DARIPADA 222 ahli Parlimen dan 505 ADUN (tidak termasuk Sarawak) yang dipilih pada malam 9 Mei 2018, seramai 39 ahli Parlimen dan 59 ADUN telah pun melompat atau dipecat daripada partinya.
Ini tidak termasuk wakil rakyat yang tukar gabungan bila parti mereka secara keseluruhannya berhijrah ke kolam baharu.
Dengan pejajaran baharu - termasuk yang tidak melibatkan aktiviti meninggalkan parti - di kedua-dua peringkat parti dan gabungan, sebanyak dua buah kerajaan persekutuan dan tujuh buah kerajaan negeri telah jatuh.
Ini menghampakan ramai rakyat sampai merasakan pilihan raya itu tidak lagi bermakna dan enggan mengundi dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Maka, cadangan untuk memperkenal undang-undang antilompat parti (UAL) dan mekanisme pemecatan (recall) wakil rakyat yang kini diperjuangkan oleh mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pakatan Harapan, mantan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said dan minggu ini, MCA juga, adalah perkembangan yang positif sekali.
Apakah perbezaan antara UAL dan mekanisme pemecatan wakil rakyat? Ramai terkeliru kerana kedua-dua ini difahami secara tersurat.
UAL sebenarnya tidak dapat menghalang wakil rakyat bertukar parti. Ia cuma mengosongkan kerusi wakil rakyat tersebut – ‘memecat’ dalam kata ringkas - dan membawa kepada pilihan raya kecil (PRK) untuk memilih wakil rakyat baharu. Wakil rakyat asal yang dipecat juga boleh bertanding.
Apa bezanya pula mekanisme pemecatan wakil rakyat? Dalam UAL tradisional, pemecatan itu berlaku secara automatik apabila wakil rakyat keluar atau dipecat parti, tidak kira tindakan wakil rakyat disokong rakyat atau tidak. Sebagai perbandingan, dalam mekanisme pemecatan, wakil rakyat hanya dipecat atas tuntutan rakyat.
Dalam kata lain, jika sesebuah parti membelakangi aspirasi rakyat di sesuatu kawasan, dan sebab itu wakil rakyat kawasan itu melawan pimpinan parti sehingga dia keluar parti atau dipecat parti.
Di bawah UAL, wakil rakyat akan terus hilang kerusinya dan terpaksa menghadapi PRK yang mungkin susah untuk dimenangi. Untuk tidak hilang kerusinya, wakil rakyat ini mungkin terpaksa memihak pimpinan parti yang mungkin mendapat sokongan pengundi.
Maka, UAL tradisional sungguhpun dapat memelihara keutuhan parti daripada ancaman budaya lompat parti, ia juga boleh membawa kemudaratan apabila wakil rakyat sanggup membelakangkan pengundi dalam keghairahan menjadi pak turut kepada pemimpin parti.
Kelebihan mekanisme pemecatan ialah pengundi diberi kuasa untuk menentukan sama ada PRK perlu diadakan. Dalam rang undang-undang (RUU) yang mahu dibentangkan oleh Azalina, syarat berlakunya PRK ialah sekurang-kurangnya 40 peratus pengundi berdaftar menandatangani petisyen untuk memecat wakil rakyat itu. Ini memberikan dorongan untuk wakil rakyat menjaga rakyat sekalipun mereka terpaksa menjadi Si Jebat yang menderhaka kepada pimpinan parti.
UAL tradisional juga tidak dapat menghukum wakil rakyat yang parti mereka melompat gabungan. Sebaliknya, mekanisme pemecatan boleh merangkumi lompatan gabungan malah perbuatan lain yang harus dihukum pengundi seperti ponteng sidang Dewan atau disabitkan kesalahan serius di mahkamah (tetapi hukuman tidak cukup berat untuk melucutkan jawatannya).
RUU Azalina boleh diambil alih oleh kerajaan sebagai satu bentuk alternatif UAL dengan membenarkannya didebatkan pada sidang Parlimen akan datang. Diharap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak terlalu sibuk sampai tidak merasai aspirasi rakyat untuk menamatkan era ketuanan katak di Dewan Rakyat.
*Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.
Klik di sini untuk terus membaca