UPACARA mengangkat sumpah Perdana Menteri kesembilan tempoh hari disambut dengan perasaan bercampur-baur. Ramai rakyat Malaysia lega kerana kemelut politik yang membelenggu negara sejak Langkah Sheraton tahun lepas kini sudah terlerai buat... Klik di sini untuk terus membaca

UPACARA mengangkat sumpah Perdana Menteri kesembilan tempoh hari disambut dengan perasaan bercampur-baur. Ramai rakyat Malaysia lega kerana kemelut politik yang membelenggu negara sejak Langkah Sheraton tahun lepas kini sudah terlerai buat sementara waktu.

Ada juga yang merasakan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kabinet baharunya tidak memberi apa-apa kesan terhadap nasib rakyat.

Mana tidaknya apabila kemarahan rakyat dengan perbalahan di antara ahli-ahli politik selama setahun lebih ini, ditambah pula dengan krisis pandemik yang semakin meruncing telah menghakis kepercayaan terhadap parti-parti politik, ahli politik dan juga sistem demokrasi berparlimen dan pilihan raya.

Ramai yang merasakan undi mereka dipandang enteng dan mudah dipermainkan oleh ahli-ahli politik yang hanya mementingkan tampuk kuasa semata-mata.

Perpecahan politik dan penghakisan kepercayaan terhadap sistem demokrasi liberal bukanlah fenomena yang khusus kepada Malaysia.

Di seluruh dunia, jurang ekonomi yang semakin lebar dan penindasan terhadap golongan pekerja, migran dan minoriti sering dikatakan mempunyai hubung kait rapat dengan kepesatan globalisasi abad ke-21.

Pada masa sama, sistem demokrasi perwakilan berasaskan lunas-lunas demokrasi liberal seperti kebebasan sivil, kedaulatan undang-undang dan hak individu dilihat tidak lagi mampu mencerminkan aspirasi rakyat terbanyak.

Kesan daripada kesenjangan ekonomi yang semakin luas dan kegagalan demokrasi liberal untuk mengangkat suara golongan dipinggir oleh era globalisasi telah mendedahkan kelompongan besar dalam model tadbir urus banyak negara di seluruh dunia.

Apabila kelompongan seperti ini wujud, maka muncullah demagog seperti Viktor Orban di Hungari, Donald Trump di Amerika Syarikat (AS) dan Marine Le Pen di Perancis yang diangkat sebagai adiwira oleh kumpulan manusia yang telah lama merasa tertindas dan tidak dipeduli oleh sistem politik dan ekonomi sedia ada.

Di Malaysia pula, kecelaruan politik, penguatkuasaan undang-undang yang menyebelahi golongan elit dan kehilangan punca rezeki akibat Covid-19 membangkitkan kemarahan rakyat yang semakin hari merasakan nasib mereka tidak terbela.

Seperti gerakan Black Lives Matter yang meledak di AS tahun lalu, orang muda di Malaysia merasakan bahawa sudah sampai masa mereka turun ke jalan untuk menzahirkan kekecewaan dengan keadaan semasa.

Tanda pagar #Lawan menjadi simbol orang muda menuntut kembali hak mereka untuk berekspresi, berhimpun dan berdukacita di atas tragedi yang menimpa negara.

Penyelesaian

Dalam usaha mencari penyelesaian terhadap krisis yang kita hadapi sekarang, kita tidak boleh menuding jari kepada satu atau dua faktor sahaja. Jalan penyelesaian yang menyeluruh harus merangkumi pelbagai aspek.

Contohnya, gerakan masyarakat sivil telah mengemukakan banyak saranan seperti pemerkasaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pemisahan kuasa di antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen dan penggubalan Akta Pendanaan Politik.

Di antara semua saranan ini, Akta Pendanaan Politik hampir menjadi realiti apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenal pasti pendanaan politik sebagai salah satu daripada penyebab utama rasuah dalam Pelan Anti-Rasuah Nasional (2019 - 2023).

PH juga berjaya menggubal draf Rang Undang-Undang yang malangnya tidak sempat dibentang di Parlimen sebelum berlakunya Langkah Sheraton.

Antara faktor mengapa berlakunya rasuah dalam pendanaan politik ialah kebergantungan terhadap sumbangan daripada pihak swasta, sama ada daripada individu kaya atau syarikat korporat besar.

Sumbangan diberikan oleh individu dan syarikat besar seperti ini sudah tentu hadir bersama imbuhan dan tuntutan yang cukup besar juga.

Sebagai contoh, syarikat pemaju hartanah yang memerlukan kelulusan untuk mendapatkan tanah sudah tentu menyumbang kepada ahli politik yang mempunyai kuasa untuk memudahkan kelulusan tersebut.

Bagi ahli politik pula, dana untuk menjalankan kempen, membeli barang keperluan untuk penduduk kawasan dan membayar pegawai sudah selesai − quid pro quo.

Situasi sama boleh berlaku dengan syarikat dari pelbagai industri seperti tenaga, farmaseutikal, komunikasi dan banyak lagi yang perlu bergantung kepada budi bicara ahli politik untuk memudahkan proses kelulusan atau pelesenan mereka. Fenomena ini juga berhubung kait dengan unsur-unsur lain seperti kronisme, nepotisme, penyalahgunaan kuasa dan konflik kepentingan.

Antara penyelesaian kepada masalah dana swasta ialah sistem pendanaan awam, di mana wang pembayar cukai diperuntukkan oleh kerajaan untuk parti-parti politik.

Dana awam ini boleh digunakan oleh parti politik untuk aktiviti kempen dan kos operasi seperti sewa pejabat, membayar gaji pekerja dan sebagainya.

Mekanisme pembahagian dana di antara parti berbeza mengikut negara. Sebagai contoh, di Jerman dan Indonesia dana dibahagikan mengikut jumlah undi yang diperoleh dalam pilihan raya.

Di Jerman juga, undang-undang menetapkan sebanyak 133 juta Euro sebagai jumlah maksimum yang boleh diperuntukkan untuk parti politik.

Untuk Malaysia, Bersih 2.0 menyarankan dana awam sebanyak RM123 juta diperuntukkan mengikut kadar jumlah undi yang dimenangi dalam PRU lepas. Bersih 2.0 juga menyarankan jumlah maksimum yang patut diperuntukkan oleh kerajaan untuk parti politik ialah sebanyak RM133 juta.

Umum tahu bahawa di seluruh dunia, penglibatan wanita, orang muda dan golongan minoriti lain dalam politik masih pada kadar yang kurang memuaskan.

Kekangan yang dialami oleh wanita terutamanya amat mencabar, lihat sahaja bagaimana komen-komen berbaur seksis dilemparkan dengan sewenang-wenangnya tidak kira dalam Parlimen mahu pun di luar. Tambahan pula, sistem pendanaan politik yang sedia ada, di mana wang daripada sumber-sumber yang meragukan biasanya berlegar dalam kalangan golongan elit politik.

Lazimnya, golongan elit politik ini didominasi oleh lelaki dan pemberi dana juga berlegar dalam kalangan taikun-taikun besar yang juga lelaki.

Justeru, ada beberapa negara seperti Kenya, Chile dan Albania yang memperkenalkan beberapa mekanisme untuk memperuntukkan sebahagian dana awam bagi meningkatkan penglibatan wanita dalam politik. Mekanisme seperti ini boleh juga diperkenalkan untuk golongan terpinggir yang lain seperti orang muda, orang asli dan orang kurang upaya.

Penggubalan sebuah Akta Pendanaan Politik bukanlah destinasi terakhir dalam usaha untuk mewujudkan budaya politik yang telus dan adil. Sebenarnya, penggubalan akta ini patut dilihat sebagai langkah pertama yang harus diambil demi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap sistem politik dan demokrasi Malaysia secara menyeluruh.

Selagi langkah pertama ini tidak diambil, jangan hairanlah jika semakin hari semakin kuat suara-suara yang mempersoalkan keprihatinan dan kejujuran elit politik terhadap kekhuatiran rakyat terbanyak.

* Aira Azhari ialah pengurus penyelidikan di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), sebuah badan pemikir bebas yang terletak di Kuala Lumpur

Klik di sini untuk terus membaca