SHAH ALAM - Keputusan kerajaan mencalonkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengisi jawatan Timbalan Speaker Parlimen baharu pada persidangan Parlimen minggu hadapan adalah isyarat jelas lebih ramai pemimpin UMNO daripada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan mencalonkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengisi jawatan Timbalan Speaker Parlimen baharu pada persidangan Parlimen minggu hadapan adalah isyarat jelas lebih ramai pemimpin UMNO daripada kluster mahkamah akan membuat kemunculan semula dalam pentadbiran kerajaan.

Penganalisis politik daripada Universiti Tasmania, Profesor James Chin berkata, hal ini kerana Ahli Parlimen Pontian itu dianggap salah seorang daripada pemimpin 'kluster mahkamah' dan sedang menghadapi perbicaraan kes penerimaan dana 1MDB.

Jelas beliau, pelantikan pemimpin daripada kluster mahkamah itu juga sebagai petanda kemungkinan terdapat ahli Parlimen UMNO yang bakal memenangi rayuan kes mahkamah yang disabitkan terhadap mereka sebelum ini.

Profesor James Chin

"Pencalonan Ahmad Maslan adalah isyarat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak akan mengikut jejak langkah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebaliknya akur kepada tuntutan fraksi ahli Parlimen UMNO yang menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

"Perkara sebegini sebenarnya sudah pun bermula dan ini merupakan harga yang terpaksa dibayar Ismail Sabri bagi mendapatkan sokongan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang mengesahkan Ahmad menjadi calon tunggal kerajaan bagi pemilihan jawatan Timbalan Speaker Parlimen pada minggu hadapan.

Ahmad dijangka berdepan cabaran calon daripada blok pembangkang, Nga Kor Ming yang pernah dilantik jawatan itu sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Untuk rekod, Ahmad berdepan perbicaraan dua kes pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bermula Jun tahun hadapan.

Pelantikan Ahmad turut menimbulkan bantahan dalam kalangan pemimpin parti pembangkang yang menganggap keputusan itu cuba mencemarkan kemuliaan institusi Parlimen.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin memberi jaminan kerajaan akan mempertimbangkan semula jawatan itu daripada Ahmad Maslan, hanya sekiranya beliau benar-benar didapati bersalah atas kes mahkamah dihadapi.

Mengulas lanjut, Chin berpandangan Ismail Sabri menyedari kepentingan kerajaan memenuhi kehendak fraksi Najib dan Ahmad Zahid susulan mereka bertanggungjawab menggerakkan langkah menjatuhkan kerajaan Muhyiddin sebelum ini.

Beliau turut mengemukakan teori fraksi Najib dan Ahmad Zahid ini bukan sahaja bakal diberikan jawatan penting kerajaan, sebaliknya berpotensi dilantik jawatan menteri sekiranya kerajaan berhasrat melaksanakan rombakan kabinet pada masa hadapan.

"Tidak mustahil perkara itu mampu direalisasikan Ismail Sabri sekiranya lebih ramai pemimpin UMNO akhirnya bebas daripada pertuduhan mahkamah," katanya.

Jabatan Peguam Negara

Sementara itu, saintis politik, Profesor Dr Wong Chin Huat berpandangan Ismail Sabri perlu mewujudkan satu badan pendakwa raya yang bebas kekangan politik daripada Jabatan Peguam Negara sekiranya beliau mahu memberi isyarat jelas kerajaan baharu menjunjung kedaulatan undang-undang.

Ini bagi mengelakkan pandangan dan persepsi bahawa Jabatan Peguam Negara terikat dengan kerajaan yang sedang memerintah.

Chin Huat

"Sukar dijangka sama ada Ismail Sabri benar-benar akan menjunjung kedaulatan undang-undang melalui penampilan kerajaan baharunya atau tidak.

"Tetapi kalau Perdana Menteri baharu itu ingin memberi isyarat jelas kepada orang awam dan masyarakat antarabangsa bahawa kerajaan baharu akan menghormati konsep pengasingan kuasa, Ismail Sabri harus mewujudkan badan pendakwa raya bebas kekangan politik daripada Jabatan Peguam Negara," katanya.

Dalam pada itu, veteran UMNO, Dr Mohamad Khir Toyo mengakui polemik mengenai status kes mahkamah dihadapi pemimpin-pemimpin UMNO bakal menjadi dilema terbesar Ismail Sabri bagi meyakinkan masyarakat antarabangsa bahawa kerajaan tidak akan mencampuri urusan badan kehakiman negara.

Hal ini kerana beliau berpandangan Ismail Sabri tetap akan menerima implikasi negatif, sama ada pemimpin 'kluster mahkamah' bakal dijatuhkan hukuman atau berkemungkinan terlepas.

Khir Toyo

"Mana-mana situasi akan memberi implikasi negatif kepada Ismail Sabri. Kalau pemimpin UMNO dilepaskan daripada kes mahkamah, beliau tetap akan dituduh mencampuri urusan mahkamah bagi melepaskan kumpulan 'kluster mahkamah'.

"Kalau pemimpin UMNO disabitkan kesalahan atas pertuduhan kes mahkamah dihadapi, Ismail Sabri pula akan dituduh cuba mensabotaj fraksi ahli Parlimen UMNO diketuai Ahmad Zahid bagi menghalang mereka bertanding PRU15.

"Justeru, Ismail Sabri perlu membuat pertimbangan bijaksana dan mengimbangi tuntutan fraksi ahli Parlimen UMNO menyokong Presiden parti dengan keperluan kerajaan tidak mencampuri bidang kuasa badan kehakiman negara," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca