SHAH ALAM - Keputusan kerajaan membenarkan 50 peratus kehadiran pelajar ke sekolah daripada jumlah keseluruhan adalah satu pendekatan yang wajar. Tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, saranan tersebut dapat mengurangkan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan membenarkan 50 peratus kehadiran pelajar ke sekolah daripada jumlah keseluruhan adalah satu pendekatan yang wajar.

Tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, saranan tersebut dapat mengurangkan beban pihak sekolah dalam memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terutama dalam kalangan pelajar.

"Memang susah sebenarnya untuk mengawal SOP kerana aktiviti pelajar ini melibatkan duduk berkumpulan sama ada bilik darjah, kantin, pusat sumber dan sebagainya.

"Tetapi kalau ditetapkan kurang daripada kebiasaan, mungkin kawalan itu boleh dibuat dengan lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Alimuddin

Pada Ahad, kerajaan mengumumkan sesi persekolahan akan dibuka semula secara berperingkat mengikut fasa-fasa yang ditetapkan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 3 Oktober depan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kehadiran murid ke sekolah adalah 50 peratus daripada jumlah keseluruhan secara penggiliran minggu.

Sementara itu, Alimuddin berkata, tugas menjaga pematuhan SOP bukan terletak kepada pihak sekolah semata-mata.

Menurutnya, ibu bapa serta pemandu kenderaan sekolah perlu memainkan peranan dalam memastikan pelajar mengamalkan penjarakan fizikal di luar kawasan sekolah.

"Penjarakan (fizikal) ini memang tidak mudah. Misalnya, dari segi bas sekolah atau kenderaan yang membawa pelajar.

"Pihak tertentu perlu melihat perkara ini juga. SOP yang ketat hendaklah dipatuhi oleh semua pihak bukan sahaja daripada guru, malah ibu bapa dan pihak yang ada kaitan dengan sekolah.

"Ini supaya dapat memastikan anak-anak kita betul-betul terhindar daripada Covid-19,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca