GESAAN dan saranan mewujudkan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti (RUUALP) telah mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan diumumkan sebagai salah satu tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran. Pada... Klik di sini untuk terus membaca

GESAAN dan saranan mewujudkan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti (RUUALP) telah mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan diumumkan sebagai salah satu tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran.

Pada hemat saya, kebebasan membuat keputusan oleh para wakil rakyat kita seperti sekarang harus dikekalkan.

Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat harus dibenarkan menjalankan tanggungjawab mereka selama lima tahun tanpa tekanan dan kuasa pihak lain, terutama pemimpin parti yang mempunyai muslihat tertentu.

Wakil rakyat telah dipilih untuk membuat keputusan bagi pihak rakyat, maka hak tersebut harus dihormati kecuali kita berniat memperkenalkan sistem referendum.

Ekosistem politik kita sekarang membolehkan seseorang Perdana Menteri yang tidak mampu menjalankan tugasnya (unfit) sama ada kerana salah guna kuasa, sakit atau tidak waras boleh diganti tanpa menunggu pilihan raya umum.

Tanggungjawab ini diberikan kepada wakil rakyat kerana mereka dianggap mempunyai lebih banyak maklumat pentadbiran dan mampu membuat pertimbangan yang rasional berbanding kumpulan besar pengundi.

Memang tiada sistem yang sempurna, namun terdapat salah tanggapan besar bahawa lompat parti punca kerajaan menjadi tidak stabil.

Pertama, perubahan dua Perdana Menteri terakhir ini tiada kena mengena langsung dengan isu lompat parti.

Ia hanya dijadikan kambing hitam bagi menutup kebobrokan merebut kuasa belakang tabir oleh kumpulan tertentu.

Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad, meletak jawatan kerana partinya Bersatu membuat keputusan meninggalkan Pakatan Harapan.

PKR kemudiannya memecat kumpulan Datuk Seri Azmin Ali dan menyebabkan jajaran baharu politik negara dibentuk.

Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dibuat atas persetujuan parti-parti politik seperti Barisan Nasional, Pas, GPS, Bersatu dan ahli Parlimen yang dipecat dari PKR dan bebas.

Benar ada beberapa ahli Parlimen keluar parti mereka bagi menyokong Muhyiddin Yassin. Jika dilihat dari sudut lain ia telah membantu menstabilkan kerajaan buat seketika.

Jadi, tidak semestinya lompat parti membawa keburukan kepada negara.

Kejatuhan Muhyiddin Yassin juga bukan kerana lompat parti. Ia kerana 15 orang ahli Parlimen Umno membuat keputusan menarik sokongan.

Lebih melucukan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang menjadi ‘hero’ menentang lompat parti dan secara tergesa-gesa mengemukakan Rang Undang-Undang untuk memecat ahli Parlimen yang meninggalkan parti, adalah watak utama dalam ketidakstabilan ini.

Azalina adalah contoh hipotesis bahawa "tindakan lompat parti menjadi punca kerajaan tidak stabil”, tidak benar sama sekali. Beliau tidak pun melompat parti, namun telah menyebabkan kerajaan jatuh.

Kedua, RUUALP boleh menjadi merbahaya kepada demokrasi apabila parti menjadi terlalu berkuasa.

Dalam jangka panjang ia boleh mengakibatkan kumpulan pemimpin yang mempunyai banyak wang dan mampu menguasai hirarki parti akan terus beraja di mata dan bersultan di hati walaupun ditolak oleh rakyat.

Wakil rakyat akan dihalang membuat keputusan meninggalkan parti.

Apabila mereka mengambil kepentingan rakyat dan negara lebih utama dari kepimpinan parti, mereka boleh dipecat dan hilang jawatan sebagai ahli Parlimen.

Ini memaksa mereka menerima apa sahaja keputusan kepimpinan parti walaupun jelas merugikan rakyat dan negara.

Bayangkan jika RUUALP ini telah ada, maka Majlis Tertinggi UMNO tempoh hari boleh sahaja memecat semua ahli parlimen yang tidak mahu menurut hawa nafsu mereka, dan kemudiannya memaksa satu pilhan raya kecil diadakan.

Walaupun sepintas lalu cadangan RUUALP ini tampak cantik, namun realitinya indah khabar dari rupa.

Malah ia boleh menjadi sesuatu yang menghakis proses demokrasi negara dan mewujudkan lebih banyak krisis politik.

Tanpa lompat parti pun ada ahli Parlimen Umno boleh menandatangan akuan bersumpah menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Sehingga hari ini belum ada satu pun mereka yang menandatangani akuan berkanun secara rahsia disiasat apakah perbuatan mereka kerana imbuhan atau tekanan orang tertentu.

Justeru, masalah dengan sistem demokrasi negara kita bukan lompat parti, tetapi korupsi dan penyalahgunaan kuasa dalam membuat keputusan. Ini yang perlu diberi perhatian.

*AB Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca