ALOR SETAR - Tempahan penginapan hotel di Pulau Langkawi, Kedah kembali melonjak selepas pulau legenda itu diumumkan sebagai projek rintis gelembung pelancongan mulai 16 September ini.
Timbalan Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah/Perlis, Razmi Rahmat berkata, sehingga kini, tempahan penginapan hotel bertaraf tiga hingga lima bintang meningkat kepada 40 hingga 60 peratus.
Manakala bagi hotel bawah tiga bintang dianggarkan menerima tempahan sekitar 20 peratus.
"Ini hanya permulaan selepas sektor pelancongan diumum dibuka semula. Saya percaya tempahan akan terus melonjak berlipat ganda selepas SOP (prosedur operasi standard) khusus pelancongan diumumkan.
"Setakat ini, semua hotel berdaftar bawah MAH siap sedia menerima pelancong kerana pengusaha hotel di Langkawi sudah melakukan persiapan awal dengan menetapkan kriteria tertentu.
"Antaranya, kesemua kakitangan hotel sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19, premis dan bilik hotel sudah menjalani proses sanitasi,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, kebanyakan pelancong mahupun agensi pelancongan belum membuat tempahan kerana mahu merujuk kepada SOP pelancongan bagi memudahkan urusan pengendalian kemasukan pelancong.
"Ramai bimbang sekiranya dibuat tempahan awal, mereka tidak dapat mematuhi SOP, kelak terpaksa membatalkan tempahan atau terpaksa lakukan perubahan yang akan jejaskan perancangan bercuti,” katanya.
Razmi yang juga Pengurus Besar Hotel Adya berkata, kebanyakan tempahan penginapan adalah untuk sepanjang September dan belum ada tempahan untuk November dan Disember.
"Mungkin tempahan hujung tahun akan dibuat selepas SOP dikeluarkan, kerana ia sentiasa berubah.
"Tambahan pula, syarikat penerbangan baru umumkan jadual penerbangan mereka, selain kekangan menggunakan Terminal Feri Kuala Kedah yang merupakan pintu masuk utama ke Langkawi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 6 hingga 19 September,” katanya.
Katanya lagi, tawaran harga penginapan pula jauh lebih rendah berbanding ketika sebelum pandemik bagi menarik kunjungan pelancong.
"Untuk merancakkan kembali aktiviti pelancongan, kita tawarkan harga berpatutan. Ada hotel tawarkan penjimatan sehingga 50 peratus diskaun,” katanya.
Kawal jumlah pelancong
Razmi mengingatkan agar kemasukan pelancong hendaklah secara terkawal dan bukan dibenar sewenang-wenangnya.
"Kawalan kemasukan secara berperingkat dengan kapasiti penumpang feri 50 peratus, selain kekerapan perjalanan dihadkan bagi mengelak Langkawi ‘dibanjiri’ pelancong.
"Saya yakin pelancongan gelembung dapat merancakkan kembali aktiviti pelancongan seterusnya menjana semula ekonomi penduduk setempat,” katanya.
Kata Razmi, pihaknya percaya akan berlaku peningkatan aktiviti pelancongan dalam tempoh tiga bulan terawal hingga Disember, namun memerlukan setahun untuk sektor itu kembali stabil.
Klik di sini untuk terus membaca