SHAH ALAM - Keputusan kerajaan Selangor mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dianggap sebagai satu kemenangan untuk pencipta alam sekitar. Malah, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan Selangor mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dianggap sebagai satu kemenangan untuk pencipta alam sekitar.

Malah, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil mahu kerajaan negeri, terutamanya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjadikan kawasan HSKLU seluas 536.7 hektar itu sebagai taman negeri supaya episod sama tidak berulang.

"Ini bukan sahaja kemenangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tetapi kemenangan kepada rakyat Selangor. Kita bagi tabik hormat kepada kerajaan Selangor kerana mendengar rayuan rakyat.

"Di samping itu, kita juga tidak mahu sebahagian kecil lagi kawasan kekal nyah warta untuk tujuan jajaran East Coast Rail Link (ECRL).

"Kita mahu setiap inci hutan itu dijadikan sebagai taman negeri, pusat kajian, pusat memelihara dan memulihara,” katanya kepada Sinar Harian.

Peka sebelum ini mendesak kerajaan Selangor membatalkan penyahwartaan HSKLU susulan infrastruktur di negeri ini sudah mencukupi.

Peka mahu kerajaan negeri sewajarnya memelihara lebih banyak hutan simpan atau mewujudkan taman-taman yang terdiri daripada kepelbagaian spesies haiwan dan tumbuhan.

Sebagai sebuah negeri maju, Peka mahu Selangor perlu menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam aspek pemeliharaan kawasan hutan simpan yang menjadi sumber bagi penyerapan air hujan.

SHARIFFA SABRINA

Semalam, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dan mengumumkan bahagian hutan yang sudah dinyahwarta akan diwartakan semula.

Daripada kawasan seluas 536.7 hektar, sebanyak 42.1 hektar kekal dinyahwarta untuk pemberimilikan tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru.

Kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan sebahagian kecil lagi kawasan kekal nyah warta untuk tujuan jajaran East Coast Rail Link (ECRL).

Bagaimanapun, Amirudin tidak menyatakan dengan tepat luas hutan yang akan diwartakan semula sebagai hutan simpan kekal.

Selebihnya akan diklasifikasikan kembali sebagai sebahagian dari hutan simpan kekal.

Pengerusi Majlis Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor, Elizabeth Wong menegaskan Selangor bernasib baik kerana terdapat proses pendengaran awam yang wajib untuk mana-mana hutan simpan yang bakal dinyahwartkan.

"Saya berharap peruntukan ini akan dimasukkan dalam Akta Perhutanan Negara 1984 untuk melindungi hutan simpan di negara ini yang semakin terjejas kerana kegiatan dan aktiviti ekonomi," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Selain Peka, keputusan itu juga disifatkan Greenpeace Malaysia dan Klima Action Malaysia (Kamy) sebagai kemenangan bagi mereka yang menentang penyahwartaan itu.

"Akhirnya, kemenangan untuk hutan simpan dan kuasa rakyat," ciap Greenpeace Malaysia semalam.

Kamy turut berkongsikan berita gembira tersebut di Twitter mereka.

"Satu lagi kemenangan untuk rakyat hari ini. Terima kasih kepada semua individu dan organisasi yang telah berjuang dalam kempen Hutan Pergi Mana,” katanya.

Shariffa Sabrina menyerahkan memorandum berkenaan kepada wakil menteri besar berhubung bantahan penyahwartaan HSKLU di pintu hadapan Pejabat SUK Selangor pada Jumaat.

Klik di sini untuk terus membaca