DALAM banyak-banyak kerjaya dalam dunia ini, Belalang paling bersimpati dengan mereka yang terlibat dalam agensi penguatkuasaan undang-undang, tidak kiralah dalam apa jua jabatan. Ini kerana para penguat kuasa bukan sahaja berhadapan dengan... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM banyak-banyak kerjaya dalam dunia ini, Belalang paling bersimpati dengan mereka yang terlibat dalam agensi penguatkuasaan undang-undang, tidak kiralah dalam apa jua jabatan.

Ini kerana para penguat kuasa bukan sahaja berhadapan dengan mereka yang melanggar undang-undang tetapi yang paling mencabar ialah bagaimana mereka perlu berhadapan dengan penjenayah itu sendiri dan yang korup dalam kalangan mereka yang telah dibeli oleh kartel.

Yang paling dahsyat dan sukar ialah berhadapan dengan musuh dalam selimut – daripada yang sekecil-kecilnya iaitu rakan sejawatan sehinggalah ke atas iaitu big boss yang korup.

Seorang rakan Belalang yang bertugas sebagai penguat kuasa di sebuah agensi penguatkuasaan yang besar ketika bertugas di pos kawalan dan pemeriksaan di sempadan memberitahu bagaimana dia dan seorang lagi rakan petugas berazam dan nekad enggan tunduk kepada suapan dan rasuah yang sangat-sangat lumayan daripada penyeludup tetapi usaha mereka terhalang kerana rakan tugas yang ketiga iaitu orang lama yang bertugas di pos berkenaan sudah menjadi sebahagian daripada rangkaian kartel yang menguasai jabatan berkenaan.

Dua orang baru yang jujur menentang satu sistem yang korup sudah tentulah tidak berupaya menongkah arus.

Mereka akhirnya mohon ditukarkan keluar dari sistem itu untuk menghalang diri daripada menjadi sebahagian daripada lingkaran yang sudah korup.

Benar, adalah tidak adil sama sekali untuk melabelkan segala-galanya korup atau telah korup tetapi pada masa yang sama juga kita semua tahu yang korup dan korupsi itu wujud dan telah sebati dengan sistem.

Jika ia tidak wujud maka tidak mungkin penyeludupan boleh berlaku di hadapan mata setiap hari di setiap pelusuk tempat dan ceruk.

Itu kita baru bercakap tentang penyeludupan dan rasuah yang berkaitan dengannya. Belum kira lagi perbuatan dan tingkah laku yang tidak betul dalam lain-lain urusan kehidupan – politik, sosial, ekonomi, pentadbiran, perniagaan, pendidikan dan lain-lain.

Kita akui rasuah itu bagaikan barah yang mengganas tetapi pada masa yang sama kita akur dengan kehadiran dan kewujudannya.

Sedikit sangat yang kita lakukan untuk membetulkan salah laku ini. Ini kerana kita menerima kehadiran rasuah itu seadanya dengan harapan suatu hari nanti apabila kita tersepit dan terhimpit kita mungkin mahu mencari jalan pintas dengan melakukannya untuk menyelesaikan masalah yang kita sendiri hadapi.

Guna cable, guna contact untuk selesaikan masalah.

Sehinggalah korupsi dan rasuah ini menjadi sebahagian daripada sistem dan darah daging kita.

Dari sekecil-kecil urusan sehinggalah kepada sebesar-besarnya akan ditentukan oleh sejauh mana bayaran bawah meja yang boleh kita hulurkan bagi membereskan urusan kita.

Suatu hari kelak, apabila ini sudah menular dan menguasai seluruh sistem kehidupan kita, barulah kita tersedar yang keadaan sudah terlewat untuk kembali ke pangkal jalan.

Sebelum itu berlaku, sokonglah dan bergabunglah bersama-sama gerakan #MalaysiaTanpaRasuah dalam membersihkan negara kita daripada rasuah dan korupsi.

Kita boleh dan mampu melakukannya bersama-sama.

Belalang – Sentiasa menyeru kepada kebaikan...

Klik di sini untuk terus membaca