LIMA teknologi terkini pasti mempengaruhi norma baharu di seluruh dunia apabila pandemik Coronavirus 2019 (Covid-19)dijangka kekal menghantui kehidupan manusia sehingga 2023 atau 2024. Malaysia tidak terkecuali dalam memperkatakan teknologi... Klik di sini untuk terus membaca

LIMA teknologi terkini pasti mempengaruhi norma baharu di seluruh dunia apabila pandemik Coronavirus 2019 (Covid-19)dijangka kekal menghantui kehidupan manusia sehingga 2023 atau 2024. Malaysia tidak terkecuali dalam memperkatakan teknologi terbaharu dunia yang banyak berkait rapat dengan Covid-19.

Lima teknologi tersebut ialah ‘Teknologi Jarak Sosial’ atau ‘Social Distancing Technology’ (SDT), ‘Perusahaan Mampu-gubah’ atau ‘Composable Enterprise’ (CoEn), ‘Reka bentuk Bantuan Kecerdasan Buatan’ atau ‘Artificial Intelligence-Assisted Design’ (AIAD), ‘Privasi Pembezaan’ atau ‘Differential Privacy’ (DiP), ‘Deria Terbiodegradasi’ atau ‘Biodegradable Sensors’ (BioSens).

Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) termasuk Internet Pelbagai Benda atau Internet of Things (IoT) dan Pengkomputeran Awan atau Cloud Computing (CC) yang hangat diperkatakan ketika ini pasti dipengaruhi SDT. Ini bagi memutuskan rangkaian pandemik sekiranya berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

IoT juga menumpukan kepada pembangunan teknologi peranti pintar dalam menghasilkan data melalui deria mencipta maklumat daripada sebarang senario baru bagi meningkatkan kecerdasan, keberkesanan dan produktiviti manusia bagi meningkatkan kualiti kehidupan manusia.

Penulis juga meramalkan CoEn mampu mengubah pemikiran manusia dan mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap teknologi dan sistem kejuruteraan. Maksudnya, sistem penyelesaian fleksibel mampu bertindak balas dengan pantas terhadap perubahan dan keperluan sesuatu perusahaan atau perniagaan mengikut keperluan semasa, keupayaan perusahaan dan kualiti pengujian bermula daripada peringkat reka bentuk sehingga ke maklum balas pengguna.

Pada masa yang sama, AIAD bertindak menyelesaikan pelbagai varian terhadap reka bentuk yang tidak sesuai dengan penggunaan semasa. Jurutera boleh memilih penyelesaian tanpa menggunakan teknik Pembelajaran Mesin atau Machine Learning. Dengan bantuan AI, jurutera membangun dan mengembangkan perisian melalui penggunaan berjuta corak data tanpa pengekodan (coding) dalam semua keadaan.

DiP pula ialah teknologi yang membolehkan penyelidik dan penganalisis data raya memanfaatkan kemudahan maklumat berguna daripada pangkalan data seperti maklumat peribadi seseorang daripada media sosial tanpa membocorkan pengenalan diri individu berkenaan.

Keadaan ini dapat dilaksanakan dengan pelbagai cara seperti memperkenalkan gangguan minimum atau minimum distraction terhadap maklumat daripada pangkalan data raya tersebut dalam bentuk anggaran statistik atau statistical estimation, pembelajaran statistik atau statistical learning, dan perlombongan data atau data mining, serta mampu melindungi kerahsiaan dan privasi data tersebut secara maksimum.

BioSens membolehkan deria elektronik mengukur jumlah kandungan nitrik oksida (NOx) di dalam badan. Deria dibuat daripada kepingan silikon mudah larut dan saiznya lebih kecil daripada sebiji beras ini mampu dilentur serta beroperasi di bawah beban tertentu tanpa menjejaskan prestasi kuasa bekalan elektrik.

Deria ini mesti ditanggalkan selepas digunakan kerana ia mampu mengeksploitasi bahan beracun dan boleh terurai serta diserap ke dalam badan sepenuhnya. Ini bermaksud, ia hanya mampu berfungsi dan mengesan hanya sekali setelah dimasukkan ke dalam badan tanpa melakukan pembedahan.

Martabat

Lima teknologi berkenaan dipaparkan dalam laporan terkini bertajuk ‘Teknologi Maju 2030 daripada Perspektif Asia’ ditulis Industrial Technology Research Insititute (ITRI) berpengkalan di Hsinchu, Taiwan. Penulis percaya lima teknologi ini terbaharu ini akan mengangkat martabat negara di Asia menjelang 2030.

Antara teknologi lain yang dijangka memacu negara Asia termasuk 6G mobile network, autonomous vehicles, industrial robots, service robots, blockcain, new energy vehicles (NEVS), renewable and biodegradable plastics materials, solid-state batteries, nanomaterials, dan pengaplikasian AI.

Strategik pembangunan dan pengaplikasian teknologi baharu ini bagaimanapun telah disebut ALLAH SWT dalam Surah An-Nahl ayat [16:3-17]. Antara inti pati kandungan Surah An-Nahl itu ialah Allah mengingatkan bahawa supaya menjadi al-Quran sebagai bahan rujukan sekiranya mahu menjadi kuasa inovasi terhebat di dunia.

Sehubungan itu, penulis akan menyarankan kepada Jawatankuasa Perancangan Pemulihan Negara (PPN) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) supaya semua 5 teknologi tersebut dimasukkan dan dijadikan agenda perdana dalam IR4.0.

Kesimpulannya, Malaysia harus berlari seiring dengan perkembangan teknologi terkini. Lihatlah China yang mula menyingkirkan Amerika Syarikat sebagai kuasa terbesar tunggal di dunia. Malaysia perlu berani untuk menjadi pelopor teknologi terkini terbaru sekurang-kurangnya di peringkat Asia Tenggara atau Asia. Malaysia tidak boleh terus dijadikan bahan ketawa global sebagaimana yang berlaku sekarang.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Klik di sini untuk terus membaca