SHAH ALAM - Kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri memulakan langkah pertama memasuki Parlimen yang kini tinggal hanya dua hari lagi dengan penuh bergaya apabila menawarkan tujuh tawaran transformasi dan pembaharuan politik. Tujuh tawaran... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri memulakan langkah pertama memasuki Parlimen yang kini tinggal hanya dua hari lagi dengan penuh bergaya apabila menawarkan tujuh tawaran transformasi dan pembaharuan politik.

Tujuh tawaran tersebut ialah:

1. Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

2. Pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat. Justeru, satu RUU Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan.

3. Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

4. Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.

5. Setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.

6. Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.

7. Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Tawaran nombor satu dan nombor tiga iaitu pembentangan RUU Anti-Lompat Parti dan mengehadkan tempoh jawatan seorang Perdana Menteri merupakan dua pembaharuan paling ditunggu-tunggu rakyat.

Sekiranya RUU Anti-Lompat Parti yang dibentangkan berjaya diluluskan Parlimen, ini bermakna ia akan menamatkan budaya ahli parlimen melompat parti yang telah sekian lama menghantui politik Malaysia.

Perbuatan melompat parti semakin melarat sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada Mei 2018.

Kegagalan Barisan Nasional (BN) mempertahankan legasi 60 tahun parti itu menyebabkan ramai ahli Parlimen BN meninggalkan parti berkenaan untuk menyertai parti Bersatu.

Gelombang kedua ahli Parlimen melompat parti pula berlaku ketika keretakan dalaman PKR yang menyaksikan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membawa sekurang-kurangnya 10 ahli Parlimen PKR keluar meninggalkan parti itu.

Kesannya, ia menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan yang baru memerintah 22 bulan tersungkur ditengah-tengah penggal pentadbirannya.

Berdasarkan semakan Sinar Premium setakat April lalu, sekurang-kurangnya 39 ahli Parlimen Malaysia melompat parti selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sama ada melompat menyertai parti lain, keluar menjadi ahli Parlimen Bebas atau dipecat sekali gus menubuhkan parti baharu.

Dalam pada itu, cadangan mengehadkan tempoh kuasa Perdana Menteri selama 10 tahun juga satu pembaharuan yang mengikut jejak banyak negara luar apabila menetapkan seseorang Perdana Menteri atau Presiden hanya berkuasa selama dua atau tiga penggal.

Langkah tersebut bagi mengurangkan penumpuan kuasa semakin besar seorang Perdana Menteri jika terlalu lama duduk di kerusi tertinggi pentadbiran yang boleh mendedahkan dirinya dengan salah guna kuasa dan penyelewengan.

Klik di sini untuk terus membaca