SHAH ALAM - Malaysia sudah tiba pada persimpangan baharu yang memerlukan pemikiran dan pengaturan semula sistem pentadbiran kerana sistem yang ada sudah tepu dan gagal menjamin keadilan sosial dan perpaduan nasional.
Menurut Ketua Kluster Kesepaduan Sosial dan Perpaduan Nasional, Akademi Profesor Malaysia (APM), Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Rahman Embong, sistem yang diguna kini sukar untuk menggembleng kekuatan yang ada dalam ekonomi, politik dan masyarakat untuk menghadapi cabaran abad ke-21.
"Ketika merdeka 64 tahun dulu, kita warisi sistem laissez faire (pemerintah tidak perlu campur tangan dalam kegiatan ekonomi masyarakat), tapi sistem ini gagal menjamin keadilan sosial dan perpaduan nasional, justeru ia dirombak semula pada 1970-1971 berasaskan prinsip Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
"DEB sekarang sudah berusia 50 tahun dan banyak hasil yang dicapai dari segi menghapuskan kemiskinan, penyusunan semula masyarakat. Ia juga mengubah wajah masyarakat kita daripada luar bandar menjadi bandar serta menghasilkan golongan kelas menengah yang berpendidikan tinggi,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Bagaimanapun, beliau berkata, DEB ada kesan sampingannya dan telah disalah guna oleh golongan berkepentingan serta mewujudkan sindrom kebergantungan dalam kalangan sebahagian orang Melayu."Prinsip keadilan sosial dan perpaduan nasional yang dijulang DEB baik dan wajar diteruskan tetapi harus dituangkan dalam satu kerangka baharu yang sesuai dengan tuntutan zaman sekarang dan masa depan negara kita,” ujar beliau.
Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Kamaruddin Mohd Said beranggapan walaupun sistem sedia ada sudah bertahan selama 64 tahun, tetapi peredaran zaman dan situasi pandemik kini telah membawa struktur perubahan dalam negara.
Beliau berkata, reset nasional tersebut mestilah berdasarkan pada pindaan Perlembagaan Persekutuan di mana peruntukan dalam perlembagaan perlu dilihat dan dikaji semula kelemahannya.
"Perlembagaan yang ada secara umumnya masih boleh dipakai tapi perlu dipinda peruntukan yang kita dapati sudah kurang sesuai.
"Jadi untuk reset ini salah satu perkaranya adalah mentakrifkan dan memperjelas semula peranan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu sebagai institusi yang menjaga keseimbangan serta kestabilan politik negara.
"Seterusnya tentang kedudukan Parlimen, sistem pilihan raya dan perbuatan melompat parti yang menyebabkan kerajaan menghadapi kemelut. Ia perlu di-reset supaya akhirnya kita ada satu sistem yang mempunyai proses semak dan imbang,” ujar beliau.
Pendapat sama turut dikongsi Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff yang menyatakan bahawa reset sistem sangat bertepatan dengan situasi sekarang di mana perpaduan kaum perlu dititikberatkan.
Beliau yang juga merupakan penganalisis politik menekankan reset perlu bermula dengan penekanan terhadap reformasi pendidikan generasi kini.
"Saya ambil kira strategi yang dibayangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari segi kebersamaan yang membawa maksud perpaduan antara kaum.
"Untuk mencapai kebersamaan ini, kita perlu ada satu reformasi bermula daripada pendidikan diikuti reformasi yang lain untuk mewujudkan satu masyarakat Malaysia.
"Adakah masih perlu diwujudkan sekolah jenis kebangsaan? Jangan ada bias, kalau nak, semua masuk sekolah kebangsaan, tapi sampai sekarang memang tidak ada lagi kerajaan yang berani buat begitu,” kata Syed Agil.
Klik di sini untuk terus membaca