SEJAK akhir-akhir ini sudah ada tanda-tanda menunjukkan kerajaan telah dan akan terus melonggarkan lebih banyak lagi syarat serta peraturan dalam menghadapi pandemik Covid-19. Tindakan berkenaan perlu diambil bagi memastikan soal antara... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK akhir-akhir ini sudah ada tanda-tanda menunjukkan kerajaan telah dan akan terus melonggarkan lebih banyak lagi syarat serta peraturan dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Tindakan berkenaan perlu diambil bagi memastikan soal antara sara hidup dan kesihatan rakyat jelata perlu mendapat perseimbangan yang sewajarnya.

Seperti yang dikatakan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar minggu lalu bahawa Malaysia yang ketika ini dalam fasa pandemik akan memasuki ke fasa endemik Covid-19 bermula hujung Oktober ini.

Ini bermakna kita perlu bersedia menghadapi keadaan apabila akan tiba masanya nanti Covid-19 menjadi endemik dan kita mesti mengambil langkah-langkah untuk hidup bersama virus ini.

"Sebagai contoh pada 6 September lalu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan kes positif harian di Sarawak pada hari berkenaan adalah sebanyak 3,714 kes.

"Bagaimanapun, daripada jumlah tersebut, hanya empat kes adalah daripada kategori 3, 4 dan 5. Dengan kata lain, itulah fasa endemik yang kita perlu menghadapi,” tulis dalam ruangan Lidah Pengarang Nanyang Siang Pau.

Penurunan kes secara mendadak di Lembah Klang sejak seminggu yang lalu membawa khabar gembira buat warga ibu kota sekali gus mendorong kerajaan mengkaji semula perlaksanaan yang dikuatkuasakan sebelum ini.

Peralihan fasa bagi sekitar Lembah Klang daripada Fasa satu kepada fasa dua seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu lalu juga menjadi bukti bahawa kerajaan benar-benar mahu mengembalikan kegiatan ekonomi dengan lebih cergas tanpa menjejaskan kesihatan serta keselamatan rakyat.

"Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula pada 18 Mac tahun lalu, segenap lapisan rakyat cukup tertekan sepanjang tempoh lebih daripada 18 bulan yang lalu.

"Keadaan pula dilihat semakin getir dan membimbangkan apabila jumlah penularan kes harian di seluruh negara sehingga hari ini masih berada dalam lingkungan 20,000,” ujar akhbar Cina itu.

Bagaimanapun, rancangan kerajaan untuk membawa negara kita memasuki fasa endemik Covid-19 bermula hujung Oktober ini sedikit sebanyak disambut baik dalam kalangan rakyat.

Peralihan fasa itu dilakukan memandangkan kira-kira 80 peratus populasi dewasa di negara ini dijangka lengkap menerima dua dos vaksin lengkap pada hujung Oktober ini.

"Apabila berada dalam fasa endemik, rakyat perlu menerima konsep hidup bersama virus Covid-19 biarpun kemungkinan kita mampu berjaya mengawal pandemik ini.

"Majoriti rakyat apabila telah menerima vaksinasi, telah dapat membiasakan diri dengan memakai pelitup muka, mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang masa, bererti kita boleh hidup secara normal baharu dengan hidup bersama virus Covid-19,” jelas Nanyang Siang Pau lagi.

Menurut akhbar itu lagi, sewaktu kerajaan melaksanakan peraturan yang ketat dengan membataskan pergerakan orang ramai, kehidupan biasa yang dijalani sebelum itu berubah dengan teruk.

"Tidak seorang pun mahu kehidupan mereka dihimpit sedemikian rupa. Ada yang hilang kerja, pendapatan berkurangan dan tidak kurang pula yang mengibarkan bendera putih untuk meminta bantuan makanan. Begitu juga dengan banyak premis yang terpaksa gulung tikar akibat menanggung kerugian yang tidak terkira,” tambah akhbar itu.

Apa yang penting, jelas akhbar itu, ialah ketika memastikan pelbagai sektor di dalam negara dapat meneruskan operasi seperti biasa dan menjamin kehidupan rakyat kembali seperti sedia kala dalam norma baharu, kerajaan tidak boleh terlalu cepat berpuas hati dan alpa.

"Kita sedar virus itu akan sentiasa bersama kita, namun berhati-hatilah mengelakkan ia kembali mengganas. Rakyat perlu sentiasa melakukan kawalan kendiri dengan hidup secara sihat dan selamat,” ujar akhbar itu.

* Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca