SHAH ALAM - Saranan penetapan semula atau reset Malaysia bukan untuk mencabar sistem sedia ada, sebaliknya memperbaiki dan memastikan ia kekal relevan bagi tujuan menjaga kepentingan rakyat. Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Saranan penetapan semula atau reset Malaysia bukan untuk mencabar sistem sedia ada, sebaliknya memperbaiki dan memastikan ia kekal relevan bagi tujuan menjaga kepentingan rakyat.

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berpendapat sistem sebelum ini tidak dinilai semula menyebabkan ia ketinggalan berikutan perubahan zaman.

"Hampir 64 tahun kita merdeka. Mungkin kita perlu lihat semula apa pembetulan yang boleh kita buat.

"Berdasarkan pengalaman tahun 1970-an selepas peristiwa 13 Mei, Majlis Gerakan Negara (Mageran) mewujudkan Majlis Perundingan Negara (Mapen).

"Seramai 67 rakyat yang dipilih daripada pelbagai latar belakang datang bersama untuk memberi pandangan mereka. Hasil daripada perbincangan tersebut, wujudlah Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

"Justeru, kita perlu ubah dan baiki sistem sedia ada. Bukan kita nak ubah sepenuhnya tetapi kita nak supaya ia diperbaiki dan masih kekal relevan untuk menjaga kepentingan rakyat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

September lalu, Dr Anis Yusal bersama Pengerusi dan Pengasas Bersama Ikhlas Capital, Datuk Seri Nazir Tun Razak memulakan satu penyelidikan untuk mengkaji asas-asas struktur demokrasi dalam negara.

Ia bertujuan mencari jawapan mengenai cara terbaik mengeluarkan Malaysia daripada kemelut politik dan kembali menjadi sebuah negara hebat yang akan terus dihormati kawan dan lawan.

Kerangka penyelidikan itu juga menggunakan beberapa persoalan kajian penting untuk dijawab oleh informan kajian yang tergolong daripada pemimpin parti politik, masyarakat, sektor swasta dan sektor awam, malah turut mengadakan pelbagai program libat urus untuk mendapat pandangan masyarakat.

Mengulas lanjut, Dr Anis Yusal berkata, sistem yang ada di dalam negara sudah acap kali dibahaskan oleh beberapa pihak termasuk keperluan untuk mewujudkan Akta Pembiayaan Dana Politik.

"Namun, sehingga hari ini kita tak nampak ada kesungguhan untuk dilaksanakan. Ini kerana terdapat segelintir individu mempunyai kepentingan peribadi masing-masing,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berpandangan negara memerlukan satu musyawarah rakyat di mana wakilnya tidak terikat dengan agenda politik.

"Mungkin kita perlu adakan musyawarah rakyat di mana pilih wakil-wakil masyarakat yang tidak terikat dengan parti politik kerana kita khuatir mereka mempunyai kepentingan tersendiri, lebih daripada menjaga kepentingan rakyat,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca