SEWAKTU saya mengerjakan umrah buat kali pertama 20 tahun dahulu, banyak pengajaran yang diperoleh dan memberi kesan sehingga hari ini, antaranya ujian refleksi diri. Pengajaran tersebut hadir setelah berasa tidak ‘lazat’ beribadat sewaktu mengerjakan tawaf sunat. Jiwa rasa sungguh kosong kerana ibadat tersebut tidak sampai ke hati. Selepas tawaf, saya terus berdoa kepada ALLAH SWT agar memberikan petunjuk kenapa hal demikian berlaku.
Alhamdulillah, hasil pemerhatian terhadap aktiviti tawaf mengelilingi Kaabah, barulah saya ‘disedarkan’ oleh ALLAH SWT bahawa telah banyak melakukan refleksi semasa mengerjakan tawaf. Antara refleksi yang dilakukan ialah; menguis tangan orang yang memegang bahu saya, menolak individu atau kumpulan yang menghimpit saya serta pelbagai tindakan lagi. Akhirnya, saya memulakan semula tawaf sunat berkenaan dengan tekad untuk tidak lagi melakukan refleksi semasa tawaf. Rupanya, apabila kita membulatkan tekad, besar lagi ujian yang datang. Pun begitu, saya berjaya juga tamatkan tawaf dengan linangan air mata kerana telah berasa nikmat dalam beribadat.
Sebetulnya, menurut perspektif psikologi, refleksi diri terbahagi kepada dua keadaan iaitu; refleksi dalaman dan luaran. Pun begitu, refleksi dalaman banyak mempengaruhi refleksi luaran. Selain itu, refleksi terbahagi kepada tiga elemen iaitu; refleksi minda, refleksi emosi dan refleksi tingkah laku. Kita harus belajar bagaimana mengawal ketiga-tiga refleksi berkenaan. Refleksi minda adalah bagaimana kita menapis, menyaring serta memberi makna atau mentafsir segala input yang memasuki otak kita menerusi lima pancaindera iaitu; melihat, mendengar, menyentuh, merasa dan bau. Sekiranya kita mentafsir secara salah, maka salahlah penerimaan di jiwa kita.
Manakala, refleksi emosi adalah berkaitan dengan tindak balas jiwa dan perasaan terhadap segala mesej yang disampaikan dari otak. Justeru, emosi gembira, sedih, marah dan takut adalah terbit daripada pentafsiran minda kepada hati. Jika ditafsir secara positif, kita akan merasa selesa dan tenang. Di samping itu, refleksi tingkah laku adalah gabungan manifestasi minda dan jiwa. Ini bermakna, tingkah laku yang buruk boleh berlaku sekiranya minda kita salah mentafsir sesuatu keadaan dan jiwa pula menjadi sedih, marah serta takut dengan pentafsiran tersebut.
Kebiasaannya, kesemua refleksi itu akan berlaku daripada pelbagai trigger atau pencetus. Jika trigger tersebut baik maka baiklah refleksi kita dan jika teruk maka buruklah refleksi kita. Persoalannya, bagaimana kita boleh melakukan refleksi yang baik walaupun menghadapi trigger yang buruk?.
Kunci utama ialah, kita harus belajar menukar naratif atau penceritaan yang buruk kepada ‘hikmah’ iaitu; pengajaran untuk hidup juga datang daripada sesuatu yang buruk dan bukan terikat kepada perkara baik semata-mata. Kita harus kuatkan jiwa dengan amalan yang boleh mendekatkan diri dengan ALLAH. Selain itu, kita perlu kerap kali menggunakan perkataan seperti, ‘biarlah’, ‘tidak mengapa’, ‘ALLAH ada’ dan ‘bersabarlah’, supaya kita tidak hanyut dengan alunan negatif orang lain.
Merujuk kepada artikel Al-Kafi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 30 Disember 2018, Saidina Ali bin Abi Talib RA pernah berkata kepada bekas hambanya, "Wahai Qunbur, biarkan orang mencelamu dan lupakanlah. Pasti kamu akan diredai ALLAH SWT sehingga menimbulkan kemarahan syaitan”. Malah Penyair Arab pernah berkata, "Orang bodoh, dicaci jangan, dicela jangan. Diam sahaja baginya lebih menyeksakan”. Oleh itu, benarlah tanggapan bahawa hukuman paling setimpal bagi orang bodoh ialah mendiamkan diri. Semoga kita tidak menjadi ‘bodoh’ kerana gagal mengawal refleksi diri.
*Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca