SHAH ALAM - Satu rakaman video memaparkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berjalan sambil dipimpin isteri beliau, Tun Jeanne Abdullah yang dikongsikan menerusi akaun TikTok @suripmohamadtalib pada Jumaat mengubati kerinduan ramai kepada pemimpin itu.
Kemunculan video dengan kapsyen 'Semoga Tun sekeluarga sihat dan bahagia' itu sedikit sebanyak menjawab mengenai keadaan serta tahap kesihatan Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah.
Tidak dapat dinafikan, sedikit sebanyak hati terasa sebak melihat penampilan Pak Lah yang kini menjangkau usia 82 tahun. Video tersebut mendapat tontonan lebih 113,000 orang di TikTok.
Bagi generasi baharu yang mungkin tidak mengenali Pak Lah, veteran politik yang dilahirkan pada 26 November 1993 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang itu ialah mantan Perdana Menteri Malaysia kelima.
Sepanjang enam tahun memegang gelaran pemimpin nombor satu negara dari tahun 2003 hingga tahun 2009, Pak Lah yang diberi jolokan Bapa Pembangunan Modal Insan itu terkenal dengan moto kepimpinan 'Cemerlang, Gemilang dan Terbilang' dan konsep Islam Hadhari.
Biarpun hanya sekejap memegang tampuk pemerintahan negara, namun legasi Pak Lah yang menitikberatkan modal insan sebagai aset penting memacu kemajuan negara tidak harus dilupakan.
Terdahulu, selepas hampir 12 tahun bersara daripada dunia politik, kelibat bekas Presiden UMNO keenam itu jarang kelihatan dan terdapat laporan mengatakan kesihatan beliau tidak begitu baik.
Lebih teruk, pada tahun lalu muncul beberapa dakwaan palsu mengenai berita kematian Pak Lah sehingga menyebabkan laporan polis terpaksa dibuat.
Dalam pada itu, empat bulan lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut berkongsi dua keping foto sambil memaklumkan yang Pak Lah berada dalam keadaan sihat dan baik.
Klik di sini untuk terus membaca