[MUKADIMAH] Undi18 atau had umur mengundi yang diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun bukanlah sesuatu yang baru dan reformasi itu telah diperjuangkan oleh banyak pihak walaupun berbeza parti politik dan peringkat umur.
Walau bagaimanapun, sehingga kini, Undi18 masih belum dapat dilaksanakan walaupun Rang Undang-undang (RUU) tersebut sudah diluluskan sebulat suara di Parlimen pada tahun 2019.
Selepas dua tahun, Undi 18 masih menjadi topik perbincangan hangat dalam dunia politik apabila isu kematangan dan pendedahan politik golongan muda sering dipertikaikan walaupun golongan muda ketika ini dilihat lebih matang malah bersedia untuk membawa era perubahan politik yang lebih bernas.
Trebaru Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September lalu juga telah memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi18 itu menjelang 31 Disember tahun ini susulan keputusan kemenangan lima belia yang memfailkan semakan semula kehakiman bagi menggesa Putrajaya untuk melaksanakan Undi 18.
Dengan pelaksanaan Undi 18 pada PRU15 akan datang, adakah rakyat Malaysia akan melihat perubahan yang dibawa oleh gelombang Undi18 pada PRU15 nanti? Adakah Undi18 ini juga akan menjadi titik permulaan reformasi baharu anak muda untuk mengubah landskap politik negara kita dengan pemikiran yang lebih terbuka, segar dan idealistik?
Bersama Sinar Harian menemubual Exco Pemuda Pas, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai dan Ketua Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Zaidel Baharuddin untuk menjawab isu dan harapan anak muda untuk masa depan negara dengan Undi 18.
SINAR HARIAN: Bagaimana Zaidel melihat janji kerajaan baharu di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam memastikan suara anak muda didengari?
ZAIDEL: Bagi saya, kita tunggu dan lihat dalam masa tiga bulan atau 100 hari ini namun langkah pertama melakukan Undi18 pada 31 Disember ini adalah langkah yang positif.
Keputusan Mahkamah Kuching yang telah mengarahkan kerajaan untuk buat Undi18 sebelum 31 Disember dan kenyataan daripada Menteri bahawa pihak kerajaan akan membawa kes ini kepada mahkamah rayuan adalah langkah utama yang sebetulnya dibuat.
Namun, selagi mana ia tidak dilaksanakan, selagi itu kita di parti Muda akan terus semak dan lihat apakah janji-janji yang akan ditunaikan oleh kerajaan. Tidak dinafikan, perasaan sangsi itu ada kerana jika kita lihat dari segi kabinet kerajaan, kebanyakannya sama sahaja dengan yang dahulu dan tidak ada banyak beza.
- Adakah had umur ahli parlimen patut dijadikan isu untuk menyertai parlimen?
Definisi muda yang kita mahukan bukan terletak pada faktor umur semata tetapi pemikiran, minda dan sebagainya. Kita banyak juga melihat ahli politik muda yang berfikiran kolot, sempit dan bermain api perkauman, serta agama.
Malah, jika kita lihat di parti Muda, kami tidak ada had umur maksimum dan terbuka kepada semua peringkat umur di mana kami mahu membawa budaya dan kesegaran yang baharu.
Oleh itu, kalau kita mahu mewujudkan satu budaya politik yang baharu, kita perlu mengetengahkan pemimpin yang membawa budaya berbahas, bercakap, berdebat dan memberi idea baharu. Jadi, yang lebih penting adalah keadaan minda daripada isu had umur.
- Perhimpunan Lawan tempoh hari dijadikan alasan sesetengah pihak untuk mengatakan pemikiran anak muda masih mentah dan tidak cukup matang untuk mengundi. Bersediakah anak muda untuk menghadapi PRU akan datang ini?
Bersedia atau tidak, itu terpulang kepada individu masing-masing. Yang penting, kita jangan menidakkan hak mereka untuk mengundi. Untuk pihak yang mengatakan mereka tidak matang dan belum sedia untuk mengundi. Jika kita tidak ada isu untuk memberi layanan orang 18 tahun seperti orang dewasa, kita tak ada hak untuk peduli kematangan latar belakang mereka. Kenapa perlu takut untuk bagi kuasa mengundi?
Mengundi umur 18 bukan sesuatu yang unik di Malaysia malah kita antara negara paling ketinggalan kerana Mynmar di bawah pimpinan diktator tentera pun sebelum ini memberi undi kepada mereka yang berumur 18 tahun.
Kalau kita lihat, Undi18 ini mendapat sokongan semua pihak di mana ianya diluluskan dua pertiga di Dewan Rakyat tetapi nampaknya kerajaan seperti melengah-lengahkan dan begitu takut dengan Undi 18.
- Ada yang berpendapat sekiranya kita beri peluang kepada anak muda untuk menceburi bidang politik ini terutamanya di dalam barisan kabinet, ia akan mengambil masa kerana budaya politik Malaysia dipengaruhi oleh senioriti. Jadi adakah penglibatan anak muda dalam masa yang singkat ini tidak sesuai?
Pertama, mereka yang mempunyai pengalaman dari sektor swasta atau kerajaan seharusnya boleh menjadi pentadbir yang baik kerana mereka lebih berpengalaman. Namun, kita juga perlu suara yang segar kerana pengundi yang besar adalah mereka yang berumur 21 sehingga 45 tahun.
Jika kita mahu menggalakkan orang muda masuk politik, jangan terus beraspirasi untuk jadi calon dan sebagainya. Yang pertama, daftar undi. Kedua, libatkan diri dalam proses berpolitik, tubuhkan gerakan dan tahu apa yang berlaku dalam politik. Kerana di negara kita, kuasa politik main peranan yang amat besar dalam kehidupan seharian kita.
Jadi kita jangan ambil lengah dan jangan membiarkan politik itu menjadi sesuatu permainan elit tetapi merakyatkan.
- Apa harapan Zaidel menjelang Undi18 nanti?
Saya dan parti Muda mengetengahkan Undi18 sebagai salah satu ‘centre pillar’ kita iaitu apabila anak muda ada suatu undi yang besar, baru pemimpin akan buat sesuatu. Setiap ahli politik dan parti politik mesti melakukan satu reformasi sendiri dan mengetengahkan idea baharu, calon yang baik dan sebagainya.
BOLDKAN: Golongan muda wajar sertai kabinet
SINAR HARIAN: Pada pendapat Muhammad Faizzuddin, bersetuju atau tidak pembabitan generasi muda dalam pentadbiran negara ini tidak wajar disempitkan kepada sesuatu kedudukan di dalam kabinet sahaja kerana banyak platform lain yang boleh dimanfaatkan oleh mereka?
MUHAMMAD FAIZZUDDIN: Pada pendapat saya, ia tidak benar dan saya tidak setuju jika golongan muda tercicir daripada menyertai kabinet. Ini kerana Jemaah Menteri mempunyai kuasa yang besar dan penting. Jadi, kita tidak mahu anak muda dijadikan sebagai modal poltikus semata-mata.
Jika mahukan populariti dan perhatian, mereka akan menggunakan nama anak muda tetapi realitinya, mereka tidak meletakkan anak muda di dalam kabinet. Oleh itu, pada saya, negara kita belum serius untuk mengangkat martabat anak muda tersebut dalam perjuangan politik negara.
- Adakah suatu hari nanti kita boleh merealisasikan impian apabila Dewan Rakyat itu akan diwakili oleh orang muda?
Kita tidak boleh mengharapkan secara total kerana meskipun umur mereka masih muda, belum tentu pemikiran, kecergasan dan idea diberikan adalah baik untuk rakyat.
Namun, secara asasnya, dengan kerajaan memberikan Undi18 untuk PRU akan datang, kita harap golongan pengundi Undi18 ini akan memberikan satu gelombang yang besar sehingga melambakkan ahli-ahli politik muda di dalam Dewan Rakyat agar kematangan berbahas dalam parlimen itu sedikit demi sedikit akan berubah.
Kami percaya mereka mempunyai semangat untuk mereformasi landskap politik negara kita dan mengubah dimensi baharu dengan kita meramaikan ahli politik muda di dalam Parlimen.
- Sejauh mana Muhammad Faizzuddin melihat pelaksanaan Undi 18 yang telah dipersetujui oleh Mahkamah Kuching baru-baru ini?
Selaku pemuda PAS, saya diberi taklimat tentang Undi 18 dan hampir semua bersetuju dan tidak menafikan kepentingan Undi 18 ini.
Cuma, terdapat masalah teknikal dan masalah itu telah diberi penekanan kepada Menteri Undang-undang yang lalu untuk dilaksanakan Undi18 tersebut tentang komitmen kerajaan. Jadi, perkara tersebut tidak menjadi isu.
Isunya sekarang adalah bagaimana tanggungjawab kami sebagai Pemuda Pas untuk mengajak kelompok Undi 18 ini menzahirkan komitmen mereka terhadap politik negara dengan dinatijahkan di peti undi. Kami Pemuda Pas telah bersiap sedia dan meletakkan itu sebagai keutamaan cabaran berhadapan dengan PRU15.
- Perlukah kerajaan memperkenalkan silibus mata pelajaran politik dan kenegaraan di peringkat sekolah menengah?
Saya percaya golongan muda kini lebih terdedah dengan maklumat dan keadaan politik di negara kita atau mereka juga sudah terdedah dengan politik antarabangsa.
Pada saya, mungkin kematangan dalam anak muda ini melebihi daripada kematangan mereka yang senior dalam negara. Saya percaya anak muda dalam negara kita mempunyai akses dan pengetahuan yang lebih.
Dari segi konsep pendidikan, ini adalah apa yang ditekankan di dalam Pas iaitu sebelum kita melihat isu-isu politik itu sendiri, kita mesti membangunkan modal insan yang memahami nilai sebenar kita berpolitik.
Klik di sini untuk terus membaca