SHAH ALAM - Industri perhotelan kini hanya bergantung harap kepada aktiviti cuti inap atau staycation di kawasan atau negeri tempat ia beroperasi bagi meneruskan kelangsungan perniagaan mereka dalam sektor tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata, pengusaha hotel ketika ini hanya menerima pengunjung dari negeri yang sama berikutan larangan merentas negeri masih berkuat kuasa.
Justeru, pihaknya berharap agar kerajaan mempertimbang semula kebenaran merentas negeri kepada individu yang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19 bagi merancakkan kembali ekonomi sektor tersebut.
"Industri masih memerlukan kebenaran merentas negeri untuk menggiatkan semula pelancongan domestik.
"Pada masa ini, pemain industri hanya boleh bergantung kepada aktiviti staycation di dalam kawasan atau negeri tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Lip Seng berkata, pengusaha hotel tidak akan menerima ramai pelanggan meskipun aktiviti pelancongan membabitkan penginapan di hotel dan inap desa bagi individu yang lengkap dua dos dibenarkan di Lembah Klang.
Jelasnya, mereka mungkin tidak akan berbuat demikian dalam masa terdekat disebabkan kes jangkitan Covid-19 di negara ini masih tinggi.
"Jika kita lihat, ketika kerajaan membenarkan orang ramai untuk melakukan staycation satu ketika dulu, industri hotel masih belum melihat peningkatan pelanggan yang mendadak.
"Jadi saya rasa situasi sama akan berlaku apabila staycation dibenarkan pada Jumaat ini,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca