MALAYSIA baru sahaja menyambut ulangan tahun kemerdekaan ke-64. Salah satu ciri sebuah negara yang berdaulat adalah pengiktirafan antarabangsa dan menjalinkan hubungan luar sama ada secara bilateral iaitu antara dua negara dan multilateral... Klik di sini untuk terus membaca

MALAYSIA baru sahaja menyambut ulangan tahun kemerdekaan ke-64.

Salah satu ciri sebuah negara yang berdaulat adalah pengiktirafan antarabangsa dan menjalinkan hubungan luar sama ada secara bilateral iaitu antara dua negara dan multilateral dengan pelbagai negara misalnya dengan menyertai organisasi antarabangsa.hubun

Jika ditinjau dari segi sejarah kerajaan awal di Tanah Melayu sudah mengadakan hubungan luar sebelum era penjajahan Barat, misalnya kerajaan Kedah Tua dan Kesultanan Melaka telah menjalinkan hubungan dengan China, India dan Parsi.

Selain itu kerajaan negeri Johor di bawah pemerintahan Sultan Sir Abu Bakar ibni Almarhum Temenggong Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim (1886-1895) telah mengadakan hubungan luar dengan Britain, Jepun dan Empayar Turki Uthmaniyah.

Sultan Sir Abu Bakar merupakan sahabat karib kepada Ratu Victoria, Maharaja Meiji dari Jepun dan Sultan Abdul Hamid pemerintah Empayar Turki Uthmaniyah.

Apa yang jelas daripada sejarah adalah semenjak dahulu pemerintah tempatan sudah menunjukan kemampuan dan kebijaksanaan dalam mengendalikan hubungan luar.

Apabila Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957, Malaysia hanya mempunyai 7 misi diplomatik iaitu di London, Washington DC, New York, Canberra, Jakarta, New Dehli dan Bangkok. Dalam tempoh 64 tahun hubungan luar Malaysia telah berkembang dari tujuh misi diplomatik ke 110 misi diplomatik dan satu pusat persahabatan dan perdagangan.

Di samping itu, dasar luar Malaysia telah berkembang daripada pro-Barat dan anti-Komunis ketika pentadbiran Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman (1957-1971) ke Dasar Berkecuali mulai pentadbiran Tun Abdul Razak pada 1970-an sehingga kini.

Bagaimanapun, terdapat lima ciri kesinambungan dalam dasar luar Malaysia.

Pertama, adalah pragmatisme ini kerana objektif utama dasar luar adalah untuk mencapai kepentingan negara dan memastikan kedaulatan sentiasa terpelihara.

Oleh demikian, dasar luar bersifat realistik selaras dengan perkembangan politik antarabangsa. Sewaktu Perang Dingin pada 1950-an dan 60-an sebaik negara kemerdekaan ia terdedah kepada ancaman dari dalam misalnya pemerontakan Parti Komunis Malaya (PKM) dan luar seperti Perang Korea, Perang Vietnam, Konfrantasi.

Maka demi kelangsungan dasar luar ketika itu lebih cenderung pro-Barat dan anti-komunis. Ini kerana keupayaan ketenteraan negara masih terhad dan memerlukan sokongan tentera dari negara-negara Komanwel bagi tujuan pertahanan.

Sifat pragmatisme masih diteruskan sehingga hari semasa berurusan dengan kuasa-kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat (AS) dalam isu tuntutan bertindih Laut China Selatan.

Kedua adalah aktif kerana Malaysia telah mengamalkan dasar luar yang aktif semenjak kemerdekaan.

Ini terbukti dengan peningkatan bilangan misi diplomatik dari 7 misi ke 110 misi dalam tempoh enam dekad. Sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Malaysia telah menunjukkan komitmen terhadap multilateralisme demi keamanan dan kemakmuran antarabangsa.

Ini ditonjolkan melalui penglibatan Malaysia dalam operasi pengaman di bawah panji-panji PBB.

Malaysia juga terlibat secara aktif dalam forum-forum yang dianjurkan oleh PBB untuk mencari jalan penyelesaian untuk pelbagai masalah global.

Malah Malaysia pernah terpilih menjadi ahli bukan tetap dalam Majlis Keselamatan PBB sebanyak 4 kali dan diplomat Malaysia seperti Tan Sri Razali Ismail diberi penghormatan dilantik menjadi Pengerusi Perhimpunan Agung PBB.

Selain itu Malaysia juga terlibat secara aktif dalam Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Komanwel, Kumpulan Tujuh Puluh Tujuh (G77), Membangun Lapan (D8), Dialog Asia Timur Tengah (AMED), Kerjasama Asia Timur Jauh Asia Latin (FEALAC), Persatuan Laut Samudera Hindia (IORA), Mesyuarat Asia Eropah (ASEM) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Malaysia sebagai sebuah negara Islam turut terlibat secara aktif dalam Organisasi Kerjasama Islam (OIC).

Ketiga, adalah regionalisme iaitu semangat mementingkan kerjasama rantau. ASEAN merupakan teras utama dasar luar Malaysia. Ini kerana Malaysia berpendapat sebagai negara membangun kerjasama dengan negara-negara jiran amat penting bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan.

Malaysia semenjak kemerdekaan lagi berpendapat negara-negara Asia Tenggara mempunyai banyak ciri-ciri persamaan dan perlu bekerjasama. Justeru itu Malaysia telah memperjuangkan idea regionalisme pada penghujung tahun 1950-an lagi dengan penubuhan Persatuan Asia Tenggara (ASA) pada 1961 dan kemudian menjadi salah satu negara pengasas ASEAN pada 1967.

Malaysia telah mengetengahkan konsep Berkecuali kepada rantau Asia Tenggara melalui Deklarasi Zon Aman, Bebas, dan Berkecuali (ZOPFAN) ketika Persidangan ASEAN di Kuala Lumpur pada 1971. ASEAN terus menjadi tonggak utama dasar luar Malaysia.

Keempat, kesederhanaan di mana dasar luar Malaysia boleh dianggap seimbang tidak terlalu memihak mana-mana negara.

Ini selaras dengan dasar berkecuali. Walaupun pada 1960-an dasar luar Malaysia pernah cenderung kepada negara-negara Barat tetapi Malaysia tidak menyertai pakatan ketenteraan tajaan Barat seperti Perjanjian Negara-negara Asia Tenggara (SEATO) dan tidak membenarkan pengkalan tentera asing di tanah air berbanding dengan negara jiran seperti Filipina dan Thailand.

Pada masa kini semasa AS dan China sedang bersiang Kuala Lumpur tetap mengadakan hubungan mesra dengan Washington DC dan Beijing.

Bagaimana pun ini tidak bererti Malaysia sanggup berkompromi dalam isu-isu penindasan dan ketidakadilan yang telah berlaku.

Malaysia telah lantang menyuarakan hak dan penindasan yang dialami oleh penduduk Palestin, Rohingya, Bosnia serta mengkritik dasar Apartheid yang pernah diamalkan di Afrika Selatan dahulu.

Kelima, adalah keamanan iaitu dasar luar yang mementingkan rundingan dan kehakiman.

Kedua-dua kaedah ini telah menjadi asas dalam penyelesaian konflik dan bukan melalui penggunaan kekerasan.

Kekuatan militari hanya untuk tujuan pertahanan.

Malaysia telah berjaya menyelesaikan isu tuntutan bertindih wilayah dengan negara-negara jiran seperti Indonesia dan Singapura melalui kaedah kehakiman selaras dengan Undang-undang Antarabangsa.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca