AMERIKA Syarikat (AS) menyambut ulang tahun ke-20 serangan empat buah kapal terbang komersial yang menyebabkan hampir 3,000 orang terbunuh di New York, Arlington dan dekat Shanksville, Pennsylvania pada 11 September 2001 lalu.
Serangan pada pagi 11 September 2001 itu 'mengerunkan' AS apabila dua pesawat komersial yang dirampas oleh para perampas merempuh dan meranapkan bangunan menara berkembar World Trade Center (WTC) di New York.
Sebuah daripada empat kapal terbang komersial itu merempuh bahagian barat bangunan Jabatan Pertahanan AS atau lebih dikenali sebagai Pentagon di Arlington yang sedang mengalami kerja-kerja pengubahsuaian sekali gus menyebabkan sejumlah orang terbunuh tidak jauh dari Washington D.C .
Pesawat keempat yang membawa 40 orang penumpang dan kru pula terhempas di sebuah kawasan dekat Shanksville dan dipercayai ketika kejadian beberapa penumpang serta kru sedang berusaha untuk mengambil balik kawalan kapal terbang United Arlines itu selepas ia dirampas oleh sekumpulan perampas.
Berikutan serangan itu, Presiden AS ke-43, George W. Bush melancarkan perang bagi memerangi keganasan ke atas Afghanistan bagi menangkap Ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden yang mana kumpulannya dipercayai melakukan serangan tersebut.
Taliban yang memerintah Afghanistan pada tahun 1996 turut disingkirkan melalui serangan tentera Uncle Sam dan sekutu-sekutunya pada Oktober 2001 atas alasan memberikan perlindungan kepada Al-Qaeda.
Osama kemudian diburu tentera AS dan pemimpin Al-Qaeda itu dibunuh dalam satu operasi rahsia di Abbottabad, Pakistan pada awal bulan Mei 2011 ketika Amerika berada di bawah pentadbiran Presiden AS ke-44, Barack Obama di Abbottabad, Pakistan.
Namun, pada bulan Ogos lalu, Taliban sekali lagi menguasai Kabul dan kini berjaya menguasai keseluruhan negara itu selepas AS membuat perjanjian keamanan dengan pergerakan tersebut pada tahun lalu apabila berjanji mengundurkan askar-askarnya dari Afghanistan yang selesai dilakukan pada bulan yang sama.
Imej tercalar
Imej kekuatan tentera Amerika turut tercalar ekoran kebijaksanaan strategi yang dilakukan oleh pergerakan Islam itu dengan tidak menyerang askar-askar AS tetapi tentera kerajaan Afghanistan bagi menguasai semula negaranya.
Peperangan melibatkan kos lebih AS$1 trilion (RM4.13 trilion) dan berlanjutan hampir 20 tahun itu serta melibatkan ratusan ribu orang terkorban akhirnya sias-sia sahaja kerana kumpulan Al-Qaeda tetap wujud dan sebuah lagi pergerakan Islam, Daesh masih beroperasi di negara tersebut.
Dalam pada itu, perbicaraan seorang rakyat Pakistan, Khalid Sheikh Mohammed yang dituduh sebagai perancang serangan 11 September 2001 di AS itu masih belum selesai walaupun selepas sembilan tahun dakwaan terhadapnya difailkan oleh Amerika.
Selepas serangan pada 11 September itu, Khalid ditangkap di Rawalpindi, Pakistan pada Mac 2003 dalam satu operasi bersama oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Perisikan Pakistan.
Dia yang pernah belajar jurusan kejuruteraan mekanikal di sebuah univerisiti di AS kemudian dibawa oleh CIA ke Poland untuk disoal siasat sebelum dihantar ke penjara kem Teluk Guantanamo, Cuba milik negara Uncle Sam itu.
Pada Rabu lalu, dia yang sudah menghuni penjara di Teluk Guantanamo lebih 14 tahun bersama empat lagi lelaki iaitu Ammar al-Baluchi, Walid bin Attash, Ramzi bin al-Shibh and Mustafa al-Hawsawi berada pada hari kedua perbicaraan kerana dituduh menyebabkan kematian 2,976 orang dan merancang serangan di AS.
Penampilan Khalid turut berubah apabila dia dilihat menyimpan janggut yang panjang serta berbadan kurus dan memakai pakaian tradisional Pakistan di dalam bilik mahkamah tentera AS.
Bagaimanapun, masih terdapat teori-teori konspirasi yang berlegar tentang kejadian tersebut di media sosial manakala Pergerakan Kebenaran 11 September 2001 turut menyatakan bahawa fakta sebenar serangan tersebut telah disembunyikan daripada pengetahuan umum.
Orang dalam
Kumpulan itu berhujah bahawa serangan di bangunan WTC setinggi 110 tingkat itu dilakukan oleh 'orang dalam' yang bekerja dengan tentera atau pasukan keselamatan AS dan meruntuhkan bangunan tersebut dengan menggunakan bahan-bahan letupan.
Sebahagian pihak mendakwa kerajaan AS yang melakukan serangan tersebut atau mendakwa Washington sudah mengetahui lebih awal bahawa ia akan dilakukan dan membenarkannya dilakukan.
Filem bersiri berjuduk 'Loose Change' pula mendedahkan teori-teori konspirasi tentang serangan yang berlaku pada 11 September 2001 itu dan mengandungi banyak maklumat palsu tentang kejadian tersebut.
Satu dakwaan pula muncul di media sosial dengan menyatakan minyak kapal terbang tidak boleh menyebabkan bangunan WTC runtuh tetapi ia sebaliknya musnah akibat bahan-bahan letupan.
Namun, satu laporan rasmi menyatakan, dua kapal terbang telah merosakkan struktur yang menyangga WTC selepas ia merempuhnya.
Tambahan pula, suhu setinggi 1,000 darjah Celsius di beberapa kawasan telah menyebabkan struktur keluli rosak dan kemudian mengakibatkan bangunan tersebut runtuh.
Menara berkembar itu merupakan yang pertama di dunia runtuh disebabkan oleh rempuhan dua buah pesawat komersial di dunia dan ia musnah dalam tempoh lebih sejam . - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca