SUKAN Paralimpik di Rio, Brazil dan Tokyo, Jepun membuka mata masyarakat mengenai kehebatan atlet kelainan upaya Malaysia di pentas dunia. Berbeza daripada Sukan Olimpik biasa, Sukan Paralimpik dipecahkan kepada pelbagai kategori mengikut... Klik di sini untuk terus membaca

SUKAN Paralimpik di Rio, Brazil dan Tokyo, Jepun membuka mata masyarakat mengenai kehebatan atlet kelainan upaya Malaysia di pentas dunia.

Berbeza daripada Sukan Olimpik biasa, Sukan Paralimpik dipecahkan kepada pelbagai kategori mengikut kelainan upaya atlet.

Salah satu kategori yang paling menonjol untuk kontinjen Malaysia sudah tentulah T20 yang menampilkan jagoan terkemuka seperti Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly.

Bagaimanapun, ramai yang tertanya, apakah sebenarnya kelainan upaya atlet kategori T20.

Sekali imbas, mereka nampak normal seperti atlet biasa, tanpa sebarang kekurangan atau kelainan pada anggota badan.

Ada yang merujuk T20 sebagai ketidakupayaan pembelajaran dan ada juga mengklasifikasinya sebagai kecacatan intelektual.

Kejayaan Ziyad dan Abdul Latif, hakikatnya membuka mata rakyat Malaysia mengenai sejenis kelainan upaya yang sering diabaikan masyarakat kita.

Malah, ramai ibu bapa tidak mengetahui mengenai kecacatan intelektual dan perkembangan merupakan sejenis kelainan upaya sehingga sering menganggap anak mereka tidak cerdik dan bijak.

Pakar Wanita dan Kanak-kanak Hospital Avisena, Dr Roliza Ibrahim berkata, kecacatan intelektual dan perkembangan (IDD) mungkin kelihatan normal dari segi paras rupa bagi mereka yang tiada kecacatan fizikal, namun ia merupakan gangguan kepada perkembangan yang menyebabkan seseorang mempunyai kebolehan kognitif dan skill seperti pembelajaran, pertuturan dan apa jua tingkah laku yang jauh lebih rendah daripada kanak-kanak normal.

Katanya, 80 peratus daripada kes kecacatan intelektual dan perkembangan tiada penyebab atau ‘uknown cause’, namun mereka mempunyai darjah kecerdasan otak (IQ) 70 dan ke bawah berbanding orang biasa yang purata IQ mereka adalah 85 ke atas.

"Faktor yang menyebabkan kecederaan otak atau penyakit yang melibatkan otak boleh menyebabkan kecacatan intelektual berlaku pada seseorang. Antara faktor lain adalah faktor genetik seperti Sindrom Down dan Sindrom Fragile X.

"Selain itu, komplikasi ketika mengandung seperti pengambilan alkohol oleh ibu hamil atau jangkitan kuman ketika mengandung seperti penyakit Rubella boleh menyebabkan kecacatan intelektual pada bayi yang bakal dilahirkan.

"Komplikasi semasa kelahiran seperti lemas, kurang oksigen yang boleh memudaratkan otak serta penyakit yang dialami kanak-kanak seperti Meningitis atau jangkitan pada selaput otak juga boleh menyebabkan berlakunya kecacatan intelektual,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, kecacatan intelektual pada kanak-kanak dapat dikesan dari peringkat awal melalui perkembangannya dan jika ibu hamil mempunyai masalah semasa mengandung atau kelahiran.

"Jika ada sakit tertentu seperti Sindrom Down, masalah semasa mengandung atau kelahiran, ia boleh dikesan dari awal. Walaubagaimanapun, bagi IDD yang tiada penyebab tertentu, mereka kelihatan seperti kanak-kanak biasa.

"Namun begitu, ia dapat dikesan daripada perkembangan seperti percakapan yang mungkin agak lembab, lambat berjalan dan sukar memahami apa yang diajari. Oleh itu, amat penting ibu bapa selalu mendapat ‘feedback’ daripada pengasuh atau guru untuk mengesan IDD pada anak mereka,” katanya.

Dr Roliza Ibrahim berkata, kesan jangka panjang kecacatan intelektual adalah mereka akan alami kesukaran pembelajaran dan selalunya perlu masuk ke kelas khas namun bagi mereka yang tiada kecacatan fizikal, bermain sukan tidak menjadi masalah.

Kesukaran pembelajaran

Roliza yang juga merupakan Pakar Pediatrik berkata, mereka yang mempunyai kecacatan intelektual akan mengalami beberapa kesan jangka panjang dari segi pembelajaran dan percakapan.

"Kesan jangka panjang kecacatan intelektual adalah pada kebiasaannya mereka akan mengalami kesukaran pembelajaran dan selalunya perlu untuk masuk ke kelas khas.

"Bagi yang mempunyai masalah seperti kerosakan otak atau Sindrom Down, percakapan mereka mungkin terganggu namun bagi mereka yang tiada penyebab tertentu, percakapan mereka mungkin normal seperti orang lain," katanya.

Tambah beliau, bagi mereka yang tiada kecacatan fizikal, bermain sukan tidak menjadi masalah bagi mereka yang menghidapi kecacatan intektual.

Ini terbukti apabila atlet kebanggaan Malaysia yang mempunyai kecacatan intelektual seperti Ziyad dan Abdul Latif berjaya mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa baru-baru ini.

Dalam pada itu, Roliza Ibrahim berpandangan bahawa walaupun kecacatan intelektual ini kekal, ia dapat diperbaiki melalui terapi jika dilakukan dari awal.

"Kecacatan intelektual juga boleh dilihat dari segi penjagaan diri mereka yang mungkin berbeza dengan orang lain. Di Amerika Syarikat, terdapat dalam 120 populasi kanak-kanak yang mempunyai kecatatan intelektual dan perkembangan.

"Kecacatan fizikal selalunya kekal namun boleh diperbaiki jika mereka melakukan terapi atau pengajaran khas dari peringkat awal,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca