JARANG sekali institusi Parlimen menjadi tumpuan utama dalam kesedaran awam seperti yang berlaku beberapa bulan belakangan ini. Sejak pengisytiharan perintah Darurat, lebih-lebih lagi apabila ia tamat, ahli politik, para peguam badan-badan pemikir, pakar dan warga net telah merujuk kepada Parlimen sebagai sebuah badan penting dalam menggerakkan negara ke hadapan.
Pada bulan Jun, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja telah mengeluarkan kenyataan meminta agar Parlimen kembali bersidang secepat mungkin. Ketika pelantikan Perdana Menteri kesembilan bulan lalu, kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja sangat jelas, iaitu: "Perdana Menteri yang telah dilantik selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, perlu dengan segera mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat.”
(Secara kebetulan, tanggapan bahawa raja adalah pelindung kepada demokrasi berparlimen bukan satu perkara baharu: pada tahun 1959, Yang di-Pertuan Agong pertama telah bertitah mengenai Parlimen sebagai "puncak” dan "intipati penting” Perlembagaan Persekutuan.)
Namun, pada minggu lalu kita melihat ahli politik telah menarik kembali komitmen mereka terhadap perkara ini. Penasihat undang-undang mereka memberikan hujah yang tidak masuk akal apabila menyatakan bahawa tiada keperluan membentangkan usul tersebut dan ia adalah tindakan menentang kuasa mutlak YDPA untuk melantik Perdana Menteri baharu. Mujur para peguam Perlembagaan lain telah memberikan contoh duluan secukupnya yang menunjukkan Perdana Menteri akur mengadakan usul undi percaya sebaik sahaja dilantik. Kini terdapat desas-desus yang menyatakan bahawa YDPA telah memperkenankan tindakan penarikan kembali komitmen ini tetapi selagi tiada kenyataan yang jelas oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, ia kekal satu khabar angin.
Melihat kepada jangka masa panjang, terdapat ura-ura mengenai pembaharuan Parlimen yang disokong oleh parti politik yang tidak kita jangkakan. Beberapa orang ahli Parlimen disambut sebagai wira kerana memperjuangkan usaha pembaharuan seperti ini, tetapi rekod kerjaya politik mereka menunjukkan mereka adalah kelompok yang mendapat faedah daripada status quo.
Apakah yang menyebabkan perubahan sikap ini? Sebahagian daripadanya adalah menyedari tanpa penambahbaikan sistem, mereka akan berterusan terpaksa melindungi pertaruhan setiap kali kemungkinan berlaku pertukaran pemimpin: kestabilan adalah sesuatu yang bagus kepada ahli- ahli Parlimen yang tidak ingin memberi sokongan kepada pemimpin yang salah. Hal ini juga merupakan suatu kesedaran bahawa kepercayaan terhadap institusi negara kini berada pada tahap paling rendah. Pembaharuan Parlimen adalah satu pemangkin untuk mengembalikan kepercayaan terhadap demokrasi Malaysia, serta meningkatkan tadbir urus dalam institusi awam lain.
Dalam mana-mana kes, hal ini mengesahkan idea bahawa dalam sejarah tamadun manusia, pihak yang memegang kuasa jarang mengurangkan kuasa mereka kecuali jika terpaksa. Pembaharuan akan berlaku kerana pemimpin ingin kekal berkuasa tanpa kehilangan segala-galanya (seperti dalam revolusi ganas). Ini merupakan logik pragmatik oleh kelompok yang menyokong tawaran pembaharuan saat-saat akhir Perdana Menteri sebelum ini: "Siapa pun yang melakukan pembaharuan, atau apa pun alasan pembaharuan dilakukan tidak penting kerana yang paling penting adalah langkah pembaharuan yang berlaku.”
Menuntut pembaharuan Parlimen merupakan dasar utama kerja-kerja kebanyakan organisasi masyarakat sivil, terutamanya Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), tanpa mengira kesusahan politik yang sedang melanda negara. Kini merupakan masa yang sesuai untuk melihat kembali usaha ini ketika pelbagai pemegang taruh mencari kata sepakat mengenai pembaharuan yang akan mempunyai impak terbesar dan potensi kejayaan tertinggi.
Pada tahun 2012, saya telah menulis mengenai pembaharuan di Dewan Negara, mencadangkan kemungkinan diadakan pilihan raya untuk memilih perwakilan Dewan Negara agar dapat mengukuhkan logik asasnya, iaitu mewakili negeri. Pada tahun 2013, kertas dasar IDEAS mengenai pengukuhan demokrasi di Malaysia mencadangkan pengawasan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya, pengagihan sumber setara kepada ahli-ahli Parlimen dan penglibatan masyarakat sivil dalam penggubalan undang-undang. Pada tahun 2017, IDEAS mencadangkan penubuhan Ombudsman untuk membantu menjaga tadbir urus demokrasi. Pada tahun 2018, kami telah menggesa jawatankuasa pembaharuan institusi yang baru dibentuk agar memperkasa Parlimen melalui satu peruntukan belanjawan, penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan pengiktirafan rasmi terhadap Pembangkang. Sila layari https://www.ideas.org.my untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
Terdapat juga pelbagai pendapat dalam kalangan pertubuhan masyarakat sivil. Pada pendapat saya contohnya, menghalang perlakuan melompat parti tanpa sebab berasas boleh dicapai dengan cara menjalankan pemilihan calon pilihan raya dalam parti secara demokratik dan mewujudkan mekanisme untuk pengundi memecat wakil rakyat mereka lebih awal (jika wakil rakyat melompat parti, atau atas alasan lain). Namun, terdapat pihak yang ingin mengubah Perlembagaan secara radikal dengan cara membuatkan rakyat Malaysia mengundi parti (berbanding calon seperti sekarang) serta memperkenalkan perwakilan berkadar (proportional representation). Perbahasan mengenai perkara tersebut amat penting kerana pembaharuan ini akan memberi kesan kepada negara kita selama beberapa generasi.
Kita telah mengalami pelbagai kehilangan semenjak wabak melanda dan perancangan politik yang tidak henti-henti. Pembaharuan institusi Parlimen akan membuatkan kita mampu bangkit kembali dengan lebih kuat daripada dua kemelut ini. Saya menggesa ahli politik untuk berusaha mencapainya, tanpa mengira apa pun motivasi mereka.
* Tunku Zain Al-‘Abidin merupakan Presiden Pengasas IDEAS
Klik di sini untuk terus membaca