PERSIDANGAN semula Parlimen yang bakal berlangsung pada Isnin ini, pastinya menjadi tumpuan satu Malaysia setelah negara menyaksikan peralihan kepimpinan Perdana Menteri daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Datuk Seri Ismail Sabri... Klik di sini untuk terus membaca

PERSIDANGAN semula Parlimen yang bakal berlangsung pada Isnin ini, pastinya menjadi tumpuan satu Malaysia setelah negara menyaksikan peralihan kepimpinan Perdana Menteri daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Persidangan ini penting, susulan terdapat begitu banyak perkara utama yang belum diputuskan kerajaan selain penentuan jawatan Timbalan Speaker yang dikosongkan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Pendek kata, persidangan Dewan Rakyat Isnin ini menjadi medan ujian buat Ismail Sabri yang kini menjadi nakhoda utama di Putrajaya.

Dan salah satu isu, yang akan cuba dibangkitkan pembangkang sudah tentunya, pelaksanaan usul undi percaya kepimpinan beliau.

Walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar ada mengeluarkan kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong memperkenankan hasrat kerajaan untuk tidak perlu mengadakan usul undi percaya, namun pastinya pembangkang tidak akan melepaskan isu tersebut dengan mudah.

Kredibiliti

Persoalan itu dibangkitkan oleh seorang penganalisis politik daripada Universiti Tasmania, Profesor James Chin yang berpandangan ia merupakan isu pokok paling penting bagi menentukan integriti kerajaan Ismail Sabri ketika ini.

"Pada ketika ini, persoalan sama ada kerajaan Ismail Sabri bercakap benar dalam memutuskan usul undi percaya tidak perlu diadakan, mengundang keraguan pihak pembangkang,” katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

James Chin

Pandangan sama turut dikongsikan Felo Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Hamidin Abdul Hamid yang berkeyakinan kegagalan kerajaan untuk mengemukakan usul undi percaya bakal menghantui kredibiliti Ismail Sabri selaku Perdana Menteri kesembilan.

Selain itu, Hamidin turut menjangkakan implikasi negatif yang bakal diterima Ismail Sabri akan lebih teruk berbanding kesan diterima Muhyiddin, susulan kerajaan baharu ini sejak awal dilihat cuba mengulangi kesilapan dibuat kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Bagi saya, pada saat Ismail Sabri mendapat sokongan semua pihak termasuk pihak pembangkang, beliau sepatutnya menggunakan kelebihan itu untuk menentukan segera keabsahan kerajaan di Parlimen.

"Beliau wajar mencontohi konvensyen dibuat Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn dan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk melaksanakan usul undi percaya kerana perkara itu merupakan hak rakyat yang tidak boleh dinafikan kerajaan.

"Saya tidak faham mengapa Ismail Sabri enggan melakukannya kerana beliau sepatutnya boleh menggunakan usul undi percaya ini sebagai kelebihan bagi mengendurkan tentangan pembangkang serta menurunkan suhu politik negara,” katanya.

Hamidin

Empat alasan

Bagaimanapun, pandangan berbeza dikemukakan pakar perlembagaan daripada daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain.

Beliau berpendapat, tindakan Ismail Sabri selaku Perdana Menteri hadir menghadap Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum memaklumkan titah perkenan Seri Paduka Baginda bagi membenarkan kerajaan tidak perlu mengadakan usul undi percaya, adalah tepat.

Wan Ahmad Fauzi

Namun begitu, beliau menyuarakan kekesalan terhadap Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang menjelaskan kerajaan tidak perlu mengemukakan usul undi percaya pada sidang Parlimen akan datang, tanpa merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memberikan empat alasan utama mengapa kerajaan Ismail Sabri tidak perlu mengadakan usul undi percaya pada persidangan Parlimen Isnin ini.

Jelas beliau, setelah Muhyiddin meletak jawatan Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong bertindak memanggil Ismail Sabri yang dipercayai mempunyai sokongan majoriti dalam kalangan ahli-ahli Parlimen untuk mengisi jawatan dikosongkan Muhyiddin.

Mohamed Nazri

"Kemudiannya, Yang di-Pertuan Agong bertitah untuk berjumpa semua ahli Parlimen yang memberi sokongan majoriti kepada Ismail Sabri dan bertanyakan sama ada sokongan itu ikhlas atau tidak.

"Justeru, proses itu adalah lebih ketat daripada usul undi percaya di Parlimen. Atas faktor itu, mengapa perlu lagi diadakan usul undi percaya?” katanya.

Tambah Mohamed Nazri lagi, alasan kedua pula adalah ahli-ahli Parlimen bakal berdepan kesalahan besar menipu Yang di-Pertuan Agong sekiranya usul undi percaya yang diadakan di Parlimen tidak memihak kepada Ismail Sabri.

"Alasan ketiga adalah penentuan usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri sudah diselesaikan Yang di-Pertuan Agong dan tiada keperluan ia dibangkitkan semula.

"Dan alasan terakhir, dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia, usul undi percaya bukan satu perkara yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Bagaimanapun, dengan perkembangan terbaru pada Jumaat, apabila kerajaan membuat tujuh tawaran transformasi Parlimen, Ismail Sabri dilihat memasuki Dewan Rakyat dengan langkah kanan.

Klik di sini untuk terus membaca