SHAH ALAM - Kerajaan perlu mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan cukai ‘durian runtuh’ kepada golongan kaya atau T20 dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.
Pengerusi dan Pengasas Bersama Ikhlas Capital, Datuk Seri Nazir Tun Razak berkata, sudah tiba masanya sistem percukaian dinilai kembali agar berupaya menyeimbangkan kesan buruk krisis Covid-19 terhadap ekonomi negara.
Menurut Nazir, kerajaan juga sewajarnya mengenakan cukai yang lebih kepada syarikat-syarikat ‘gergasi’ khususnya perusahaan sarung tangan bagi membantu rakyat.
"Saya pernah bercakap di platform lain sebelum ini yang mana adalah penting juga kita (kerajaan) tengok (kembali) sistem percukaian sebab kalau kita hendak menolong rakyat, duit itu hendak datang dari mana?
"Jadi kita kena naikkan cukai. Bukan daripada orang ramai tapi cukai daripada orang kaya kena lebihkan.
"Saya tahu ramai kawan-kawan saya marah kalau cakap macam ini. Tapi saya sudah cakap (sebelum ini) bahawa saya menyokong kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pakar Ekonomi, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram yang mengatakan bahawa cukai durian runtuh (patut) kita kembalikan kepada syarikat-syarikat seperti sarung tangan dan lain-lain syarikat pun. "Kita boleh tengok inovasi dari segi sistem cukai. Banyak inovasi seluruh dunia kalau kita boleh tengok bahawa orang kaya kena bayar cukai lebih. Itu situasi sekarang,” katanya dalam Wawancara Sinar Ahad di Kumpulan Karangkraf di sini baru-baru ini.
Nazir yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Kumpulan CIMB menyuarakan pandangan itu ketika ditanya berhubung harapan beliau terhadap Belanjawan 2022 yang dijangka dibentangkan Oktober ini.
Tambah beliau, dalam situasi penuh mencabar ketika ini, cadangan itu dilihat antara langkah terbaik untuk dilaksanakan untuk membolehkan kerajaan membantu rakyat sekali gus memulihkan ekonomi negara.
"Pada pandangan saya, apa yang penting sekali dalam belanjawan kali ini adalah untuk membantu rakyat,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai jangkaan nilai belanjawan dan kemampuan kerajaan berbelanja lebih besar berbanding tahun sebelumnya, Nazir bagaimanapun enggan membuat sebarang spekulasi.
Beliau sebaliknya berharap agar fokus utama yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan adalah untuk membantu rakyat dan syarikat-syarikat kecil.
Klik di sini untuk terus membaca