GENEVA - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merayu dana tambahan berjumlah hampir AS$200 juta (RM831 juta) untuk bantuan menyelamatkan jutaan nyawa di Afghanistan selepas pengambilalihan tampuk kepimpinan di negara itu oleh Taliban yang... Klik di sini untuk terus membaca

GENEVA - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merayu dana tambahan berjumlah hampir AS$200 juta (RM831 juta) untuk bantuan menyelamatkan jutaan nyawa di Afghanistan selepas pengambilalihan tampuk kepimpinan di negara itu oleh Taliban yang kini mencetuskan beberapa isu baharu.

Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memaklumkan angka itu menjadikan keseluruhan dana bantuan yang diperlukan rakyat negara sehingga akhir tahun ini adalah berjumlah AS$606 juta (RM2.5 bilion).

"Perkhidmatan asas di Kabul semakin terancam selain bekalan makan dan bantuan lain yang berkurangan," kata jurucakapnya, Jens Laerke.

Isu tersebut dijangka dibincangkan dalam mesyuarat menteri di Geneva yang bakal dihoskan oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pada Isnin.

OCHA berharap jumlah dana itu dapat diperoleh untuk membantu hampir 11 juta penduduk dan memastikan perkhidmatan kesihatan penting kepada 3.4 juta orang terus beroperasi.

Dana bantuan itu juga akan digunakan untuk rawatan malnutrisi akut terhadap lebih sejuta kanak-kanak dan wanita, bekalan air bersih, sanitasi dan kebersihan serta perlindungan mangsa daripada keganasan berdasarkan jantina.

Difahamkan, sebahagian besar daripadanya telah diminta pada akhir tahun lalu di bawah rayuan kemanusiaan berjumlah AS$1.3 bilion (RM5.4 bilion) untuk Afghanistan yang masih berdepan kekurangan dana.

Walaupun sebelum Taliban kembali berkuasa, Kabul sememangnya bergantung penuh dengan bantuan dana berikutan 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diperoleh daripada pembiayaan asing.

Pada minggu lalu, PBB memberi amaran Afghanistan kini berdepan dengan 'bencana kemanusiaan berpanjangan' selepas Taliban kembali berkuasa susulan pengunduran pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) pada bulan lalu.

Amaran itu dikeluarkan selepas Guterres menggesa semua pihak menghentikan keganasan di tengah-tengah kebimbangan perang saudara baharu mungkin tercetus di Afghanistan.

"Taliban dan pihak bertelagah di Kabul perlu menamatkan sengketa bagi melindungi nyawa dan memastikan keperluan kemanusiaan dapat dipenuhi," ujarnya memetik laporan dikumpulkan menjelang mandat misi politik PBB di Afghanistan yang dijadualkan berakhir pada 17 September depan.

Laporan PBB mendakwa krisis kemanusiaan itu bakal menjejaskan 18 juta penduduk atau separuh daripada 38.04 juta populasi di negara tersebut.

"Dana bantuan PBB hanya dapat membantu 38 peratus populasi. Oleh itu, kami memerlukan dana tambahan dan mengulangi rayuan kepada negara pemberi dana untuk memperbaharui sokongan mereka agar bantuan dapat disalurkan pada waktu yang tepat serta mengurangkan penderitaan penduduk di negara itu," jelasnya yang meminta negara antarabangsa supaya menerima pelarian Afghanistan dan tidak mengambil langkah mengusir golongan itu.

Terpisah daripada keluarga

Tabung Kecemasan Kanak-kanak PBB (UNICEF) mendakwa ramai kanak-kanak terpisah daripada keluarga masing-masing selepas misi pemindahan yang berdepan cabaran besar pada bulan lalu berakhir.

Menurutnya, kira-kira 300 kanak-kanak dipindahkan tanpa pengawasan orang dewasa sejak operasi pemindahan dari Kabul dilancarkan pada 14 Ogos lalu.

Kumpulan kanak-kanak pelarian Afghanistan bermain di pusat penempatan mereka di Doha.

"Kami menjangkakan jumlah itu bertambah berikutan usaha mengenal pasti identiti sedang giat dijalankan," ujar Ketua UNICEF, Henrietta Fore yang turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan golongan itu yang dipindahkan secara sendirian.

Jelasnya, kebanyakan kanak-kanak terpisah ketika situasi huru-hara di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai yang menyaksikan puluhan ribu orang sanggup bersesak di pintu masuk kemudahan itu dengan harapan untuk meninggalkan Kabul.

"Sebahagian daripada kanak-kanak itu diterbangkan ke Jerman, Qatar dan negara lain yang terlibat usaha tersebut. Saya hanya dapat bayangkan perasaan takut mereka apabila terpaksa berpindah ke negara lain secara sendirian tanpa keluarga di sisi," katanya sambil menambah mereka adalah antara golongan paling rentan di dunia.

Fore juga menegaskan adalah penting untuk memastikan keselamatan kanak-kanak tersebut ketika proses penyatuan semula dan pengesanan keluarga mereka.

"Kesemua pihak perlu mengutamakan kepentingan terbaik golongan itu dan melindungi mereka daripada penganiayaan, pengabaian dan keganasan," tambahnya.

Ketika ini, UNICEF memberikan sokongan teknikal kepada negara yang menjadi tuan rumah kepada kanak-kanak yang dipindahkan dan turut membantu untuk mendaftarkan golongan yang dipindahkan tanpa pengawasan orang dewasa, menjejaki keluarga dan cuba menyatukan semula mereka.

"Mereka juga wajar diberikan jagaan alternatif yang selamat sementara usaha mengesan keluarga mereka dilakukan. Sebaik-baiknya mereka diletakkan di bawah jagaan ahli keluarga lain atau saudara-mara manakala institusi penjagaan sewajarnya menjadi pilihan akhir atau buat sementara waktu," tegasnya lagi. - AFP


Info:

Kira-kira 600,000 penduduk Afghanistan hilang tempat tinggal sejak konflik tercetus pada tahun ini.

PBB mengesahkan penerbangan membawa bantuan kemanusiaan dari Pakistan tiba di utara dan selatan Kabul pada minggu lalu.


Klik di sini untuk terus membaca