KALAU kita berada di luar negara sekarang dan membaca perkembangan mengenai Malaysia, sudah pasti kita pun akan risau. Meneliti perkembangan politik di Malaysia, suka atau tidak ramai pihak yang boleh menyimpulkan bahawa politik tanah air... Klik di sini untuk terus membaca

KALAU kita berada di luar negara sekarang dan membaca perkembangan mengenai Malaysia, sudah pasti kita pun akan risau.

Meneliti perkembangan politik di Malaysia, suka atau tidak ramai pihak yang boleh menyimpulkan bahawa politik tanah air kita masih berada dalam keadaan yang belum stabil sepenuhnya walaupun kita sudah mempunyai seorang lagi Perdana Menteri yang baharu.

Kita masih membaca sama ada keabsahan Perdana Menteri yang baharu ini perlu dilaksanakan di Parlimen atau sebaliknya. Ramai cerdik pandai dan pakar Perlembagaan memberi pelbagai pendapat yang berbeza. Ini tidak membantu untuk memberi kefahaman kepada rakyat terbanyak.

Kalau dilihat pula dari segi ekonomi, walaupun perniagaan telah mula dibuka kembali secara berperingkat kita masih melihat banyak petunjuk ekonomi terkini yang masih boleh diperbaiki.

Untuk rakyat terbanyak, petunjuk-petunjuk ekonomi ini semua tidak memberi makna kepada mereka sekiranya mereka tidak dapat meletakkan makanan di atas meja, mempunyai rumah untuk berteduh dan akses kepada pengangkutan untuk mereka bergerak bagi mencari pendapatan.

Dari sudut kesihatan negara pula, membaca statistik mengenai kes baharu akibat Covid-19 dan jumlah kematian harian, kita menjadi bertambah khuatir. Negara yang mempunyai jumlah penduduk jauh lebih ramai daripada Malaysia seperti Indonesia dan India yang sebelum ini jumlah kematian mereka tinggi, telah mula menurun.

Berdasarkan dashboard Covid-19 milik WHO yang menggunakan data bertarikh 5 September 2021, jumlah kematian harian di India adalah 219, manakala Indonesia dilaporkan 612 kematian.

Pada hari yang sama jumlah kematian di Malaysia adalah 336. Kalau dibandingkan dengan jumlah penduduk Indonesia yang 10 kali ganda Malaysia, ataupun India yang 43 kali ganda penduduk Malaysia, maka kita sepatutnya bertambah risau dengan statistik ini.

Kita harapkan impak daripada pemberian vaksin kepada penduduk Malaysia akan dapat membantu dari segi pengurangan kes baharu dan penurunan jumlah kematian.

Usaha untuk memberi mesej yang positif dalam menghasilkan satu naratif yang dapat menimbulkan semangat kita satu Keluarga Malaysia ini perlu dilakukan secara bersama antara rakyat, pemimpin dan pegawai kerajaan.

Semua pihak harus memainkan peranan untuk bukan sahaja menjaga imej Malaysia daripada persepsi orang luar tetapi adalah untuk memberi keyakinan kepada rakyat di dalam negara ini bahawa orang yang diberi tanggungjawab untuk menjaga negara ini, telah melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan sebaiknya.

Kalau pun bukan masalah Covid-19, kita sebagai sebuah negara pastinya akan berhadapan dengan masalah-masalah lain. Untuk menidakkan dan menolak mentah-mentah bahawa semua yang disebutkan di atas bukan masalah kita dan hanya dibuat-buat oleh mereka yang cemburu dengan kita mungkin adalah alasan yang agak keterlaluan.

Kita harus menerima bahawa dari sudut pandang orang di luar sana, kita di sini mempunyai masalah dan kita sendiri di Malaysia juga dapat melihat masalah yang mendepani kita ini.

Sebab itu pada saya, adalah tidak membantu ketika kita berhempas pulas cuba memulihkan imej agar pelabur kembali melabur di Malaysia, kita membaca laporan akhbar yang menunjukkan dari sudut governans dan integriti, bahawa kes-kes rasuah sebelum ini sudah mula bertukar arah. Ini sangat tidak membantu.

Apa pun usaha kerajaan dan apa juga dasar luar yang kita bentuk pada waktu ini, ia tidak akan dapat memberi naratif yang baik sekiranya kita tidak dapat menguruskan persepsi-persepsi ini dengan menentukan bahawa kita dapat menstabilkan kerencaman politik, meyakinkan pelabur dan memulihkan ekonomi negara serta meyakinkan rakyat bahawa usaha memulihkan kesihatan rakyat dan mengekang penularan Covid-19 menjadi perkara nombor wahid dalam agenda negara.

Lebih penting daripada semua itu, sepatutnya bukan hanya setakat menguruskan persepsi, ia harus diterjemahkan menjadi amalan yang benar-benar memberi kesan jangka pendek dan jangka panjang yang boleh dirasai dan dimanfaatkan oleh rakyat terbanyak. Semoga Malaysia terus dipelihara dan diberkati.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia, dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Klik di sini untuk terus membaca