SHAH ALAM - Rata-rata peniaga ayam menzahirkan keresahan mereka yang terkesan akibat kenaikan harga ayam mentah secara mendadak baru-baru ini.
Tular beberapa keping gambar yang dikongsi peniaga-peniaga ayam di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur pada Ahad berkenaan luahan hati mereka yang disampaikan melalui tulisan pada apron yang dipakai.
Menurut seorang peniaga ayam di Pasar Chow Kit, Sharizal Saad, 50, kenaikan harga ayam mencecah RM9.50 sekilogram adalah yang paling tinggi pernah berlaku.
"Sebelum ini tidak pernah lagi harga jualan naik setinggi ini.
"Biasa kalau musim perayaan pun, harga ayam paling tinggi mencecah RM8 sekilogram.
"Orang masih lagi beli ayam, cuma keuntungan peniaga tipis. Dari segi jualan, biasanya masa harga murah orang akan beli dua ekor atau lebih, tapi sekarang beli seekor sahaja.
"Dulu, kami beli ayam pada harga RM5 dan jual RM6.50, jadi dapatlah untung RM1.50.
"Sekarang kita beli RM8.40, nak jual dengan harga RM9 pun orang berkira-kira untuk beli sebab terlalu mahal.
"Jual ayam sekurang-kurangnya perlu dapatkan keuntungan RM1, kalau kurang memang tidak lepas nak bayar gaji dan kos barangan lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pada Khamis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan kenaikan harga ayam standard di peringkat nasional daripada RM8.39 sekilogram (kg) kepada RM8.47 berdasarkan laporan Price Alert Harian pada 6 September lalu.
KPDNHEP dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya di 605 premis yang menjual ayam bersih standard di seluruh negara mendapati, 47 premis atau lapan peratus daripadanya menaikkan harga manakala 0.5 peratus menurunkan harga.
Klik di sini untuk terus membaca