TAN Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Majlis Penasihat Kelab Ekonomi Kuala Lumpur menyatakan, kerajaan perlu menimbang cadangan pembaharuan tambahan yang melibatkan antara lainnya iaitu kenaikan gaji minimum.
Kata beliau, ini sejajar dengan komitmen untuk mengukuhkan lagi agenda kemampanan dalam Belanjawan 2022 seperti yang dinyatakan dalam kenyataan Pra-Belanjawan.
Dalam Pra-Belanjawan telah memberi petanda di mana Bajet 2022 dirangka untuk memberi fokus kepada tiga perkara. Antara tiga perkara tersebut salah satunya ialah menentukan kesinambungan dasar serta bantuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan agar kekal berdaya tahan dalam menghadapi krisis bagi terus melindungi mata pencarian serta kehidupan rakyat dan perniagaan.
"Aku sokong kalau kerajaan menaikkan gaji minimum yang sebelum ini RM1,200 sahaja,” kata Encik Mat, seorang pegawai kejuruteraan awam di pejabat saya.
"Nanti kalau gaji naik, barang pun naik. Mesti ada syarikat kata, perlu naikkan harga sebab kos naik. Pi mai, pi mai tang tu juga,” kata Puan Farah, seorang pegawai perhubungan awam.
"Aku rasa kita perlu ubah tema. Kita tak boleh pakai tema gaji minimum. Gaji minimum tidak menggambarkan kos sara hidup yang sebenarnya. Sepatutnya, hmm...mungkin kita perlu ubah tema daripada menyebutnya gaji minimum kepada ‘gaji patut’,” kata Encik Sabri, seorang pekerja am.
"Kalau mengikut takrifan ‘gaji patut’ atau dalam bahasa orang putih, living wage lebih menggambarkan tahap pendapatan yang diterima oleh seseorang atau keluarga untuk berupaya menyediakan makanan, tempat perlindungan dan keperluan lain yang sejajar sebagai seorang manusia,” kata Encik Sabri lagi.
"Tapi, tak ke kalau gaji naik, kos naik, nanti syarikat tak nak upah ramai pekerja? Ramai pula yang menganggur nanti,” kata Puan Farah sambil tangannya ligat membancuh kopi.
Perdebatan
Perbualan mereka bertiga ini sebenarnya adalah satu hujah atau perdebatan yang telah lama berlaku. Pada tahun 1885, Karl Marx telah menerbitkan Das Kapital, untuk membantah pendapat kapitalis sebegini yang mungkin digunakan untuk menakutkan rakyat jelata.
Tujuannya teori Das Kapital ini asalnya untuk membantah John Weston yang merupakan seorang Sosialis seperti Marx yang juga percaya kenaikan gaji akan menaikkan kos sekali gus menaikkan barang pengeluaran. Pada masa yang sama, peluang kerja juga akan musnah dengan majikan mengurangkan pengambilan ramai pekerja.
"Tak berapa betul tu. Kapitalis ini perlu bersaing sesama mereka juga, tak boleh menaikkan harga barang dan perkhidmatan sesuka hati,” kata Marx.
"Tapi nanti akan ada syarikat yang lingkup atau tutup kerana tidak boleh membuka cawangan baru dan pada masa yang sama akan memaksa syarikat untuk tidak mengupah ramai pekerja,” kata John Weston lagi seperti apa yang dikatakan oleh Puan Farah.
"Ini bergantung jenis kapitalis yang macam mana kamu maksudkan,” kata Marx tenang sambil tersenyum.
Kata Marx lagi, "Ada kapitalis yang berniaga hanya untuk mendapatkan keperluan secukupnya dan ada kapitalis yang berniaga untuk menjadi kaya raya. Kalau kamu naikkan gaji, ini akan memberi kelebihan kepada rakyat untuk berbelanja kepada kapitalis yang berniaga hanya untuk mendapatkan keperluan secukupnya, berbanding berbelanja kepada kapitalis yang berniaga untuk menjadi kaya.”
Merenung apa yang dikatakan oleh Marx ada juga benarnya. Pemikiran seperti Puan Farah dan John Weston mungkin melihat ia sebagai gangguan kepada permintaan pekerjaan. Namun ia bergantung bagaimana cara kita melihatnya sama ada adakah orang kaya yang berupaya memiliki harta tu bagus atau rakyat jelata yang berupaya memiliki harta atau keperluan itu yang bagus?
Namun, berubahnya permintaan kepada mempunyai keupayaan untuk membeli keperluan berbanding keupayaan membeli kekayaan tidak menjadikan ekonomi lumpuh secara keseluruhannya, malah ia satu peningkatan.
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca