SAMBUTAN Hari Malaysia pada 16 September diadakan sebagai memperingati sejarah penubuhan Malaysia sebagai sebuah persekutuan. Namun setelah 58 tahun sambutannya, Hari Malaysia hanyalah dilihat sekadar cuti umum biasa dalam kalendar negara.... Klik di sini untuk terus membaca

SAMBUTAN Hari Malaysia pada 16 September diadakan sebagai memperingati sejarah penubuhan Malaysia sebagai sebuah persekutuan. Namun setelah 58 tahun sambutannya, Hari Malaysia hanyalah dilihat sekadar cuti umum biasa dalam kalendar negara. Sedangkan ia wajib dimanfaatkan bagi membangkitkan citra Malaysia yang sebenar.

Pembentukan Malaysia barangkali lebih sukar daripada mencapai kemerdekaan. Cabaran insurgensi komunis, tentangan serantau terutamanya tuntutan hak wilayah ke atas Sabah dari Filipina serta konfrontasi ‘Ganyang Malaysia’ oleh kepimpinan Indonesia sampailah campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah sebahagian latar belakang yang melatari sejarah penubuhan tersebut.

Di sebalik kesukaran itu, persekutuan Malaysia akhirnya berjaya dibentuk pada tahun 1963. Cumanya daripada perspektif lain, kita masih juga belum berjaya membentuk naratif yang benar-benar memenuhi citra Malaysia. Benar amat sukar untuk membentuk Bangsa Malaysia. Tetapi citra Malaysia yang beraneka ragam, unik dan tersendiri seharusnya mampu digerakkan bagi membentuk naratif tersebut.

Sebagai permulaan, kesukaran untuk mengkonsepsikan Bangsa Malaysia itu sendiri dilihat bermasalah. Membentuk Bangsa Malaysia dengan mendukung dan meraikan kepelbagaian yang wujud dalam amalan bernegaranya adalah suatu yang kompleks dan paradoks. Apatah lagi sejak merdeka, sebarang usaha mengasimilasi sering ditentang keras oleh setiap kelompok yang berbeza.

Sebab itulah kita acapkali melihat program bina bangsa hanya sekadar retorik biasa dan bermusim mengikut keadaan semasa. Lebih parah, timbul pula sentimen kenegerian yang sempit bagi menambah permasalahan yang sudahpun mencabar.

Nyalaan sentimen tersebut dimainkan dengan tidak bertanggungjawab yang sengaja mengambil kesempatan atas konsep nasionalisme yang mempunyai dua sisi, politik dan etnik. Lihat bagaimana isu Sarawak untuk Sarawak dan Sabah untuk Sabahan memperlihatkan permasalahan tersebut. Malangnya, Hari Malaysia tidak dimanfaatkan sepenuhnya sebagai medium untuk meredakan tekanan.

Konsepsi

Menyelusuri sejarah, konsepsi tentang nasionalisme selalunya berkait rapat dengan elemen bangsa dan negara. Tiga konsep ini saling terkait antara satu sama lain terutamanya nasionalisme dan bangsa. Ini dinyatakan oleh Ernest Gellner (1964) dalam penulisannya Nations and Nationalism bahawa bangsa tidak membentuk nasionalisme tetapi nasionalisme yang mendefinisikan dan membentuk bangsa. Nasionalisme bagi Gellner adalah sebuah prinsip politik yang melihat aspek politik dan bangsa berjalan seiring berdasarkan pemahaman bahawa batas bangsa tidak boleh melintasi batas politik. Jadi secara mudah, nasionalisme sebenarnya adalah program politik yang mengkonstruksikan sesebuah bangsa.

Maka sebab itu, konsep Bangsa Malaysia sukar untuk diterjemahkan disebabkan tidak ada konsep yang benar-benar mewakili keseluruhan bangsa yang mendiami sesebuah negara, apatah lagi untuk ia dilaksanakan serta diamalkan. Sebab itu, penyatuan berkonsepkan akomodasi politik dipilih dalam konteks perpaduan di Malaysia atas pemahaman bahawa kepelbagaian perwatakan kita harus dikekalkan sebagai identiti tersendiri namun masih diikat melalui perasaan sepunya sebagai warga Malaysia.

Pemupukan perasaan sepunya lebih mudah dipupuk berbanding membentuk sebuah bangsa yang seragam identitinya. Aspek Perlembagaan dan Rukun Negara dilihat membantu kepada pemupukan tersebut. Dua aspek ini lebih mapan bagi memastikan kerencaman serta keunikan kita sentiasa dirai, dihormati dan dilestarikan. Ia juga selaras dengan sifat masyarakat Malaysia yang cair (fluid), mudah alih (mobile) dan sentiasa berubah.

Maka Hari Malaysia mungkin perlu digunakan untuk membangkitkan citra tersebut berbanding yang sepatutnya. Berbanding mengenang Hari Malaysia melalui perspektif sejarah yang mungkin menimbulkan nasionalisme palsu, sudah tiba masa untuk kita mengubah cara menyambutnya.

Hari Malaysia sepatutnya mengutamakan naratif Malaysia menekankan kelahiran warganegara Malaysia yang patriotik, rasional dan bertanggungjawab menerusi nilai-nilai sivik berteraskan citra Malaysia sebenar.

*Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca