PENGALAMAN menembak mati lapan askar komunis dalam Operasi Indera 12/Indera Khas di Bentong, Pahang pada tahun 1980 antara kenangan yang tidak boleh dilupakan oleh Datuk Mohd Rani Abdul Rashid sepanjang perkhidmatannya sebagai pegawai... Klik di sini untuk terus membaca

PENGALAMAN menembak mati lapan askar komunis dalam Operasi Indera 12/Indera Khas di Bentong, Pahang pada tahun 1980 antara kenangan yang tidak boleh dilupakan oleh Datuk Mohd Rani Abdul Rashid sepanjang perkhidmatannya sebagai pegawai VAT69.

Menyorot kembali peristiwa 41 tahun lalu, Mohd Rani, 71, berkata, pada waktu itu, beliau dan beberapa rakan setugas ternampak kepulan asap kira-kira 500 meter dari lokasi pasukannya pada jam 7 pagi.

"Kami kemudian mengepung kawasan itu. Kami dapat melihat pergerakan lima askar komunis, ada yang sedang memasak, bersenam dan seorang daripada mereka sedang memegang selaras senapang,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Wangsa Maju baru-baru ini.

Beliau berkata, pergerakan dan komunikasi anggota komando VAT69 pada ketika itu hanya menggunakan bahasa isyarat.

"Ini merupakan disiplin anggota komando VAT69 dalam pertempuran, bertindak dalam senyap,” katanya.

Mohd Rani menerima cenderamata daripada Komander Special Forces New Zealand.

Mohd Rani berkata, pasukannya menyelinap masuk ke kawasan itu dalam keadaan berwaspada.

"Kami dapat melihat tiga orang disyaki pengganas komunis yang hanya berpakaian biasa... tidak beruniform,” katanya.

Mohd Rani berkata, beliau bersama pasukannya kemudian melakukan serangan setelah mendapat arahan daripada pusat operasi.

"Pertempuran sengit berlaku antara pengganas komunis dengan anggota komando VAT69 yang berlangsung kira-kira setengah jam.

"Akhirnya pengganas komunis berjaya ditumpaskan, enam askar komunis termasuk tiga wanita mati ditembak,” katanya.

Mohd Rani berkata, beliau mendapati ada seorang lagi pengganas komunis yang cedera sedang bersembunyi di sebalik pokok besar, jaraknya kira-kira 100 meter.

"Pengganas komunis itu sedang memegang senapang dan bersedia untuk menembak sesiapa sahaja yang mendekati dirinya.

"Salah seorang anggota komando VAT69 berjaya menembak mati pengganas itu pada jarak 30 meter,” katanya.

Menurut Mohd Rani, pasukannya kemudian menjejak seorang lagi askar komunis yang cuba melarikan diri.

"Kami telah bergerak kira-kira 300 meter, sebelum salah seorang rakan setugas memaklumkan terdengar bunyi picu senapang musuh dalam semak, namun ia tidak meletup.

"Saya segera mengarahkan anggota melemparkan bom tangan ke kawasan itu. Kami terdengar suara pengganas komunis mengerang kesakitan, sebelum menemui mayatnya,” katanya.

Menurutnya, kesemua mayat lapan pengganas komunis itu dibawa keluar dengan helikopter Nuri ke Bukit Koman, Raub, Pahang.

"Seramai 17 anggota komando VAT69 pula telah diarahkan pulang ke Balai Polis Bentong selepas selesai operasi,” katanya.

Mohd Rani turut menerima plak penghargaan. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Jerangkap samar

Menurut Mohd Rani, insiden yang tidak boleh dilupakan adalah apabila tiga anggotanya putus kaki terkena jerangkap samar.

"Semasa salah seorang anggota saya terpijak jerangkap samar itu... letupannya kuat.

"Kami segera meminta bantuan untuk mengeluarkan mereka dari kawasan operasi,” katanya.

Mohd Rani berkata, pasukannya menyedari pengganas komunis memasang banyak jerangkap samar di dalam hutan.

"Ada jerangkap samar berbentuk tong yang berisi skru, paku dan besi. Ia disembunyikan di sebalik akar, apabila kami tersilap langkah, kami akan terpijak jerangkap samar itu,” katanya.

Minat

Menyingkap kembali bagaimana beliau menyertai polis, Mohd Rani berkata, beliau dapat tawaran untuk sambung belajar di Maktab Sains Pulau Pinang (Universiti Sains Malaysia) selepas tamat pembelajaran di Senior Cambridge Horley Methodist Secondary School di Teluk Intan, Perak.

"Namun saya terpaksa menolak tawaran itu kerana keluarga perlu membayar wang pendaftaran kemasukan sebanyak RM1,200,” katanya.

Mohd Rani berkata, beliau turut memohon pelbagai jenis pekerjaan termasuk jawatan kerani, askar dan polis.

"Permohonan untuk berkhidmat sebagai anggota polis berjaya. Saya memilih kerjaya sebagai anggota polis kerana minat dalam bidang siasatan,” kata beliau.

Menurut Mohd Rani, beliau ditempatkan di Kuala Terengganu sebagai pegawai penyiasat selepas tamat latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada 1969.

"Saya secara sukarela menawarkan diri menjadi pegawai dalam Pasukan Polis Hutan kerana saya juga minat dalam tugas yang lebih mencabar dan lasak serta mahu terlibat dalam operasi di hutan.

Operasi Chaiyo

Beliau berkata, operasi pertamanya adalah Operasi Chaiyo yang dilaksanakan oleh pasukan keselamatan Malaysia bersama pasukan keselamatan Thailand dalam memburu askar komunis di sempadan.

"Dalam operasi itu, empat platun kecil telah dibentuk, tiga platun diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan satu platun bertindak dalam operasi.

"Saya mengetuai satu platun yang terlibat dalam operasi di Hutan Lubuk Lasah," katanya.

Mohd Rani berkata, kem yang didiaminya telah diserang oleh musuh yang telah melepaskan beberapa das tembakan pada waktu malam.

"Saya bersama rakan sepasukan segera terjun ke dalam 'pitch' (kubu) yang telah digali sebelum ini untuk berlindung daripada terkena tembakan musuh.

"Setelah sekian lama bertahan, tidak ada lagi tembakan musuh kedengaran, namun kiami perlu berada di dalam 'pitch' itu sehingga pagi sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Beliau berkata, seramai 15 anggota pasukannya bersama 15 lagi anggota pasukan keselamatan Thailand bersepakat untuk memburu pengganas komunis pada keesokan hari.

"Kami telah bergerak menuju ke kem musuh yang jaraknya kira-kira 12 kilometer untuk melakukan serangan balas terhadap kem tersebut.

Mohd Rani berkata, pada jam 6 pagi, 11 April 1971, beliau bersama rakan sepasukan mendaki bukit menuju ke kem pengganas komunis.

"Kami terserempak dengan seorang askar komunis yang sedang membasuh pakaian, sebelum pasukan keselamatan Thailand telah melepaskan tembakan.

"Saya bersama beberapa lagi rakan membuat serangan di sebelah kanan bukit," katanya.

Beliau berkata, pertempuran kira-kira setengah jam itu, seorang pengganas komunis berjaya ditembak mati, manakala beberapa lagi pengganas komunis melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan di kem tersebut menemui beberapa dokumen berkaitan dakyah propaganda untuk digunakan komunis dalam usaha menghasut penduduk kampung," katanya.

Mohd Rani berkata, beliau berasa bangga kerana ia merupakan kejayaan pertamanya dalam Pasukan Batalion 12 Pasukan Polis Hutan.

"Beberapa tahun kemudian, kerjasama Polis Diraja Malaysia dan pasukan keselamatan Thailand untuk tujuan kawalan bersama ditamatkan kerana kawasan perkampungan di sempadan negara telah aman," katanya.

Mohd Rani (berdiri kanan) ketika menghadiri mesyuarat sempadan MalaysiaThailand.

Kental

Mohd Rani berkata, beliau mula menyertai pasukan VAT69 pada 1976.

"Hanya mereka yang bersemangat kental sahaja mampu melepasi peringkat pemilihan semasa latihan insentif selama tiga bulan.

"Dalam tempoh itu, kita perlu menjalani beberapa latihan yang menguji ketahanan fizikal dan mental," katanya.

Mohd Rani yang bersara pada 2006 berkata, beliau kecewa terhadap segelintir generasi muda tidak mengetahui sejarah negara.

"Apabila tidak tahu sejarah, maka mereka tiada jati diri dan tiada semangat Merdeka.

"Saya berharap mereka dapat menghayati dan menghormati pengorbanan serta jasa pejuang kemerdekaan," katanya.

Mohd Rani kini dalam usaha mengabadikan kisah pengalamannya dalam sebuah buku yang bakal diterbitkan pada tahun hadapan.


INFO


Nama: Mohd Rani Abdul Rashid

Tarikh Lahir: 4 September 1950

Tempat Lahir: Lumut, Perak

Anak: 6 Orang

Pendidikan:

Senior Cambridge Horley Methodist Secondary School, Teluk Intan Perak pada 1968

Diploma in Police Science 1994/1995

Diploma Haigate Staff Collage 1990

Perkhidmatan: Pasukan Polis Hutan, VAT 69 Komando (1969-2006)

Jawatan tertinggi: Senior Asisten Komisioner 1

Sumbangan/Pencapaian: Terlibat dan mengetuai operasi tempur di hutan menentang pengganas komunis (1971-1989)

Operasi: Operasi Chaiyo - Thailand (1971)

Operasi Kambing - Kuala Kubu Bharu (1977)

Operasi Mahcai - Slim River, Perak (18 Oktober 1977)

Operasi Sedar Manis - Kuala Nerang Kedah (25 Disember - 1 Januari 1978)

Operasi Setia Khas - Sungai Siput Perak (1978)

Operasi Indera Khas - Bentong, Pahang (Februari 1980)

Operasi Kambing - Ulu Yam, Selangor (12 September 1980)

Operasi Catfish- Hutan Simpan Bukit Kinta, Perak (25 Mac 1981)

Operasi Gapi Estate - Ladang Sungai Gapi, Kuala Kubu Baharu dan Ulu Yam (Jun 1981)

Operasi Bamboo - Sempadan Perak dan Kelantan (1982)

Pertempuran di Sungai Hijau, sempadan Selangor dan Perak (Januari 1988)

Projek 12 Rampasan Kapal Paulijing - Perairan Batam Indonesia dan Selat Melaka (20 Ogos 2005)

Projek 13 Uniform Operasi Loreng Pasukan Gerakan Am (PGA) (2005)

Klik di sini untuk terus membaca