PENYEDUT oksigen mudah alih mendapat sambutan memberangsangkan daripada orang ramai sejak Covid-19 melanda negara.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa farmasi sekitar Lembah Klang mendapati penyedut oksigen mudah alih tersedia untuk dijual kepada orang ramai.
Rata-rata pekerja di farmasi memberitahu, ia digunakan sebagai persediaan awal sekiranya ahli keluarga memerlukan bantuan pernafasan lebih-lebih lagi jika dijangkiti Covid-19.
Salah seorang pekerja farmasi yang hanya mahu dikenali sebagai Kartini berkata, kedainya mula membuat tempahan barangan berkenaan daripada pembekal seawal Julai lalu.
"Kita akan menyimpan stok dalam 50 kotak untuk tempoh tiga bulan. Satu kotak ada enam botol penyedut oksigen mudah alih itu. Setiap kali habis, kita akan tambah stok.
"Kebanyakan pembeli juga akan membeli lebih daripada satu botol,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Dari segi penggunaan peralatan tersebut, Kartini berkata, ia boleh digunakan untuk kegunaan harian tanpa perlu mendapatkan preskripsi daripada doktor.
"Pengguna hanya perlu meletakkan penyedut itu di hidung dan mulut. Kemudian picit semburan dan udara oksigen akan dilepaskan. Boleh sembur dalam tiga hingga lima kali dan bernafas seperti biasa,” jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi penjual, Nurul berkata, stok pertama yang dihantar ke farmasinya kira-kira sebulan lalu habis dijual dalam tempoh singkat.
"Rata-rata pembeli bukan hanya membeli satu atau dua botol, tetapi ada juga yang membeli sekotak.
"Harga bagi setiap botol ialah RM45, untuk satu kotak pula kita jual lebih kurang RM180,” katanya.
Menurut Nurul, jenama Aweld paling mendapat sambutan setakat ini kerana ia mampu membekalkan oksigen sehingga 99.5 peratus di samping mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.
Dalam pada itu, tinjauan turut mendapati penjualan penyedut oksigen jenama tersebut mendapat permintaan tinggi di platform jualan dalam talian, Shopee dengan harga yang lebih murah.
Terdapat sebuah kedai berjaya mencecah jualan hampir 7,500 botol dan mendapat penilaian daripada 2,500 pembeli.
Seorang pengguna Shopee, Alyanizahar berkata, dia sangat berpuas hati dengan pembelian di kedai terbabit kerana dijual pada harga murah di samping menerima barang dalam keadaan baik.
Rebutan pesakit asma dan Covid-19
Selain penyedut oksigen mudah alih, produk tangki oksigen dan mesin oxygen concentrator atau pemekat oksigen turut mendapat sambutan bagi kegunaan pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan seperti pesakit asma dan Covid-19 di rumah.
Eksekutif Jualan Malaysia Healthcare Sdn Bhd (Maycare), Nurul Syakilla Mohd Rodzi berkata, pihaknya akan membekalkan sekurang-kurangnya 10 unit alat itu kepada farmasi, klinik dan hospital kerajaan serta swasta setiap bulan.
"Kita juga membekalkan semua jenis peralatan hospital. Untuk tangki oksigen, kita jual pada harga RM1,500 ke atas mengikut jenis tangki, manakala mesin pemekat oksigen berharga RM3,500 seunit,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Maycare merupakan salah sebuah syarikat pembekal peralatan hospital seperti tangki oksigen, penyedut oksigen, kerusi roda dan juga katil.
Nurul Syakilla memberitahu, kebanyakan pesakit Covid-19 akan memilih mesin pemekat oksigen berbanding tangki oksigen.
"Ini kerana ia tidak perlu diisi semula sepertimana penggunaan tangki oksigen. Mesin ini juga boleh digunakan untuk jangka masa panjang,” ujarnya.
Bagaimanapun, kata Nurul Syakilla, memandangkan beberapa negeri termasuk Selangor sudah pun mencapai hampir 80 peratus vaksinasi di samping kemasukan pesakit ke unit rawatan rapi (ICU) berkurang, maka permintaan bagi kedua-dua peralatan tersebut sedikit menurun.
Klik di sini untuk terus membaca