SHAH ALAM - Cadangan agar cukai ‘durian runtuh’ dikenakan kepada golongan kaya atau T20 disokong pakar kerana wang yang diperoleh akan mengalir ke ekonomi tampak (real economy).
Pakar Ekonomi daripada Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, dalam keadaan pandemik ketika ini cukai sedemikian patut dikenakan kerana ia dapat menambah pendapatan negara yang kemudiannya boleh disalurkan kepada rakyat.
"Saya bersetuju cukai ‘durian runtuh’ ini memang patut dikenakan sebab kalau kita tengok setakat ini cukai ini hanya dikenakan kepada minyak sawit.
"Bila harga komoditi ini meningkat kerajaan berjaya mendapat RM400 juta tambahan pendapatan untuk suku pertama tahun ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gesaan Pengerusi dan Pengasas Bersama Ikhlas Capital, Datuk Seri Nazir Tun Razak supaya kerajaan mempertimbangkan cadangan mewujudkan cukai ‘durian runtuh’ kepada golongan T20 dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.
Nazir dilaporkan berkata, sudah sampai masanya sistem percukaian dinilai kembali agar berupaya menyeimbangkan kesan buruk krisis Covid-19 terhadap ekonomi negara.
Justeru, Ahmed Razman berkata, sekiranya ada mana-mana industri yang mencatatkan keuntungan yang tinggi sewajarnya kerajaan boleh mengenakan cukai ‘durian runtuh’ kerana perlu dipastikan wang itu pergi kepada ekonomi tampak."Sebagai contoh saya tengok ada syarikat pembuatan sarung tangan getah walaupun mereka mencatat keuntungan RM1 bilion ke RM2 bilion tapi keuntungan itu tidak digunakan kepada ekonomi tampak seperti untuk menambah kilang atau mengambil pekerja tempatan tetapi lebih kepada guna untuk membayar hutang lama."Jadi, dengan mengenakan cukai ‘durian runtuh’, wang cukai yang dikutip itu nanti dapat mengalir dalam kitaran ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, Ahmed Razman menegaskan, satu lagi cukai yang boleh dikenakan dalam keadaan sekarang adalah cukai pulangan atas modal.
Ini kerana katanya, apabila pelabur-pelabur berniaga dan menjual saham dalam Bursa Malaysia, mereka tidak membayar cukai.
"Misalnya kalau dia beli saham harga RM1,000 dan dia jual harga RM20,000, jadi dia untung RM19,000 dan amaun itu tidak dikenakan cukai.
"Jadi itupun satu potensi cukai baharu untuk kerajaan fikirkan,” katanya.
Bagaimanapun, mengulas lanjut berhubung pelaksanaan cukai ‘durian runtuh’, beliau secara jujur menjelaskan, cukai sebegitu hanya bersifat sementara kerana perniagaan tidak akan meraih keuntungan secara abnormal selama-lamanya.
Ujarnya, ia cuma berlaku sementara dan selepas itu ia berubah menjadi normal atau dalam kata lain ia tidak kekal.
Oleh itu katanya, kerajaan perlu memikirkan strategi yang lebih mampan bukan semata-mata memikirkan bagaimana untuk mengenakan cukai baharu atau menaikkan kadar cukai sedia ada untuk menampung perbelanjaan negara.
"Ia kerana menambahkan hasil dengan cukai adalah jalan mudah tetapi ia tidak menyelesaikan isu pokok kenapa kita kena buat sedemikian rupa.
"Kenapa kita terpaksa cari cukai baharu sebab perbelanjaan semakin meningkat setiap tahun dan kita kena tengok kenapa perbelanjaan semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata, secara lazimnya sekiranya perbelanjaan semakin meningkat ia disebabkan masih berlaku ketirisan dalam perbelanjaan dan berlaku isu projek-projek kerajaan diberi kepada kartel yang membolot semua projek yang menyebabkan harga perolehan itu tinggi sekali gus turut menunjukkan berlaku elemen rasuah.
Katanya, jika perkara itu tidak ditangani ketirisan akan semakin parah dan akan memaksa kerajaan menambah cukai manakala kesannya akan dirasai rakyat.
Klik di sini untuk terus membaca