[MUKADIMAH] Bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Tun Razak mencadangkan Malaysia melaksanakan deliberative democracy atau demokrasi rundingan yang menekankan kepentingan platform musyawarah dan... Klik di sini untuk terus membaca

[MUKADIMAH] Bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Tun Razak mencadangkan Malaysia melaksanakan deliberative democracy atau demokrasi rundingan yang menekankan kepentingan platform musyawarah dan perbincangan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi negara.

"Ini kerana ramai orang kata deliberative democracy lebih tulen sebab rakyat sendiri boleh datang dengar dan memberikan buah fikiran mereka.

"Kalau sistem yang ada sekarang, kita pilih wakil rakyat untuk tempoh lima tahun dan mereka akan bercakap serta mengundi untuk kita di Parlimen.

"Adakah mereka ini mengundi untuk kepentingan kita atau kepentingan diri dan partinya?

Sebab itu ramai yang kecewa dengan sistem wakil rakyat iaitu indirect democracy (demokrasi tak langsung) atau representative democracy (demokrasi perwakilan),” katanya.

Ikuti kupasan lanjut Nazir menerusi Wawancara Sinar Ahad bersama Pengarang Berita Premium, Zamri Rambli; Pengarang Berita Umum, Junhairi Alyasa; serta wartawan Nurul Huda Husain dan Nur Iftitah Rozlan.

SINAR AHAD: Datuk Seri pernah menyatakan bahawa politik identiti, politik wang dan penumpuan kuasa merupakan faktor yang menghalang perubahan sistem di Malaysia. Boleh Datuk Seri jelaskan?

NAZIR: Kalau kita tengok banyak sistem politik di negara lain, mereka boleh buat pembaharuan mengikut keadaan dan kehendak rakyat.

Tapi apabila kita tengok sistem negara kita, kenapa susah nak buat pembaharuan?

Bukan tidak dicuba, kalau kita tengok Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun M 2.0 (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan manifesto Pakatan Harapan (PH), banyak janji reformasi.

Tapi bila nak bergerak tidak jadi, kenapa?

Kita tengok ramai pemimpin sudah cuba tapi tidak boleh buat reformasi, boleh jadi bukan isu pemimpin tapi sistem.

Nazir Razak - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Kenapa sistem tidak beri kita buat perubahan? Ramai orang suka sistem (baru) yang bagus untuk mereka, tetapi ramai orang elit, ahli politik suka sistem (lama) ini.

Kalau kita nak buat perubahan, mereka akan bangkitkan isu agama dan perkauman, jadi susah nak buat pertukaran.

Masa PH mentadbir dulu, mereka nak buat perubahan dengan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ataupun hendak tandatangan perjanjian Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).

Itu saya kira perubahan yang agak kecil tapi jadi isu besar di mana ada kaum Melayu yang marah dan sebagainya.

Sebab itu sistem kita susah nak buat perubahan satu demi satu. Kalau nak tukar sesuatu yang bagus untuk kaum tertentu, kaum lain akan marah.

Tapi kalau balik ke tahun 1970-an, kita letak semua isu atas meja dan boleh buat perjanjian.

Insya-ALLAH akhirnya semua dapat sikit, bagi sikit. Itulah kenapa saya kata, kalau nak buat pembaharuan kita kena buat menerusi platform musyawarah.

Bagaimana Datuk Seri mendefinisikan deliberative democracy dan bagaimana ia dapat membantu menambah baik proses demokrasi di Malaysia?

Topik deliberative democracy ini sekarang agak popular dalam sains politik. Di Universiti Stanford, Amerika Syarikat, ada satu bahagian kajian untuk demokrasi ini.

Universiti lain pun sudah bermula, Universiti Oxford juga baru bermula. Kalau kita tengok negara-negara lain, banyak sistem sekarang mewujudkan platform musyawarah seperti yang saya cadangkan.

Ini kerana ramai orang kata deliberative democracy lebih tulen sebab rakyat sendiri boleh datang dengar dan memberikan buah fikiran mereka sendiri.

Kalau sistem yang ada sekarang, kita pilih wakil rakyat untuk tempoh lima tahun dan mereka akan bercakap serta mengundi untuk kita di Parlimen.

Adakah mereka ini mengundi untuk kepentingan kita atau kepentingan dia dan partinya? Sebab itu ramai yang kecewa dengan sistem wakil rakyat iaitu indirect democracy atau representative democracy.

Banyak negara sekarang ada sistem Parlimen dan juga deliberative democracy. Tapi kalau difikir betul-betul, Malaysia sudah memulakan sistem ini pada 1970-an. Kita sudah ada deliberative democracy sebelum orang lain.

Datuk Seri mencadangkan ‘Reset Malaysia’ yang akan membawa negara ke arah yang lebih baik. Dari segi apakah pembaharuan itu?

Penting untuk kita fikirkan apakah Malaysia yang lebih baik dan bagaimana bayangan Malaysia yang lebih baik itu.

Kita perlu wujudkan satu sistem di mana politik ada pengadil. Sistem kita sekarang ada masalah di mana pasukan yang menang itu jugalah yang akan mengawal pengadil.

Nazir Razak - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Pengadil politik ini ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kalau kita lihat sistem sekarang berada di bawah perdana menteri, itu salah.

Kita patut keluarkan mereka (SPRM dan SPR) dan letakkannya di bawah institusi lain supaya boleh menjadi pengadil dalam politik.

Mungkin boleh diletakkan di bawah institusi raja-raja supaya mereka boleh tentukan persaingan yang adil dalam politik.

Yang kedua, dari segi proses pemilihan, kita ada sistem yang dipanggil first pass the post (majoriti mudah) seperti British.

Tapi boleh jadi sistem lain lebih sesuai untuk negara pelbagai kaum, misalnya di Singapura yang melaksanakan sistem mixed constituency (kawasan pilihan raya campuran). Jadi ada banyak jenis inovasi demokrasi.

Ada orang kata saya hendak tukar sistem supaya kurang demokratik, itu salah.

Saya kata sistem demokrasi ada banyak cara.

Namun, adakah sistem yang ada sekarang sesuai untuk negara dan masyarakat kita? Adakah sistem yang diberi atau diwariskan oleh British ini sesuai untuk kita?

Apakah impian Datuk Seri terhadap perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik?

Malaysia ialah sebuah negara pelbagai kaum, jadi ini perlu jadi kekuatan kita. Semasa di CIMB dulu, kenapa CIMB berjaya? Sebab saya gabungkan orang Melayu, Cina dan India sebagai sebuah pasukan yang kuat. Ini keunikan untuk negara kita dan boleh menjadi kekuatan kita, bukan perpecahan.

Dari segi pendidikan, harus ada satu sistem yang lebih moden dan boleh siapkan anak-anak kita untuk menghadapi Revolusi Industri keempat.

Dari segi bahasa pula, kenapa kita ada sekolah lain-lain seperti sekolah kebangsaan, Cina dan India.

Kalau digabungkan semua, anak-anak kita mungkin boleh bertutur dalam dua, tiga atau empat bahasa.

Pandangan Datuk Seri tentang keadaan politik negara sekarang?Politik negara kini bagi saya amat menyedihkan kerana kita buat pilihan raya sekali, tetapi kita ada tiga perdana menteri atau tiga kerajaan.

Saya risau kalau tidak ada kestabilan politik, pelaburan langsung asing (FDI) akan jatuh, ekonomi lebih merosot dan isu pandemik tidak boleh ditangani dengan betul.

Apakah harapan Datuk Seri terhadap kerajaan yang baru dibentuk sekarang untuk selesaikan masalah negara?

Saya harap kerajaan fokus terhadap dua isu utama iaitu Covid-19 dan pemulihan ekonomi. Fokus dengan dua isu itu. Yang lain seperti soal politik kita letak tepi dahulu buat masa ini. Saya sedih lihat keadaan rakyat ketika ini di mana ramai yang terkesan.

Kalau kita tengok syarikat-syarikat mikro banyak sudah bankrap. Insya-ALLAH bila situasi sudah reda, kerajaan patut wujudkan seperti yang saya kata tadi, satu platform musyawarah untuk membuat pembaharuan sistem.

Saya risau kalau kita hendak mengadakan PRU sekali lagi dengan sistem sedia ada iaitu sistem pemilihan yang sama, kita akan balik ke sini iaitu kembali kepada situasi yang sama.

Masalahnya ialah kita sudah memilih 222 orang wakil rakyat ini dengan sistem itu. Kalau kita adakan PRU, kita pastikah situasi akan lebih baik? Boleh jadi tidak kerana masalahnya adalah sistem.

Jadi saya fikir kalau saya boleh bertemu dengan perdana menteri, saya hendak cakap macam itulah. Fokus Covid-19, fokus ekonomi dan kemudian wujudkan platform musyawarah.

Dalam ucapan pada Alumni Chevening Malaysia tahun lalu, Datuk Seri menyatakan Malaysia tidak mempunyai ekonomi sebenar sebaliknya yang kita ada ialah ekonomi politik. Ini kerana kerajaan dan ahli politik mempunyai kuasa membuat keputusan besar dalam ekonomi. Jika kita ingin reset ekonomi, bagaimanakah ekonomi yang sewajarnya?

Apa yang saya perkatakan ialah ‘reset negara’, jadi itu termasuk sekali reset ekonomi. Sistem ekonomi sekarang kebanyakannya hasil DEB yang banyak kita wujudkan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan lain-lain.

Jadi kita tengok situasi ekonomi dunia sekarang di mana ekonomi yang paling maju adalah ekonomi yang beri fokus kepada individu, inovasi dan lain-lain. Ekonomi kita sekarang ini pula terlampau banyak bergantung kepada kerajaan.

Kalau kita hendak lesen, hendak dapat kontrak, kita kena lawan dengan syarikat GLC. Jadi banyak pihak yang kecewa.

Kalau kita hendak berniaga, kita pusing kanan dan pusing kiri semua ada GLC. Jadi kita mesti fikir balik sistem yang digunakan sekarang.

Seandainya PRU15 diadakan pada waktu terdekat ini, apakah yang boleh Datuk Seri bayangkan?

Saya membayangkan kita akan ada banyak parti dan individu, dan boleh jadi mereka buat gabungan selepas pilihan raya nanti. Itu mungkin situasi pada masa akan datang.

Memang ada bagusnya kalau ada sistem seperti itu, tapi kalau kita ada sistem ekonomi seperti sekarang, itu yang saya risau.

Apabila kita ada kerajaan yang tidak ada majoriti atau tidak kuat tetapi mereka ada kuasa ekonomi seperti sekarang, itu bahaya.

Mereka boleh gunakan kuasa ekonomi untuk menguatkan kedudukan mereka. Bila kita buat macam itu, ekonomi akan jatuh.

Jadi agenda untuk kita reset Malaysia tidak akan berhasil kalau begitu situasinya?Itu sebab saya katakan untuk buat pembaharuan, kita kena tengok institusi lain, bukan dari segi institusi kerajaan sahaja. Insya-ALLAH pihak institusi raja-raja boleh tengok situasi sekarang.

Untuk kebaikan rakyat dan kebaikan negara, kita kena mewujudkan platform musyawarah ini.


ANEKDOT


Tak pernah terbayang akan jadi ahli politik

Saya tidak pernah terbayang akan menjadi ahli politik. Tidak ada. Memang dulu masa kecil kita anak orang politik, orang akan cakap satu hari nanti kamu mesti masuk politik. Saya pun belajar politik di universiti, tapi bila sudah lama bergelar orang bank dan lihat situasi sekarang, saya rasa tidak patut jadi orang politik.

Saya hendak tukar politik, tukar cara berpolitik di negara ini. Saya ingat itulah masalah terbesar Malaysia. Negara tidak perlukan seorang lagi masuk politik, sebaliknya negara perlu perubahan politik. Saya boleh tolong tukar sistem politik, insya-ALLAH.

Imej CIMB dan Nazir Razak

Saya di CIMB selama 29 tahun, jadi banyak orang kaitkan saya dengan CIMB. Kadang-kadang kalau sistem CIMB Klik itu ada masalah, orang akan hantar WhatsApp, mesej terus kepada saya untuk buat aduan. Saya sudah tinggalkan CIMB tiga tahun tapi tidak apalah. Saya mula kerja dengan CIMB tahun 1989, jadi memang lama di situ, memang karier saya terkait dengan CIMB.

Alhamdulillah, masa saya bersara pada tahun 2018, awalnya saya berasa sedih juga kerana terpaksa bersara apabila kerajaan bertukar. Tetapi bila fikir balik, bagus juga kerajaan pada waktu itu paksa saya bersara, kalau tidak saya sendiri hendak tinggalkan CIMB susah. Pada saya kita tidak patut duduk dalam satu-satu institusi dalam tempoh yang lama. Nanti akan timbul kekeliruan kerana fikir syarikat itu kita punya.

Tiga perkara rakyat tidak tahu tentang Tun Razak

Pertamanya, beliau sangat menginginkan anak perempuan. Apabila saya dilahirkan, beliau diberitahu dapat anak lelaki yang kelima, beliau kata, Oh no! Sebab beliau sudah buat persiapan untuk anak perempuan dan semasa kecil, saya cuma ada pakaian anak perempuan.

Yang kedua, ketika Tun Razak berumur 11 tahun pada 1933, beliau pergi ke Istana Pahang untuk satu acara. Di situ, beliau lihat orang British duduk atas kerusi sedangkan ketua-ketua Melayu berdiri. Itulah permulaan nasionalisme Tun Razak.

Yang ketiga pernah berlaku apabila beliau pergi ke luar negeri untuk urusan kerajaan dan pembantunya membeli berus gigi menggunakan duit kerajaan, Tun Razak memarahinya dan disuruh tukar balik, beli dengan duit beliau sendiri. Ada juga sekali rombongan kerajaan Malaysia duduk di hotel ramai-ramai, beliau mengamuk apabila tengok bil, kemudian seluruh rombongan kena tukar dari hotel lima bintang ke tiga bintang.


INFO


Datuk Seri Nazir Tun Razak

Umur: 54 tahun

Tempat lahir: Kuala Lumpur

Isteri: Datin Seri Azlina Aziz

Pendidikan: Sarjana Muda Ekonomi dan Politik, Universiti Bristol, UK

Sarjana Falsafah Ekonomi Pembangunan, Universiti Cambridge, UK.

Kerjaya:Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi CIMB (1999 hingga 2018)

Pengarah Bukan Eksekutif Khazanah Nasional Bhd

Rakan Pengasas dan Pengerusi Ikhlas Capital

Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif PLS Plantations Bhd

Pengerusi Bukan Eksekutif Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB)

"Eksekutif Teratas Terbaik” oleh Asiamoney (2009 dan 2010).

Antara 50 orang paling berpengaruh di Asia oleh FinanceAsia (2006).

Klik di sini untuk terus membaca