SEJAK kebelakangan ini golongan yang enggan menerima vaksin Covid-19 lebih menonjol berbanding beberapa bulan lepas. Sebahagian daripada mereka tidak mahu menerima vaksin Covid-19 kerana kekhuatiran mereka daripada maklumat yang mereka... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK kebelakangan ini golongan yang enggan menerima vaksin Covid-19 lebih menonjol berbanding beberapa bulan lepas.

Sebahagian daripada mereka tidak mahu menerima vaksin Covid-19 kerana kekhuatiran mereka daripada maklumat yang mereka terima.

Sebahagian yang lain pula memang bersikap anti-vaksin dan menolak apa sahaja alasan yang diberikan oleh mana-mana pihak.

Dalam abad informasi di hujung jari ini, semua maklumat sangat mudah diperoleh dan rakyat boleh menilai sendiri bagi membentuk pendapat masing-masing.

Sudah luput zaman di mana suatu pendirian itu ditentukan oleh pihak berwajib.

Apatah lagi memaksa sesuatu pandangan yang berbeza dari yang dipegang golongan tertentu itu.

Dalam banyak perkara rakyat mempunyai pandangan berbeza dengan kerajaan walaupun akhirnya pandangan kerajaanlah yang akan dilaksanakan.

Namun begitu sekarang adalah zaman berhujah dengan dalil, nas, bukti dan keterangan yang akan menawan minda seseorang.

Berdasarkan pelbagai fakta, statistik dan dapatan yang muncul sudah pasti menatijahkan pandangan yang berbeza.

Kita seharusnya tidak menyalahkan mana-mana pihak yang berbeza pendirian dengan kita, angkuh dengan kuasa yang kita miliki ataupun menepis semua pendapat yang lain.

Dalam konteks pendirian berbeza mengenai vaksin Covid-19 ini, saya sarankan Kementerian Kesihatan Malaysia berdialog dengan golongan ini secara ilmiah bagi mencari suatu penyelesaian terhadap kekhuatiran mereka.

Saya pasti Kementerian Kesihatan mempunyai segala fakta yang tuntas bagi diterangkan kepada mereka.

Daripada pengamatan saya golongan yang enggan divaksin ini hanya terhad kepada vaksin Covid-19 sahaja, ia tidak melibatkan vaksin-vaksin lain yang sudah lama diambil melainkan sebahagian kecil sahaja.

Oleh itu tumpuan mestilah diberikan terhadap penjelasan keberkesanan vaksin Covid-19 tersebut.

Saya sangat teruja dengan inisiatif Tunku Mahkota Johor umpamanya yang berjumpa dengan guru-guru yang enggan divaksin.

Tunku Mahkota Johor cuba menyelami pendirian mereka yang tidak mahu vaksin tersebut.

Hasilnya baginda dapat menyelami kebimbangan mereka dengan mencari penyelesaian yang baik.

Pendekatan menghukum atau mengurangkan keistimewaan seharusnya tidak diambil pihak berwajib dalam menangani isu begini.

Jika kita lihat kepada statistik kes harian dan kematian, mungkin ada asasnya kebimbangan mereka ini kerana walaupun ramai sudah divaksin kadar kes harian dan kematian masih lagi tinggi.

Malah dikatakan dilaporkan juga orang yang sudah divaksin juga ramai yang masih terkena dengan jangkitan Covid-19.

Kebimbangan inilah yang perlu diatasi Kementerian Kesihatan. Pendekatan Kementerian Kesihatan yang dilihat sama dari dahulu walaupun varian berlainan Covid-19 muncul, juga menjadi isu yang hangat diperkatakan.

Kementerian Kesihatan yang mengambil pendekatan berdasarkan ‘bukti perubatan’ juga tidak disenangi pihak tertentu.

Ini disebabkan Kementerian Kesihatan dikatakan menolak cabang perubatan lain kerana tiada ujian klinikal.

Begitu juga ‘perubatan berdasarkan kepercayaan’ seperti pengubatan Islam juga dilaporkan tidak mendapat tempat di hospital awam.

Mungkin Kementerian Kesihatan terlalu mementingkan bukti dalam semua tindakan mereka sehingga terlupa ‘Pemberi Bukti’ yang sebenar sudahpun memberikan panduan kepada kita dalam menangani pandemik Covid-19 ini.

Oleh kerana banyak perkara ini masih dibangkitkan di khalayak awam, pastilah menjadi tugas Kementerian Kesihatan berdialog dan berbincang dengan mereka bagi menelusuri kefahaman dan menganyam penyelesaian bersama.

Saya bukanlah tidak menghargai jasa Kementerian Kesihatan dan semua golongan barisan hadapan yang telah menzahirkan prestasi cemerlang mengutamakan rakyat mengatasi kepentingan diri.

Cuma saya mengesyorkan inisiatif yang lebih diterima dapat dilaksanakan kepada mereka yang masih enggan divaksin ini.

Sebagai seorang peguam, saya bukanlah orang yang mahir dalam aspek perubatan dan saya tidak memihak kepada mana-mana golongan.

Disebabkan ini saya tidak menggarap pandangan sendiri dalam isu perubatan ini.

Saya hanya melihat dari sudut hak rakyat di dalam menggarap pandangan sendiri dan keabsahan pihak kerajaan memaksa sesuatu yang tidak dipilih oleh rakyat ke atas mereka.

Sudah pasti di dalam meneliti isu perundangan sebegini, kajian perubatan juga sangat perlu bagi membantu pandangan perundangan dirangka yang membawa kebaikan kepada semua.

Semoga Malaysia lebih sejahtera dengan perbincangan dan perundingan yang beradab, ilmiah dan mencapai penyelesaian yang baik.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca