DALAM persekitaran di mana saluran maklumat formal seperti agensi berita, akhbar, radio dan televisyen kurang diyakini, berita daripada sumber-sumber tidak formal seperti sembang kedai kopi dan tulisan di dinding lebih dipercayai.
Di China, pada zaman Mendiang Mao Zedong, akhbar dinding atau dalam bahasa Inggeris wall newspapers adalah kebiasaan di mana propaganda tulisan tangan dan cetak mengenai kehebatan komunisme ditampal untuk bacaan umum.
Tetapi yang benar-benar menjadi tarikan adalah berita dan ulasan tersirat yang menyanggah propaganda Mao dan penyokong-penyokongnya yang ditampalkan pada 1978 dan 1979 di dinding yang dipanggil 'Dinding Demokrasi' di Bandaraya Beijing.
Sekarang wall tempat menampal poster dan sepanduk di banyak tempat di dunia telah diambil alih oleh lukisan grafiti manakala wall untuk berita dan maklumat telah digantikan oleh pelbagai platform media sosial seperti Facebook, YouTube, WhatsApp, Instagram, TikTok, SnapChat, Reddit, Pinterest, Twitter, Linkedln, Messenger, WeChat dan banyak lagi.
Sehingga Januari tahun ini, kira-kira 86 peratus penduduk Malaysia cergas di media sosial.
Muncul bersama-sama media sosial ini adalah fenomena yang dipanggil berita palsu atau fake news sehingga memaksa banyak negara mengadakan undang-undang khas bagi menyekat dan menghukum kegiatan ini.
Oleh sebab campur tangan kerajaan dalam pelesenan media dan pembabitan parti-parti politik dalam industri maklumat, media massa arus perdana di negara kita kurang mendapat keyakinan audiens, lebih-lebih lagi audiens luar negara.
Dalam keadaan ini, sumber-sumber lain, termasuk khabar angin dan perbualan kedai kopi turut diberi perhatian malah, dalam hal-hal tertentu, lebih diyakini.
Oleh sebab itulah antara tempat pilihan Cawangan Khas untuk memasang telinga adalah kedai kopi dan tempat orang ramai berkumpul.
Jadi apabila platform media sosial kita sejak akhir-akhir ini sarat dengan cakap-cakap bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak akan dilantik ke jawatan penting dalam kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, banyak orang terpengaruh.
Antara gosipnya adalah dia akan dilantik Penasihat Khas bertaraf menteri mengenai ekonomi.
Malah ada saluran media yang memetik bekas menteri, Mohamed Nazri Abdul Aziz sebagai berkata adalah kerugian besar tidak memanfaatkan pengalaman bekas Perdana Menteri itu.
Sekali gus nampak seolah-olah ada kempen bersepadu di kalangan pemimpin Umno dengan disokong oleh pengamal-pengamal media yang diketahui akrab dengan Mohd Najib untuk membawanya balik sehingga membelakangkan hakikat bahawa dia adalah pesalah yang sudah dijatuhkan hukuman penjara dan denda oleh mahkamah.
Pada 28 Julai tahun lalu, Mohd Najib telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serentak dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur setelah didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram sebanyak RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Dia sedang merayu kepada Mahkamah Rayuan.
Kalau sebelum ini kempen menjadikan Mohd Najib "Bossku” terhad hanya kepada laskar siber upahan dan sukarela, tetapi sejak Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri pada 20 Ogos lalu, ia bertukar menjadi kempen terbuka.
Apatah lagi Mohd Najid sendiri memberi gambaran warna-warni yang dia sangat akrab dengan Perdana Menteri Umno dan orang senegeri itu.
Sehingga kini, dia sudah dua kali mengunjungi Ismail Sabri di Putrajaya – sekali ketika Ismail Sabri Timbalan Perdana Menteri dan yang terbaru pada 7 September.
Kalau betullah Ismail Sabri akan melantik Mohd Najib yang berupa seorang convicted felon – mengikut label yang digunakan oleh Bernama – ke jawatan rasmi dalam kerajaan ia adalah satu perbuatan yang sangat luar biasa yang seolah-olah menunjukkan jari tengah kepada Kehakiman dan memberi semboyan bahawa sebagai Perdana Menteri, dia boleh melakukan apa saja.
Seandainya perkara yang tidak masuk akal ini benar-benar terjadi, ia samalah seperti Ismail Sabri menjengkalkan muka pendahulunya, Tan Sri Muhyiddin Md Yasin @ Mahiaddin, yang ketika menjadi Perdana Menteri telah bersumpah tidak akan sekali-kali bertolak ansur dengan kluster mahkamah Umno atau campur tangan dalam urusan Kehakiman.
Persoalannya, kalau Ismail Sabri melantik Mohd Najib yang berupa pesalah terhukum, apa halnya dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO yang sedang dibicarakan dan belum tahu akan didapati bersalah atau tidak?
Tentulah dia lebih berhak dipertimbangkan berbanding Mohd Najib oleh sebab dia Presiden UMNO dan belum didapati bersalah.
Cuma dia tidaklah terkenal dalam bidang ekonomi walaupun pernah cergas dalam dunia korporat sebagai orang kepercayaan bekas Perdana Menteri yang kini Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sekarang ini nampaknya terdapat kecenderungan di kalangan sesetengah pemimpin dan ahli UMNO untuk menyalahkan Ahmad Zahid dan melupakan dosa Mohd Najib terhadap UMNO sedangkan yang menjadi punca kekalahan parti itu dalam pilihan raya umum 2018 adalah Mohd Najib.
Kesimpulannya, para pemimpin UMNO yang berjaya mengambil alih pucuk pimpinan negara daripada Mahiaddin dan konco-konconya, bertanggungjawab bukan sahaja kepada parti mereka tetapi lebih daripada itu kepada negara dan seluruh rakyat jelata.
Hakikat bahawa Ismail Sabri naik kerana pembelotan kluster mahkamah terhadap Mahiaddin tidak bermakna dia terpaksa tunduk kepada mereka dengan cara yang menjatuhkan maruah negara dan mensabotaj peluang memulihkan semula Malaysia.
Ismail Sabri tentunya tidak mahu meninggalkan legasi menjadikan Malaysia negara gagal dan dipencilkan.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca