MANUSIA memahami dengan jelas aturan perjalanan bulan dan matahari mungkin kerana kedua-duanya dapat dilihat jelas dengan mata kasar. Selain itu, perkembangan pesat teknologi teleskop telah membantu saintis untuk melihat bintang-bintang... Klik di sini untuk terus membaca

MANUSIA memahami dengan jelas aturan perjalanan bulan dan matahari mungkin kerana kedua-duanya dapat dilihat jelas dengan mata kasar.

Selain itu, perkembangan pesat teknologi teleskop telah membantu saintis untuk melihat bintang-bintang kecil di angkasa.

Justeru, kedudukan planet-planet dan aturannya kini diketahui dengan jelas, waima oleh masyarakat awam.

Bagaimanapun, tidak ramai ahli masyarakat yang memahami sel manusia walaupun sel itu adalah sebahagian daripada badan kita.

Ini mungkin kerana sel sebagai subunit terkecil dalam benda hidup tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Jika menggunakan mikroskop cahaya, hanya struktur luaran sel dapat dilihat, iaitu saiz dan bentuk sel. Untuk melihat struktur dalaman sel, ujikaji tertentu perlu dijalankan atau dilihat menggunakan mikroskop berteknologi tinggi.

Maka, saya ingin berkongsi serba sedikit tentang sel yang menjadi sebahagian daripada diri kita.

Mungkin kita dapat belajar sesuatu dan seterusnya mengasimilasikan ilmu tersebut dalam kehidupan seharian.

Sebagaimana sistem suria yang terkawal dan menjadi sebahagian daripada cakerawala yang besar, sel yang kecil turut mempunyai sistem kawalan. Struktur-struktur di dalam sel yang membantu menjalankan operasi sel dinamakan organel.

Organel utama yang sangat berkuasa dinamakan nukleus. Nukleus ini mengawal atur semua proses dalam sel, dan juga memberi kesan terhadap tumbesaran manusia kerana ia mengandungi bahan genetik.

Setelah mendapat isyarat dari luar sel, nukleus akan mengarahkan organel-organel lain untuk menjalankan fungsi masing-masing. Jika hendak bandingkan fungsi nukleus dengan Malaysia, nukleus ialah Putrajaya.

Organel-organel lain yang penting selain nukleus ialah mitokondria, lisosom, ribosom, endoplamik retikulum dan alat Golgi.

Mitokondria berfungsi menjana tenaga untuk sel beroperasi. Tenaga tersebut diaruhkan oleh molekul kecil bernama adenosina trifosfat atau ATP. Di sini kita boleh katakan mitokondria berperanan seperti Tenaga Nasional.

Lisosom pula bertanggungjawab untuk memproses bahan-bahan terbuang atau terpakai yang dihasilkan oleh sel. Sebahagian daripada bahan-bahan tersebut akan dikitar semula untuk digunakan kembali oleh sel.

Mungkin kita boleh samakan lisosom dengan Alam Flora. Selain itu, fungsi lisosom juga bermakna konsep kitar semula telah lama wujud dalam diri manusia.

Organel seterusnya ialah ribosom yang bertanggungjawab untuk menghasilkan protein. Protein ini akan digunakan oleh sel sendiri atau dihantar ke luar sel.

Proses penghasilan protein adalah berasaskan data DNA yang wujud di dalam nukleus, ditafsir dan ditukar kepada bentuk RNA. RNA ini dihantar ke ribosom.

Penghasilan protein juga amat berkait rapat dengan dua organel lain iaitu endoplasmik retikulum dan alat Golgi.

Protein-protein ini akhirnya akan digunakan untuk membentuk sel, yang akan menjadi tisu atau daging, dan seterusnya membentuk organ manusia.

Mengenali enam organel penting dalam sel boleh dijadikan panduan akan kepentingan sistem pengurusan yang teratur, boleh jadi sebuah negara atau sebuah keluarga.

Dalam sistem pengurusan yang efisien, setiap entiti tidak tunduk kepada satu sama lain tetapi berkhidmat kepada satu sama lain. Ini kerana semua organel adalah sama penting.

Bayangkan, ketidaknormalan satu organel sahaja boleh menyebabkan penyakit. Contohnya penyakit Gaucher berlaku akibat lisosom tidak berfungsi seperti sepatutnya.

Kita dapati masyarakat Jepun sangat menghormati sistem organisasi. Disebabkan itulah mereka sangat malu jika melakukan kesalahan yang memberi kesan kepada organisasi.

Jika rasa hormat kepada organisasi kita terapkan sebagai budaya rakyat Malaysia, saya pasti Malaysia akan menjadi lebih berjaya.

* Profesor Madya Dr Azlina Ahmad dari Pusat Pengajian Sains Pergigian Universiti Sains Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca