketepikan politik parti, fokus usaha pulihkan ekonomi dan krisis Covid-19 kerana rakyat tengah susah ketika ini.

Tidak usaha hendak kata penubuhan jawatankuasa khas kena saiz kecil, libatkan semua selagi mana kehadiran mereka benar-benar memberi idea penting untuk membantu kerajaan.

Kedua, dengan tempoh berbaki dua tahun khidmat saya sebagai ahli Parlimen, saya mempunyai harapan supaya kita dapat mereformasikan Parlimen ke arah kebaikan. Saya harap kerajaan dan pembangkang bersungguh-sungguh, bekerjasama untuk merealisasikan Akta Anti Lompat Parti. Semua parti terkesan dengan gejala lompat parti ketika ini.

Apa syarat yang dicadangkan Datuk Seri untuk menjayakan Akta Anti Lompat Parti?

Kalau boleh lihat ucapan saya pada tahun lepas, parti sepatutnya bertanding berdasarkan lambang atau logo parti. Justeru kemenangan calon yang bertanding juga adalah kerana lambang dan bukan berdasarkan individu.

Maka oleh kerana itu, tiada seorang individu yang boleh mengemukakan tuntutan bahawa dia menang PRU atas dirinya, kecuali calon bebas. Kalau tidak, pertandingan sewaktu pilihan raya perlu berasaskan lambang atau logo parti.

Kedua, mesti ada tiga nama calon dikemukakan parti kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sewaktu pilihan raya diadakan. Sekarang, kalau kita lihat pada kertas undi, cuma ada satu nama mewakili parti masing-masing.

Mengapa tiga nama?

Tiga nama ini pada bila-bila masa boleh mewakili lambang atau logo parti bertanding. Kalau nama calon pertama buat hal (lompat parti), parti boleh singkirkan mereka dan digantikan dengan senarai nama kedua dan ketiga.

Sama juga sekiranya calon utama meninggal dunia. SPR tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil lagi, sebaliknya terus melantik calon nombor dua daripada parti yang sama sebagai wakil rakyat baharu.

Jadi, ini asas pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti yang saya anggap baik serta berkesan. Semua calon perlu bertanding pilihan raya berasaskan lambang dan parti menyenaraikan tiga nama calon sebagai persediaan sekiranya ada lompat parti atau meninggal dunia.

Melalui kaedah ini, saya percaya upacara tawar-menawar dan beli-membeli wakil rakyat akan dapat dihentikan sepenuhnya. Ketiadaan Akta Anti Lompat Parti akan menyebabkan kerajaan tidak stabil sebagaimana berlaku ketika ini.

Bila ada akta sebegini, semua parti tidak perlu takut ahli Parlimen mereka beralih kesetiaan. Saya juga mahu sekiranya boleh, mana-mana kerajaan dipilih daripada PRU memenuhi tempoh penggal pentadbiran sebagaimana ditetapkan selama lima tahun.

Tiada keperluan untuk sesebuah kerajaan mengadakan pilihan raya lebih awal atas apa jua alasan sekali pun. Kerajaan itu perlu membuktikan perancangan mereka untuk kemajuan negara dipenuhi dalam tempoh lima tahun sebagaimana diamanahkan.

Selain itu, rakyat sewaktu mengundi, memberi mandat kepada sebuah kerajaan untuk mentadbir selama lima tahun. Tetapi tidak sampai lima tahun, kerajaan buat perangai dan adakan pilihan raya umum.

Tetapkan sebuah kerajaan wajib memenuhi tempoh penggal pentadbiran selama lima tahun supaya kerajaan dipilih rakyat itu stabil serta dasar pentadbiran benar-benar memberi impak kepada negara.

Adakah kerajaan perlu meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan sekiranya mahu merealisasikan Akta Anti Lompat Parti?

Tidak perlu. Akta ini masih boleh digubal tanpa keperluan pinda Perlembagaan Persekutuan. Kita cuma perlu pinda Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sahaja dan saya percaya cadangan ini boleh dilaksanakan kerajaan secepat mungkin.

Menyentuh isu kebebasan berpersatuan yang didebatkan menjadi kekangan untuk Akta Anti Lompat Parti direalisasikan, perkara itu bukan lagi menjadi isu apabila calon pilihan raya berkenaan bersetuju untuk beliau digantikan dengan calon lain dari parti yang sama sekiranya individu itu bertindak melompat parti atau meninggal dunia.

Jadi, soal kekangan kebebasan berpersatuan sudah tidak wujud. Bahkan calon berkenaan masih bebas untuk berpersatuan sekiranya dia mahu keluar. Cuma individu itu tidak boleh membawa bersamanya kerusi wakil rakyat yang dimenangi kerana itu hak parti bukan individu.

Sebelum UMNO dan BN mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu, ada spekulasi mengatakan terdapat tiga nama lagi seperti Ahmad Zahid, Najib dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang berpotensi dicalonkan parti bagi jawatan itu. Sejauh mana kebenaran dakwaan itu?

Ya, saya ada dengar. Saya dengar mungkin ada perundingan dilakukan. Saya bukan ahli MKT UMNO. Tetapi saya dengar memang ada perundingan nama-nama sebegitu dibangkitkan.

Kalau orang biasa pun, apabila tengok bila ada kelewatan UMNO mengumumkan nama calon Perdana Menteri setelah Ismail Sabri ditonjol untuk menjadi Perdana Menteri. Sudah tentu ada perundingan, jadi mungkin betul (spekulasi itu).

Daripada apa saya dengar, ketika itu memang empat nama ditonjolkan iaitu Ismail Sabri, Najib, Ahmad Zahid dan Ku Li dan kemungkinan besar terdapat perundingan berlaku sesama mereka.

Susulan isu kejatuhan kerajaan PN yang membawa kepada pelantikan Perdana Menteri baharu daripada UMNO, adakah UMNO kini sudah berpecah kepada dua?

Tidak, saya tidak setuju pandangan itu. Dalam UMNO, parti ini sudah menjadi hak orang ramai. UMNO kini merupakan satu persatuan yang sudah menjadi hak milik setiap orang Melayu Islam untuk menjadi ahli.

Apabila jadi hak orang ramai, apa sahaja berlaku dalam UMNO termasuk perbezaan pendapat atau perbahasan, sudah menjadi hak mereka untuk ambil tahu. Perbalahan pemimpin dalam UMNO sebenarnya menunjukkan amalan demokratik dalam parti Melayu sangat subur.

Tidak mungkin kita boleh menghalang apa yang berlaku dalam parti daripada mendapat perhatian orang ramai. Semua pemimpin kena demokratik sebab kita bukan parti komunis. Parti komunis tidak membenarkan perbezaan pendapat dan tidak boleh diketahui orang awam.

Selain itu, parti komunis mengamalkan tindakan pecat kepada mereka yang berbeza pendapat. UMNO tidak boleh jadi parti komunis. Jadi kepada ahli-ahli UMNO dan rakyat, nasihat saya kalau apa sahaja yang berlaku dalam UMNO dan sampai ke pengetahuan mereka, itu sudah menjadi lumrah.

Saya minta supaya mana-mana pemimpin UMNO jangan menjadi diktator seperti parti komunis yang tidak membenarkan perbezaan pendapat dan mengambil tindakan kalau ada ahli berbeza pendapat dengan ketua.

UMNO ketika ini dilihat seolah-olah ada dua nakhoda dalam bahtera. Perlukah ada penyelesaian dalam isu nakhoda parti?

Ya sebab itu saya kata, kalau kita rujuk Perlembagaan UMNO, tempoh penggal pentadbiran Presiden UMNO adalah selama tiga tahun. Kalau sekiranya kita hendak memanjangkan tempoh atau menunda proses pemilihan parti, parti mestilah menulis surat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Biar RoS yang buat keputusan. Jadi tempoh tiga tahun telah pun berakhir sehingga 30 Jun lalu. Tanpa kita hendak bercakap tentang sesiapa, kita buat pemilihan UMNO untuk menyelesaikan isu nakhoda ini.

Kita tidak mahu menyulitkan lagi keadaan. Kalau parti kena buat pemilihan, maka buatlah. Ikut sahaja peraturan ditetapkan RoS.

Ketiadaan Datuk Seri dalam dunia politik akan menimbulkan tanda tanya, siapa akan menggalas tanggungjawab menjadi pahlawan UMNO dan kerajaan kelak?

Saya memang warrior. Saya tidak bimbang dan takut. Saya ingat setiap manusia hidup di dunia hanya takut mati sahaja. Jadi kepada saya, apa saya buat adalah demi kepentingan parti.

Jadi saya tidak takut apa kerana saya tidak buat salah. Selagi tindakan itu berdasarkan kepentingan kepada parti, apa kesalahan boleh berlaku kepada saya? Jadi, soal siapa yang bakal ganti saya kelak, saya tidak tahu.

Adakah Datuk Seri akan melepaskan semua jawatan politik termasuk Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas?

Keahlian saya seumur hidup. Walaupun tidak lagi jadi ahli Parlimen, Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, pada bila-bila masa, sekiranya khidmat nasihat saya masih diperlukan, saya bersedia untuk membantu.

Perasaan saya lega selepas umum mahu berundur. Sebagai pemimpin bertanggungjawab, kita tidak boleh tinggal parti secara mengejut.

Kita mesti menyediakan perancangan untuk penggantian itu. Di peringkat pusat, jika tidak ada apa-apa berlaku kepada Najib sebelum PRU14, katakanlah sehingga hari ini beliau masih Perdana Menteri, saya tetap akan sokongnya.

Ini kerana beliau adalah pemimpin daripada generasi dan angkatan saya. Tetapi sekarang sudah berlaku peralihan kepimpinan atau lebih dikenali the changing of guard. Hal ini bermakna zaman Ismail Sabri bukan lagi zaman kepimpinan angkatan saya.

Klik di sini untuk terus membaca